v

Saturday, October 3, 2009

Ceritera 206



Orang di atas berasa cuak selama beberapa hari ini.

Tapi hari ini, segala kecuakannya akhirnya hilang setelah melihat ketibaan mereka yang dinantikannya selama ini.

Terima Kasih Dani dan keluarga kerana menjamu kami dengan masakan trademark Temerloh.

Terima kasih secara peribadi kerana bersusah payah menyediakan ikan pekasam goreng kepada sahabatmu ini.

Terima kasih juga kepada Mat dan keluarga kerana menjemput kami bertandang ke rumah.

Terima kasih juga kepada semua yang membuatkan program kita pada hari ini berjalan lancar.

Friday, October 2, 2009

Ceritera 205

Laporan ringkas Misi 1 Malaysian Relief Agency dari Padang




Assalamu'alaikum,
Salam sejahtera kepada semua Exco dan Sahabat Malaysian Relief Agency (MRA)

Misi MRA yang pertama telah berlepas ke Padang jam 2.35 petang tadi dan telah selamat tiba di sana. Mereka telah disambut oleh rakan-rakan dari NGO Indonesia (Dewan Dakwah Islamiah Indonesia- DDII).

Menurut sdr. Shahran Kassim selaku ketua misi melalui perbualan telefon, kawasan yang paling teruk di landa gempa adalah Pariaman, di pinggir Padang di mana hampir 80% bangunan telah ranap.

Catatan SMS beliau sebentar tadi ....... kaum ibu berdoa di depan sebuah kolej yang ranap dan runtuh mengharapkan anak-anak kesayangan mereka bangkit keluar dan selamat dari runtuhan tersebut. Lebih seratus pelajar-pelajar dikhuatiri terperangkap dalam runtuhan tersebut dan mungkin menemui maut. Hampir kebanyakan kawasan di kota Padang masih bergelap dan bekalan petrol serta makanan yang terhad.

MRA telah menyediakan bantuan kecemasan berbentuk makanan asas sebanyak 4 juta rupiah yang akan diedarkan segera kepada mangsa-mangsa gempabumi.

Dr Hyzan Yusof, Dr Dahlia Malik bersama 2 jururawat dari MRA akan mula bertugas di Rumah Sakit Siti Rahmah bermula esok pagi. Semangat pasukan pertama MRA sangat tinggi untuk membantu mereka yang menderita.

Laporan seterusnya; Rakan NGO Indonesia kita telahpun membuka pusat operasi bantuan mereka. Sebuah kapal terbang membawa pasukan bantuan kecemasan dari Switzerland telah tiba dan beroperasi. MRA masih belum bertemu dengan pasukan SMART dari Malaysia.

MRA baru dimaklumkan bahawa 60 petugas dari Majlis Keselamatan Negara Malaysia melalui pesawat TUDM akan berlepas dari Subang jam 9.00 pagi esok.

Saya akan update nanti untuk mengetahui keadaan dari lapangan.

Dr Daud Sulaiman
SUA
Malaysian Relief Agency
www.mra.my

Ceritera 204

Kartika: 14 NGO Islam Pahang selar SIS, JAG



KUANTAN: Sebanyak 14 badan bukan kerajaan (NGO) Islam di Pahang hari ini menyelar Kumpulan Tindakan Bersama untuk Persamaan Jantina (JAG) dan Sisters In Islam (SIS) berhubung kenyataan dua badan itu yang menganggap hukuman sebat ke atas model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarnor, sebagai kejam.

Menurut jurucakap 14 NGO Islam di Pahang itu, Amidi Abdul Manan, mereka juga meminta dua badan berkenaan menarik balik kenyataan itu dan memohon maaf secara terbuka kepada seluruh umat Islam di negara ini.

"Enakmen Pentadbiran Ugama dan Adat Resam Negeri Pahang 1982 (Pindaan 1987) adalah di bawah kuasa Mahkamah Syariah yang diperkenankan Sultan Pahang. Menghina undang-undang syariah adalah bererti menghina Sultan Pahang.

"Kita juga menuntut penganut agama lain tidak mencampuri dan mempertikaikan urusan agama Islam," katanya kepada pemberita di sini.

Baru-baru ini JAG dan SIS dalam laporan sebuah akhbar menyifatkan hukuman sebat ke atas Kartika Sari Dewi sebagai kejam, mencabuli hak manusia antarabangsa dan menjatuhkan maruah seseorang.

Kartika dihukum denda RM5,000 dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah pada 20 Julai lalu selepas mengaku salah meminum arak di sebuah hotel di Cherating pada 11 Julai tahun lalu.

Hukuman sebat itu kemudian ditangguhkan baru-baru ini bagi menghormati bulan puasa.

Amidi yang juga Timbalan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia berkata, pihaknya juga akan mendapatkan perintah mahkamah bagi menghalang JAG dan SIS serta pihak-pihak lain daripada membuat sebarang kenyataan yang mempertikaikan sebarang pelaksanaan hukuman berkaitan agama Islam.

"Kami juga menyokong sepenuhnya hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan dan menyokong sepenuhnya sikap dan pendirian Kartika Sari Dewi dan keluarganya berhubung kerelaannya menerima hukuman yang bakal dilaksanakan itu," katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga perlu bertindak tegas terhadap pihak yang mencabar kedudukan Islam dan perundangan syariah yang telah dijamin dalam Perlembagaan negara.

"Kita juga telah membuat satu laporan polis terhadap JAG dan SIS berhubung kenyataan yang menghina Islam itu di balai polis daerah Kuantan hari ini," katanya.

NGO berkenaan ialah Angkatan Belia Islam Malaysia Pahang (Abim), Peguam-peguam Syarie Negeri Pahang, Jemaah Islah Malaysia Negeri Pahang (JIM), Himpunan Lepasan Institusi Pengajian Tinggi Malaysia Pahang, Ikatan Muslimin Malaysia Pahang, Persatuan Cina Muslim Malaysia Pahang, Pekida Pahang, Badan Nadwah Ummah Negeri Pahang, Wadah Pencerdasan Ummah Pahang.

Ikatan Pengkajian Islam Pahang, Majlis Kebajikan India Muslim Pahang, Persatuan Melayu Kuantan, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia Pahang dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia Pahang.

Dalam perkembangan berkaitan, Amidi berkata pihaknya juga akan menganjurkan satu seminar berkaitan pelaksanaan hukuman sebat di dewan Jabatan Agama Islam Pahang pada 25 Oktober ini.

"Kita juga akan mengendalikan demonstrasi hukuman itu, butiran lengkap berkenaan seminar masih diperhalusi," katanya. - Bernama

P/s: Akhirnya 'mereka' ini bersuara juga...