v

Friday, February 27, 2009

Ceritera 39

Hari ini dalam sejarah.

Buat pertama kalinya aku mengalami kemalangan jalan raya.

Alhamdulillah, tiada kecederaan teruk, cuma tangan dan kaki tergeliat sikit.

Gara-gara mengelak sebuah lori yang memecut dari belakang, aku terlanggar kereta di hadapan, dan kemudiannya terjatuh dari motor, terbaring beberapa saat di atas jalan.

Memang malang tidak berbau.

p/s: RM 300 untuk menggantikan lampu belakang kereta yang kusondol.

Thursday, February 26, 2009

Ceritera 38

Randy Pausch mengangkat tema "realisasikan impian kanak-kanak anda" dalam bukunya, The Last Lecture.

Tetralogi Laskar Pelangi karya Andrea Hirata pula memukau pembacanya untuk percaya; nah, di mana saja kau berada, kau harus tidak gentar untuk punya impian.

Kita bicara tentang impian.

Impian yang menggerakkan.

Impian yang membuatkan kita terus dinamik, tidak statik.

Impian, impian dan impian. Beranikah kita untuk memiliki impian?

Ceritera 37

Jika kau tidak berusaha untuk mengerti, bagaimana hendaknya kita menjambatani perbedaan yang wujud?

Wednesday, February 25, 2009

Ceritera 36

Mungkin ini adalah pelajaran terbesar yang dapat aku pelajari dalam semester ini; belajar BERSABAR.

Pelbagai lingkaran yang melingkungi diriku ini,(ada yang dipilih dan ada yang memilih) menuntut kesabaran tahap tertinggi.

Dan sesungguhnya, di manakah had sabarnyaku itu, tiadalah dalam pengetahuanku ini.

p/s: Bila aku cuba merenung (baca:berfikir) dengan lebih mendalam, ALLAH, ada sakit yang me"nangkap" di hemisfera kanan kepalaku.

Friday, February 20, 2009

Ceritera 35

Pertamanya, aku ingin tegaskan aku manusia non-partisan.

Bukan orang partai.

Menjadi non-partisan bukanlah penghalang untuk aku memiliki political awareness dan tidak menjadi apolitical.

Jika benar kita ini peduli ummah, maka politik tidak harus dikesampingkan.

Dan apabila Lah bertanya pendapat peribadi tentang DAP, aku teruja.

Ya, kita harus ambil tahu banyak perkara, tetapi tentulah dengan kadarnya.

Moga kita semua tidak buta mata da hati terutamanya

P/s: Apa sebenarnya politik?

Ceritera 34

Hari rabu lepas, selepas habis menghasilkan tablet-tablet yang entah apa-apa, aku bergegas ke Balai bomba Taman Tas.

Tujuannya untuk menziarahi Kak Nazura, guru di Sekolah Kebangsaan Sungai Talam.

Beliau baru seminggu selamat melahirkan seorang cahaya mata perempuan.

Begitulah, keterlibatan aku dalam Faciteam membawa aku berjumpa dengan masyarakat pelbagai peringkat terutamanya mereka yang berada di sekolah: daripada guru sehinggalah anak muridnya.

Sekurang-kurangnya, keberadaan aku dalam Faciteam membuatkan hidup di bumi Kuantan ini lebih bermakna.

Bermakna, dalam erti kata ke manakah zaman mahasiswaku digunakan.

Moga aku tidak menjadi intelek"cuai" yang berkubu di balik tembok-tembok indah universiti.

Ceritera 33

Terukir senyuman dalam hati apabila orang memanggilku Che Am.

Entah macam mana, itulah nama gelaran yang hanya mula melekat semenjak diriku berada di bumi Kuantan ini.

Che itulah, nama awalan yang ada pada seorang adikku, abahku, gemulah wanku dan gemulah moyangku.

Nik, wan, megat, meor, syed, syarifah
dan sebagainya merupakan gelaran-gelaran yang kukira masih terang lagi dari mana asalnya.

Berbanding dengan che, gelaran-gelaran di atas masih jelas kelihatan lagi di mana akarnya.

Sebagai contoh, syed itu gelaran nama untuk mereka yang keturunannya berasal daripada Rasullullah.

Manakala megat dan meor itu boleh diketahui asal-usulnya daripada kerabat dan pembesar istana Negeri Perak.

Setahu aku, che itu asalnya daripada Kerajaan Melayu Champa yang kini kita kenali sebagai Kemboja.

WALLAHUA'LAM, entah benar entah tidak, hanya ALLAH yang mengetahui.

Pengetahuan ini pun datangnya daripada pembacaanku daripada sumber yang tidak kuingati lagi beberapa tahun yang lepas, mungkin ketika berada di sekolah menengah.

Mungkinkah ketidakpastian ini akan membawaku ke Kemboja? Masa depan, ah, mafatihul ghaib?

p/s: Ini merupakan salah satu entri daripada entri "Menjadi Melayu".

Wednesday, February 18, 2009

Ceritera 32

Firman ALLAH (maksudnya): “(Mereka dilayani) bidadari-bidari yang cantik rupawan, bagaikan mutiara yang dipinggit dengan sebaik-baiknya.” (al-Waaqi’ah, 56:22-23). Bagi golongan muraqabun disediakan bidadari rupawan berkulit putih dengan mata yang sangat indah menawan bagaikan bercelak. Mereka cantik seperti mutiara dan permata yang indah bergemerlapan dan tidak pernah disentuh tangan. Mereka gadis suci, masih dara dan putih melepak sebagaimana yang disifatkan dalam ayat yang lain (maksudnya): Mereka (putih kekuning-kuningan) bagaikan telur yang tersimpan.” (al-Saffat, 37:49).

- Tafsir Al-Munir (Juz 27), Dr. Wahbah al-Zuhaily

Bidadari yang cantik rupawan , bagaikan mutiara yang dipinggit dengan sebaik-baiknya, itulah maksud Huurun ‘Iin seperti mana yang ditafsikan oleh Syaikh Wahbah al-Zuhaily dalam tafsirnya Tafsir al-Munir.

Beberapa ketika dahulu, timbul persolan dalam diri, mengapakah ramai muslimah yang menggunakan nickname ini. Selain Huurun I’in, nickname Nailofar juga sering juga kujumpai penggunaannya terutamanya ketika menggunakan internet. Tetapi, berbanding Huurun ‘Iin, aku tahu, penggunaan perkataan nailofar itu datangnya daripada novel Sesegar Nailofar (karangan Ustaz Zaid Akhtar).Novel yang berlatarkan bumi Jordan itu kiranya punya dampak yang istimewa kepada pembacanya sehinggakan ramai yang tertarik untuk menggunakan perkataan nailofar.

Huurun ‘Iin seperti mana yang diterangkan di atas merupakan salah satu kurnia ALLAH yang banyak kepada golongan-golongan istimewa yang berada di dalam syurga. Siapakah
golongan itu, insya’ALLAH akan kutulis nanti.

P/s: Berbicara tentang Sesegar Nailofar, teringat aku betapa semangatnya aku membeli Utusan Malaysia setiap Isnin hingga Rabu di Matrikulasi dahulu demi untuk membaca novel Ustaz Zaid Akhtar yang turut berlatarbelakangkan Jordan, Salju Sakinah. Tidak lupa juga, Nizam yang selalu turut sama setia menyendeng mengikuti novel bersiri tersebut yang kini sudah dibukukan oleh PTS.

Sunday, February 15, 2009

Ceritera 31

Aku berbual dengan emak melalui telefon bimbit sebentar tadi.

Ada khabar gembira dari rumah.

Abang Ijat akan ke Australia, menyambung pelajaran di sana.

Alhamdulillah, sebagai sepupuku yang sulung, beliau telah menunjukkan contoh yang baik.

Merekalah; Abang Ijat dan sepupu-sepupuku yang lain mengajar diriku untuk menjadi adventerous.

Masih terkesan dalam ingatan kenangan berkayuh basikal bersama mereka dari Alor Tampang ke Empangan Timah Tasoh pada tahun 1998 (hari itu ada perlawanan hoki SUKOM 98 antara Malaysia dengan India), lenguhnya kaki, hanyalah ALLAH yang tahu.

Dan dengan jiwa adventerous itulah, tidak menghairankan pabila Abang Ijat memilih perhutanan sebagai bidang yang digelutinya.

Moga ALLAH kurniakan kekuatan dan permudahkan urusannya di sana.

p/s: Apabila emak mengeluarkan kata rindu, itu tandanya...

Ceritera 30

Hidup ini penuh dengan kejutan.

Kadang-kadang membahagiakan.

Kadang-kadang meresahkan.

Sungguh, apa jua yang bakal berlaku, kita harus; sentiasa bersiap-siaga.

Ayuh bersedia untuk kejutan yang tidak terjangka.

Ceritera 29

Demonstrasi di Perak.

Bukan di "Kuale" (Kuala Kangsar).

Tapi di Ipoh.

Klik di sini.

Thursday, February 12, 2009

Ceritera 28

ملايو دان جاوي...

وه، هيبت بتول ڤنچيڤتا ڤرايسين ني...

كاڬوم، كاڬوم، كاڬوم...

Wednesday, February 11, 2009

Ceritera 27

"Macam mengumpul Hadiah Nobel je."

Jadi, tiada apa yang perlu dikesalkan walaupun diri kau sudah seperti Sisyphus.

Untuk esok, lusa dan hari-hari mendatang, apa dijangka bukannya satu kemestian.

Menembak tidak terkena jangan diri menjadi sasaran.

Friday, February 6, 2009

Ceritera 26

Hari ini, aku demam, badanku panas.
Negeriku juga sedang "demam", dan "panas" sekarang.

P/s: susunan ayat-ayat yang janggal.emm...

Monday, February 2, 2009

Ceritera 25

2 Februari 1999 - 2 Februari 2009

Sedekad menjadi Izzuddinians. Takkan kulupa bagaimana segalanya bermula.