v

Wednesday, February 10, 2010

Food for thought

1. Know something about everything, and know everything about something. (Quote from Dr. Farahidah's husband, Bro. Mohd Affendi Mohd Shafri)

2. Cum Deus calculat et cogitationem exercet, fit mundus: “When God calculates and thinks things through, the world is made. (Leibniz on Dialogus)

Sunday, February 7, 2010

Catatan tengah malam

Aku baru tersedar daripada tidur. Selesai sahaja membaca satu bab novel Maryamah Karpov pemberian Kak Wahid, aku tutup buku itu untuk membaca buku lain yang lebih berat. Namun, entah bagaimana, tanpa disedari aku terus terlelap di atas katil.

Ada dua faktor yang merencat pergerakanku hari ini. Satu, tayar motorku pancit dan dua, kepala diserang migraine. Dua hari motor putih itu tersadai membuatkan niatku untuk 'berfoya-foya' di hujung minggu sedikit terbantut. Tanpa motor, terasa dunia ini sempit dibuatnya. Untuk bergerak ke sana-sini pun terpaksa mengharap kepada orang lain. Mujurlah siang tadi kepala diserang migraine. Mahu tidak mahu, terpaksalah duduk dan tidur di rumah sahaja.

Paginya sebelum diserang migraine, sempat juga ke Taman Pertanian menyertai phytochemical expidition. Pada awalnya dikhabarkan untuk membantu para pensyarah sahaja. Tetapi selepas kelibat Dr. Razak dan Dr. Taher tidak muncul, watak sampingan seperti yang dikhabarkan bertukar menjadi watak utama. Kepalaku yang sudah berasa tidak selesa menyebabkan aku sedikit pasif membantu Payak mengetuai lima orang adik-adik Sultan Abu Bakar School (SABS).

Tugas ad-hoc yang diterima ini membuatkan aku sedikit blurr sepanjang program. Ditambah dengan soalan-soalan yang ditanyakan oleh guru-guru pengiring dan pegawai-pegawai Jabatan Pendidikan, aku sedikit ralat dengan peranan yang dimainkan hari ini. Hanya sedikit pengalaman yang berbekas pada memori ketika memasuki tempat yang sama 2 minggu lepas sedikit sebanyak menyelamatkan keadaan. Bagai fasi tanpa modul, itulah perkataan yang terbaik yang menerangkan keadaan aku dan juga mungkin Payak.

Keluar dari Hutan Simpan Galing sebelum matahari tegak di atas kepala, kulihat stokin kiriku kedapatan tompok darah yang agak besar. Minat sungguh cik Lin (lintah) dengan aku, haha. Dua minggu lepas, sampai di rumah baru kusedar ada Cik Lin yang naik sampai ke pinggang. Perkara yang paling leceh dan malas dilakukan apabila dibaham lintah ialah untuk menyental pakaian yang terkena darah. Tambah-tambah kalau pakaian itu berwarna putih atau cerah seperti stokinku yang menjadi mangsa hari ini.

Pulang dari Taman Pertanian, migraine di kepala makin teruk menggasak. Aku rasa faktor yang menyebabkan migraine datang menyerang ialah Cicardian Rhythmku yang terganggu hari sebelumnya. Dek kerana keletihan, aku terlelap di ruang tamu sembari lampu kalimantang masih bernyala. Bila fitrah badani tidak dituruti, nah, tanggunglah akibatnya. Alhamdulillah, syukur, sakit yang membelenggu akhirnya hilang setelah pelbagai cara diikhtiarkan seperti menelan Milidon 650.

Ketika aku berada di Taman Pertanian, Faciteam sedang mengadakan Facilitator Special Training (FST). Dengarnya, Abang Firdaus Ujang (Dr.), Chief Coordinator Faciteam kedua pun ada sekali. Mula-mulanya, mahu juga menampakkan batang hidung, tetapi selepas motor dan kepala mengalami gangguan, niat tinggal niat sajalah. Mohon maaf kepada yang mengirim sms memintaku datang. Kebelakangan ini, perasaanku berbisik menyatakan makin lama makin jauh rasanya dengan Faciteam ini. Sejak tidak berjawatan lagi, makin jarang aku bersama persatuan ini. Entahlah, bila banyak perkara menuntuk komitmen kita, ada perkara yang terpaksa dikorbankan...

Walaupun sudah agak jarang bersama, perjalanan Faciteam masih kuikuti sedikit sebanyak melalui blog, Facebook dan bertanya sendiri kepada hardcore-hardcore Faciteam seperti Irwan. Dari tahun ke tahun sistem yang dilaksanakan persatuan ini semakin kemas. Daripada sebuah persatuan yang bermula dengan 'kesedaran sosial', semakin lama usianya kematangannya dapat dilihat melalui kewujudan sistemnya. Seronok melihat wajah-wajah baru mengisi ruang yang ditinggalkan oleh para perintis dahulu. Tambah seronok apabila melihat muka-muka lama seperti Kak Suhaili Naim dan Ilman terus komited mendidik muka-muka baru ini. Yang tidak seronoknya ialah kehilangan muka-muka lama seperti aku ini...

Tetapi tidak mengapalah, tanpa muka-muka lama ini Faciteam tetap dapat terus menabur bakti. Biarlah tanpa promosi dan tidak seglamour mana, ahli-ahli persatuan ini faham dan tahu apa yang dilakukan. Contoh kefahaman terbaik ialah apa yang dimiliki oleh Abang Firdaus Ujang, walaupun dalam kesibukan bergelar houseman masih juga dapat turun ke Kuantan menurunkan sedikit sebanyak ilmu yang dimilikinya kepada pewaris Faciteam. Sedikit masa lagi, insya' ALLAH, pengasas Faciteam, Abang Jep akan berada di Kuantan menjadi pensyarah di Kuliyyah Perubatan. Harap-harap dengan kehadirannya, sedikit sebanyak dapat memberi suntikan semangat kepada persatuan yang hampir mencecah satu dekad ini.

Bila menulis tentang Faciteam, automatik aku teringat pada Kak Wahid. Kelmarin Kak Ili ada memberitahu Kak Wahid akan bergerak ke Kuala Lumpur pada pagi sabtu. Moga selamatlah semua hendaknya. Aku harap Kak Wahid yang kukenal ini terus tabah melawan kanser darah yang dihidapinya ini. Dulu, pertama kali aku dapat tahu berita ini, aku pun turut tertekan. Tertekan sampai migraine datang menyerang...

Inilah catatan tengah malam. Untuk semua yang membaca blog, moga kita terus kuat menghadapi cabaran kehidupan ini. Untuk hari yang berlalu, kita jadikan sebagai kenangan. Untuk hari yang mendatang, kita jadikan sebagai harapan. Untuk hari yang sedang dilalui, kita jadikan sebagai kenyataan. 


"Yesterday is History, Tomorrow a Mystery, Today is a Gift, Thats why it's called the Present"

Friday, February 5, 2010

Zaman gelap

Kelmarin ada kelas Anti Infective & Cytotoxic Agent (AICA). Seperti kelas-kelas sebelumnya, Dr. Razak yang mengajar subjek ini. Kali ini kami belajar tentang ubat anti-virus yang digunakan untuk influenza termasuklah selesema burung, selesema bermusim (seosanal flu) dan selesema oink, oink (swine flu).

Hanya empat jenis ubat yang kami pelajari; amantadine, rimantadine, zanamivir dan oseltamivir atau pun tamiflu yang popular ketika pandemik H1N1 tahun lepas. Dalam kelas yang kami dipeningkan dengan mechanism of action dan segala macam sifat-sifat ubat-ubat selesema tersebut, sempat juga Dr. Razak menyingkap kembali apa yang berlaku pada tahun lepas.

Bila Dr. Razak bertanya kepada kelas apa yang terjadi kepada Amerika Syarikat setahun yang lepas, aku cuba untuk recall kembali namun gagal. Yang muncul dalam kepala ialah kemenangan Obama dalam pilihan raya presiden Amerika Syarikat bukannya the great depression kali kedua yang hampir menyebabkan Amerika collapse - jawapan kepada soalan Dr. Razak.

Sebelum berlakunya pandemik selesema babi, banyak syarikat-syarikat Amerika yang terpaksa dibail-out
oleh kerajaan untuk menyelamatkannya daripada mengalami nasib yang sama dengan Lehman Brothers Holding. Untuk mengetahui lebih lanjut, kalian boleh baca buku yang ditulis oleh seperti Paul Krugman kerana aku sendiri tidak mahir dengan ilmu ekonomi ini.

Diringkaskan cerita, beberapa bulan selepas analisis pakar ekonomi yang menyatakan ekonomi Amerika akan tumbang, muncullah wabak selesema babi yang menular ke seluruh dunia, tidak terkecuali negara kita. Di sebalik wabak yang menimpa, ada yang mengaut keuntungan. Hasil penjualan ubat-ubatan dan vaksin selesema babi seperti tamiflu, syarikat-syarikat farmaseutikal Amerika memperoleh keuntungan hasil permintaan dunia terhadap produk mereka. Keuntungan yang diperoleh mengupayakan kembali ekonomi negara tersebut dengan suntikan dana luar. Walhasil, ramai yang menyatakan wujudnya konspirasi yang berlaku di sebalik penularan wabak selesema babi ini. Wallahua'lam, hanya ALLAH yang maha mengetahui apa sebenarnya berlaku.

Mutakhir ini, jika disedari, wujud cukai baru yang diperkenalkan dan kenaikan harga barang. Banyak juga peruntukkan dipotong. Untuk kita yang selesa dengan kehidupan, tidak mungkin kita sedari ada something wrong with our economy. Tambah-tambah bila kehidupan sekarang ditampung dengan wang biasiswa.

Beberapa hari lalu, aku ada bersembang dengan seseorang beberapa perkembangan mutakhir yang berlaku. Kadang-kadang sudah tiada daya untuk mengambil tahu apa yang berlaku. Rasa mahu sahaja akal ini digunakan untuk berfikir tentang diri sahaja. Namun, entahlah, bila rasa malas mahu ambil cakna, alih-alih duit dihulurkan untuk membayar harga surat khabar untuk mengetahui peristiwa-peristiwa lokal mahupun global. Amalan yang suda terdidik sejak kecil dan bersebati dalam diri, memang susah untuk diubah bila aku bercadang membuangnya.

Ada maklumat, bulan 2 ini ialah bulan seseorang - insya' ALLAH setiap hari mesti ada laporan tentanganya di media. Bulan 3 pula ialah bulan memilih pemimpin. Sama-samalah kita nantikan. Yang pastinya, di sebalik peristiwa-peristiwa ini, ada underlying issue yang seolah-olah dialihkan perhatian daripadanya. Aku sendiri walaupun masih agak kabur dan keliru dengan ilmu ekonomi masih lagi tercerah apabila mengingati dampak kemelesetan tahun 1997. Walaupun tidak memahami apa yang berlaku kerana masih bergelar kanak-kanak ketika itu, aku tetap merasai ada kegusaran apabila menatap dan menonton media massa.

Kebimbangan negara ini akan bergerak ke zaman gelap sekali lagi sepatutnya membenihkan kegusaran terutamanya ketika berbelanja. Kegagalan untuk mendapatkan suntikan dana asing kerana ketidaktelusan sistem yang ada sekarang sepatutnya membuatkan kita berfikir di mana silapnya. Perkara yang paling penting dan memeningkan kepalaku sejak beberapa hari ini ialah, peranan apa yang boleh dimainkan individu dalam zaman genting ini. Sama-sama kita fikirkan.