v

Sunday, July 4, 2010

Kembara kehidupan

1986: Bermula di Perlis Indera Kayangan. Pengalaman di sana terbentuk melalui siri balik kampung yang berterusan. Tempat asal-usul, akar kepada sebuah pohon kehidupan.

1986 - 2003: Tidak lama di Perlis, bergerak menuju ke Ulu Kinta, daerah tenang di kaki Gunung Korbu. 12 tahun di sana, terasuh dengan disiplin anggota-anggota polis yang membentuk suasana. Menjejak umur 13 tahun, mula meninggalkan rumah, namun masih lagi berada di dalam lingkungan Lembah Kinta yang pernah tersohor dengan bijih timahnya. Medan tarbiyyah di tengah-tengah Bandaraya Ipoh, Izzuddin Shah mencorak keperibadian diri.

2004: Tawaran tidak terjangka. Mengorak langkah ke daerah selatan dari tempat permukiman. Kuala Kubu Bharu menanti di sana. Pekan kecil di utara negeri paling maju di Malaysia, tenang dan mendamaikan tidak ubah seperti Ulu Kinta, apatah lagi kedua-duanya berhampiran dengan Banjaran Titiwangsa, 'tulang belakang' Semenanjung Malaysia.

2004 - 2006: Kembara bergerak ke selatan lagi. Kali ini Petaling Jaya menjadi persinggahan. Dua tahun di sana, jarang sekali aku keluar daripada 'sarang'. Sungguh, aku tidak pantas menjadi orang bandar.

2007 - sekarang: Setelah bergerak ke selatan, langkah digerakkan menuju timur. Kuantan, ibu negeri Pahang Darul Makmur menjadi destinasi seterusnya. Tiga tahun sudah berlalu di sini, insya' ALLAH masih ada setahun yang berbaki. Pahit atau manis, Kuantan akan tetap berada di hati .

Masa depan: Utara, selatan, timur atau barat, semuanya masih menjadi rahsia ALLAH S.W.T.

Friday, July 2, 2010

ESQ sesat?

Meneliti kenyataan ini sudah tentu membuatkan kita tertanya-tanya. Memandangkan populariti dan pengaruh latihan berkenaan yang semakin meningkat di negara ini, sudah tentu penjelasan dan penerangan daripada pihak berwajib amat-amat diperlukan bagi menghapuskan kekeliruan yang timbul. Aduh, kita yang jahil ini benar-benar berasa keliru!

P/s: Teringat polemik pengharaman yoga oleh Majlis Fatwa Kebangsaan tidak lama dahulu.

Thursday, July 1, 2010

Ayyuhal Walad

Beberapa hari lepas, hati tergerak untuk membaca kitab nipis Ayyuhal Walad (Wahai Anakku yang Tercinta) karangan Imam Al-Ghazali.

Walau tidak mencecah seratus muka surat kitab tulisan jawi terjemahan Ustaz Fahmi Zam-Zam ini menuntut mujahadah untuk menghabiskannya apatah lagi untuk mengamalkan intipatinya. Di saat iman semakin melemah, membaca kitab-kitab tasawwuf seumpama Ayyuhal Walad sedikit sebanyak membantu diri untuk sekurang-kurangnya mengurangkan maksiat.

Kitab ini asalnya ditulis di dalam Bahasa Parsi, kemudiannya diterjemahkan ke dalam Bahasa Arab oleh sebahagian ulama'. Atas usaha Ustaz Fahmi Zam-Zam, kitab kecil ini boleh dibaca dalam Bahasa Melayu. Kitab Ayyuhal Walad dihasilkan Imam Al-Ghazali bagi menjawab sepucuk surat yang diutuskan oleh seorang anak muridnya.

Mengandungi dua puluh lima wasiat, Imam Al-Ghazali dengan keikhlasannya menasihati, menuntut diri yang membaca bermuhasabah, meneliti bagaimana masa yang membentuk bahtera kehidupan ini telah dan akan dilayarkan.Merenung kembali salah satu wasiat yang menceritakan bagaimana ada seorang hamba ALLAH yang bermimpi bertemu dengan Imam Junaid Al-Baghdadi yang telah meninggal dunia membuatkan hati kecil terusik.

Bagaimana mungkin diri tidak tersentak apabila Imam Junaid yang hebat ibadahnya itu pun apabila disoal orang yang bermimpi itu menyatakan hanya beberapa rakaat solat malam sahaja yang bermanfaat kepadanya. Oh, bagaimanakah nasib diri di alam kubur bila mengenangkan amal-ibadat yang dilakukan penuh dengan cacat cela. Termampukah diri untuk menjawab soalan-soalan yang bakal dikemukakan oleh Munkar dan Nankir...

Siapa yang menyangka bahawa tanpa usaha ia akan dapat masuk ke dalam syurga maka orang itu hanya berangan-angan sahaja dan siapa yang menyangka bahawa dengan usaha sahaja ia akan masuk ke dalam syurga maka orang itu telah merasa kaya daripada rahmat ALLAH Taala. (Imam Al-Ghazali, Ayyuhal Walad m/s 21)

Wahai diri, mujahadahlah!