v

Friday, May 29, 2009

Ceritera 109

Tika ayam jantan masih berkokok memecahkan keheningan dan kesunyian pagi, mata yang dipejam demi memenuhi fitrah dan keperluan fisiologi mula dibuka.

Tatkala mata yang terkatup dirungkaikan tabirnya, apakah yang selalunya melintas di dalam kepala, akal dan semestinya hati kita?

Adakah ianya sebuah harapan, kekecewaan, doa, rutin, atau apa saja?

Hari-hari yang berlalu dan akan datang, kita mulakan dengan apa, soalan yang acap melintas dalam diri kebelakangan ini.

Moga menjadi sebuah renungan dan muhasabah demi niat untuk merealisasikan setiap saat diterjemahkan menjadi tanda ubudiyyah hamba kepada Sang Pencipta.

Tuesday, May 26, 2009

Ceritera 108

Ketika mengarang entri ini, kilat sabung-menyabung dan guruh sedang berdentuman di luar. Maknanya, hujan lebat akan membasahi bumi Kuantan ini buat kesekian kalinya.

Jika keadaan ini berterusan, kemungkinan untuk aku menghadirkan diri ke Farmasi Makmur itu agak rendah. Maklumlah, untuk menunggang "kuda putih"ku dari Indera Mahkota ke bandar Kuantan dalam keadaan hujan lebat tentulah cukup membahayakan.

Sedar, beberapa hari tidak mengemaskini blog ini, ucapan maaf kupohon kepada kawan-kawan yang melawat dan meninggalkan komen di blog ini kerana tidak dapat membalas setiap pesan yang ditulis.

Apa pun, ucapan terima kasih diucapkan kepada semua yang sudi meninggalkan jejak di blog yang tidak seberapa ini.

P/s: Sedang menanti gambar-gambar perjalanan Kembara Amal sempena Hari Belia Peringkat Negeri Pahang untuk dimuatkan di dalam blog ini.

Friday, May 22, 2009

Ceritera 107



Carpe Diem. Maaf, aku sedang mengalami proses pendefinisian diri.

Tuesday, May 19, 2009

Ceritera 106



Anugerah(?). Dengan rasa rendah dirinya, aku menerima anugerah ini daripada pemilik laman blog mifqiah, Lina Mursyidah Hamzah. Jutaan terima kasih diucapakan dan sebagai meneruskan kitaran anugerah dan untuk memenuhi syarat penerimaan anugerah, maka sepuluh teman lain yang akan mendapat anugerah ini ialah:

1. Shamel
2. Helmi Rahmat
3. Afiq
4. Amin
5. Mat Shahril
6. Izani dan Nadiah
7. Atiqah dan Ipin
8. Epah
9. Hawa
10. Rumah sewa Taman Polo

Inilah sepuluh pemenang anugerah bertuah daripada Che Am. Anda layak untuk mempamerkan anugerah ini di blog masing-masing. Bagi meneruskan kitaran anugerah, pilih sepuluh lagi rakan-rakan pemblog kalian untuk diberikan anugerah ini (ala-ala sistem MLM). Tahniah sekali lagi kepada semua pemenang,eheh.

P/s: Ada hikmahnya melakukan perkara ini, walaupun aku tidak faham mengapa diadakan perkara-perkara sebegini.

Wallahua'lam bissawab.

Monday, May 18, 2009

Ceritera 105

Sepanjang jalan kenangan (Sekolah Izzuddin Shah, Ipoh dari tahun 1999 sehingga 2003)

Terinspirasi dengan sebuah entri Ustaz Hasrizal menyebabkan aku menghasilkan cerita bergambar ini. Lima tahun berada di Izzuddin, inilah madrasatul tarbiyyah yang membentuk diriku. Sungguh, akulah acuan sekolah agama milik kerajaan Negeri Perak ini yang menyambut jubli emas penubuhannya pada tahun ini.



Rutin setiap hari Isnin, perhimpunan di Dewan Besar Tan Sri Ghazali Jawi.



Hari kantin, berniaga untuk menambah dana kelas. Aku, dua dari sebelah kanan. Lain kan? hehe



Sewaktu tingkatan empat (2002). Keterlibatan bersama kadet polis, membawaku dan rakan-rakan menaiki bot peronda polis marin, ganjaran kemenangan kawad kaki kadet polis peringkat negeri Perak.



Di atas bot peronda, dibawa berlayar mengelilingi Pulau Pangkor dari pengkalan polis marin Kampung Acheh di Setiawan.



Raptai kedua sambutan Hari Kebangsaan peringkat Negeri Perak tahun 2002



Senang diri!!!



Kiri, kiri, kanan, kiri. Ayuh maju bergerak ila ghoyatul qoswa (mencapai matlamat tertinggi - moto Sekolah Izzuddin Shah)



Panglima-panglima bergambar bersama guru penasihat, Al-Fadhil Ustaz Yusof



Bila mahaguru sudah tiada, maka berpencaklah panglima-panglima kita menunjukkan ilmu yang terpendam



Kem Bahasa Arab di Kuala Woh, Tapah (2003).Persediaan untuk peperiksaan SPM. Bermandi-manda di dalam sungai. Sudah kesejukan, beralih pula ke punca air panas yang berada di tepi sungai



Barisan ketua pelajar 2003. Disayangi atau dibenci? entahlah...



Demi kebenaran dan keadilan, eh silap. Bersih, cekap dan amanah. Bersama guru penasihat, Ustaz Mad Isa, Ustaz Fadhli (kini menjadi "orang besar di Jabatan Agama Islam Perak) dan Ustaz Shariman



Batch ke 40 Sekolah Izzuddin Shah (1999-2003)



Di medan juang (senario sewaktu di dalam dewan peperiksaan)



Blok D. Akulah ketua pelajar terakhir di asrama blok tersebut, menjaga pelajar-pelajar tingkatan enam dan STAM sebelum dimusnahkan untuk dijadikan kelas.



Sudah bergelar alumni. Teman-teman bersama Puan Hajah Nooraini (mencangkung) dan suaminya, Ustaz Khalid ketika ziarah sempena sambutan Idulfitri. Inilah Cikgu Noraini yang dimaksudkan oleh Ustaz Hasrizal dalam entrinya ini. Ustaz Khalid pula merupakan calon PAS di Kepala Batas menentang Pak Lah sewaktu pilihan raya umum 1999 dan 2004. Maklumat lanjut boleh diperolehi daripada anak Ustaz Soid (Lutfi), hehe.

Ceritera 104



Kalau tidak kena gayanya, aku mungkin boleh bertukar menjadi elitis yang terpisah daripada denyut nadi masyarakat.

Sungguh dua tahun berada di menara gading ini menyebabkan aku berani berhipotesis bahawa kecenderungan untuk belakunya eklusiviti terhadap warga kampus khususnya mahasiswa akan berlaku sekiranya tiada usaha yang dilakukan bagi merapatkan atau mendekatkan golongan ini dengan masyarakat.

Tendensi kepada trend ini, daripada pandangan kasar aku, lebih melibatkan kepada mereka yang dunianya hanya terbatas kepada 3K; kuliah, katil, dan kafe.

Apabila tiadanya keterlibatan terhadap aktiviti-aktiviti yang berbentuk sarana pembangunan sosial, maka terwujudlah suatu golongan yang boleh digelar sebagai "intelekcuai".

Kaum intelekcuai ini terperuk di sebalik tembok-tembok indah universiti tanpa menyedari bahawa diri mereka juga salah satu komponen yang membentuk apa yang kita namakan sebagai masyarakat.

Kepedulian sosial yang hilang dalam diri bakal menyebabkan agenda "islah wa taghyir" tiada dalam kamus kehidupan mereka.

Natijahnya, invidualisme semakin menebal lantas melahirkan dampak yang pelbagai, semacam perpecahan pada peringkat kroniknya.

Justeru tuan, jalan mana yang mahu dipilih? Tepuk dada, tanyalah iman.

Sunday, May 17, 2009

Ceritera 103



"Dan Tuhan yang Dia lah jua memberiku makan dan memberi minum. Dan apabila aku sakit, maka Dia lah yang menyembuhkan penyakitku."

(al-Shua'ra':79 - 80)

Semalam sakit kepala yang teramat menyerang kembali. Hendak berdiri tidak kena takut-takut terjatuh, hendak duduk, dunia berpusing dibuatnya, hendak berbaring, makin kuat lagi rasa sakit yang mencengkam.

Alhamdulillah, selepas mengambil beberapa biji paracetamol, kesakitan yang dialami beransur-beransur hilang.

Berbicara tentang kesihatan dan kesakitan, eloklah diri ini menukilkan beberapa petikan daripada Risalah Kepada Pesakit, tulisan Ulama' Mujaddid Turki, Badiuzzaman Said Nursi.

Risalah Kepada Pesakit, terjemahan Anwar Fakhri Omar yang kumiliki ini merupakan buku kecil yang menjadi sebahagian kecil daripada magnus opum Ustaz Nursi bertajuk Risale-i-Nur yang menjadi benteng kepada umat Islam Turki daripada arus sekularisasi yang diperkenalkan oleh Mustafa Kamal Attarturk.

Sekadar perkongsian, kunukilkan sebahagian kecil petikan awal daripada bahagian bertajuk Rawatan Keenam Belas dalam kitab kecil ini buat renungan kita bersama untu menghasilkan paradigma baru terhadap penyakit dan musibah yang dihadapi.

Maka, menulislah Ustaz Nursi kalimah-kalimah di bawah ini:

Wahai pesakit yang mengaku kegelisahan! Penyakit yang dialami sebenarnya mengajar orang yang mengalaminya tentang ikatan kehidupan kemasyarakatan dan kemanusiaan yang paling penting dan indah, iaitu saling hormat-menghormati dan perasaan berkasih sayang. Ikatan ini boleh menyelamatkan manusia daripada bersifat tidak memerlukan kepada orang lain, kerana sifat tidak memerlukan kepada orang lain akan menyebabkan seseorang hidup dalam keadaan terasing dan liar serta menghilangkan sifat kasihan belas daripada dirinya...

Menyimpulkan cuplikan di atas, sesuailah untuk direnungkan frasa "no man is an island" yang pertama kali kudengar sewaktu berada di bangku sekolah menengah dahulu.

Wallahua'lam bissawab.

Ceritera 102



Sepatutnya untuk sebuah novel yang memiliki kira-kira 300 halaman seperti Rimba Harapan, hanya tiga jam sahaja diperlukan untuk menghabiskannya.

Namun, tiga jam itu bertukar menjadi tiga hari disebabkan halangan-halangan dan tugasan-tugasan yang tidak dapat dielakkan.

Menatap kulit buku Rimba Harapan membuatkan aku jatuh cinta. Entah mengapa, nilai-nilai sentimental terbangkit oleh citra yang dipilih menjadi kulit novel tersebut, mungkin kerana dekatnya persekitaran dan suasana kampung dengan diriku ini.

Rimba Harapan membawa kita untuk memahami, sekurang-kurangnya zeitgeist orang-orang Melayu pada era penjajahan kolonial dahulu.

Perubahan yang dibawa oleh penjajah mengakibatkan dua cara berfikir dan bertindak oleh orang-orang Melayu ketika itu; berubah atau terus bertahan berpegang dengan nilai-nilai tradisi yang diwarisi.



Merujuk kepada dua sudut pandang yang dipamerkan dalam novel ini, memungkinkan kita untuk menilai dan memahami nilai-nilai baru yang dibawa oleh perubahan zaman pada masa ini. Untuk memahaminya, seeloknya The World is Flat tulisan Thomas L.Friedman mungkin baik untuk dihadamkan oleh semua.

Saturday, May 16, 2009

Ceritera 101

Entri yang ditulis oleh adikku ini boleh memberi gambaran terhadap apa yang dilalui oleh mereka yang belajar di universiti-universiti yang baru dibina oleh kerajaan.

Ketimbang aku yang menuntut di UIAM yang menghampiri tiga dekad penubuhannya, sudah tentulah mahasiswa-mahasiswa di universiti setahun jagung ini tidak menikmati dan mengecapi kemudahan-kemudahan yang sebaik dengan universiti-universiti lain yang sudah bertapak lama.

Bagaikan kanak-kanak baru bertatih, sudah tentulah banyak kepayahan dan kesusahan yang perlu dihadapi oleh mereka ini, yang terpaksa bersyukur dengan segala kemudahan terhad yang disediakan.

Maka, seharusnya bersyukurlah kita terhadap apa yang ada sekarang tanpa perlu merungut-rungut akan segala kekurangan yang ada. Kenangkanlah mereka yang lebih susah dan kurang nikmatnya berbanding kita...

Ceritera 100



Entri keseratus untuk sebuah blog yang sederhana ini.

Sebuah entri yang bercitrakan feminisme mungkin; khusus untuk golongan wanita.

Ketika ada yang sedang menikmati Ketupat Cinta karya terbaru sasterawan muda, Faisal Tehrani, aku pula mengulang membaca novelnya yang lama bertajuk Surat-Surat Perempuan Johor.

Seperti juga membaca Saasatul Ibaad, tulisan ini juga berlatarkan sejarah, khususnya sejarah Negeri Johor.

Maka, tertariklah hati diri ini untuk berkongsi bersama cuplikan novel yang dibaca untuk dikongsi bersama semua pembaca setia blog ini terutamanya mereka yang bergelar perempuan:

Perempuan itu seperti dalam pengetahuan kita, terkandung dalam enam huruf pengertiannya.

Kanda tunku, kita ini ingin mengingatkan diri dan juga diri kanda jua akan ajaran-ajaran lama yang pernah kita sama-sama teguk dahulu.

Huruf Fa itu berkaitan fasih. Lidah kita orang perempuan ini harus memuji Allah dan Rasul-Nya, memuji kebaikan suami dan orang yang berbudi kepadanya. Sedang Ra itu mengenai ramah untuk bertemu jalan Allah, ramah mendapatkan petunjuk Rasulullah sallahu alaihi wassalam serta ramah mendapat kasih suami.

Kitab itu juga mengajarkan kita huruf Mim pada perempuan itu adalah sifatnya yang malu kepada Allah dan kepada Rasul, sayugia setelah ada segan ada silu tentu juga pandai kita memelihara malu suami dan malu lain di tempat yang patut kita menaruh malu.

Perempuan itu mengandungi dua Fa, dan akan huruf Fa kedua membawa erti percaya. Perempuan harus penuh kepercayaan, tidak mengkhianat, tidak kenal ingkar, tidak bercakap dusta-dusta dan ditegah membuka jalan yang haram.

Sedang Wau pula seperti syarah bonda Ampuan, adalah perempuan itu wangi kerana haruman bidadari di syurga itu kita yang warisi. Kerana wangi menyejukkan hati, mendamaikan suami dan terbendunglah kita dari menyebar pengkhabaran busuk dan umpatan-umpatan berbau bangkai.

Sedang huruf akhir, Nun, membawa erti besar iaitu andalan. Seperti permata berharga, perempuan itu memelihara dan mengenal ia baik jahat, dosa dan pahala hingga dapat menjadi andalan dirinya. Yang namanya perempuan itu ialah insan yang terpercayakan.


- Surat-Surat Perempuan Johor halaman 19-20

p/s: Apa pula maknanya lelaki?

Friday, May 15, 2009

Ceritera 99

(1)

15 Mei, selamat Hari Belia diucapkan kepada semua yang berumur antara 15 - 35 tahun. Kalian yang bergelar belia inilah harapan kepada masa hadapan negara.

"Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang agama"

(2)

16 Mei, selamat Hari Guru kepada semua insan-insan yang telah mendidikku sehingga aku memiliki apa yang kukecapi hari ini. Hanya Tuhanlah yang mampu membalas segala jasa kalian.

Teringat diri ini sebuah puisi yang telah kudeklamasikan sempena sambutan Hari Guru peringkat sekolah semasa aku masih menuntut di Sekolah Kebangsaan Pasukan Polis Hutan kira-kira 10 tahun yang lepas.

Guru O Guru, sajak tulisan Sasterawan Negara, Usman Awang kupamerkan di blog ini bagiku mengenang kembali perjalanan mencari mutiara-mutiara ilmu bersama kalian, wahai guru-guruku yang dikasihi.

BERBURU ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG
1979


P/s:

Cikgu Aminah (Guru kelas 6 Kreatif - 1998), kalau aku bercuti, insya' ALLAH selalu kulawati dan ziarahi rumahnya.


Cikgu Mahsuri (Guru Kelas 5 Kreatif - 1997)

Thursday, May 14, 2009

Ceritera 98

(1)

Letih.

Tapi bahagia.

Sekurang-kurangnya, diri tahu masa terluang yang ada tidak dibazirkan begitu sahaja.

(2)

Kelmarin, aku mendapat hadiah lagi .

Kali ini daripada Kak Su dan Kak Ili.

Sebuah buku, God is my CEO: Following God's Principles In A Bottom-line World

Betul-betul baik hati kakak berdua ini.

Hanya ucapan jutaan terima kasih jualah yang mampu diberikan.



(3)

Sedang ke'pokai'an, sempat lagi dua buah buku tambahan kubeli selepas kami Kak Su dan Kak Ili bubar dari Megamall. Inilah koleksi baruku:

1. Dinamisme Gerakan Islam dan Cabaran Semasa tulisan Prof. Madya Badlihisham Mohd Nasir




2. Rimba Harapan karya Keris Mas.

Alahai, inilah masalah kalau ke kedai buku, hehe

P/s: Hadiah, bukanlah dinilai daripada harganya, tetapi ketulusan hati orang yang memberi. Setuju?

Monday, May 11, 2009

Thursday, May 7, 2009

Ceritera 96

Agama itu nasihat.

Sebahagian daripada sebuah hadis RasuluLLAH S.A.W yang terkandung dalam Hadis 40 Imam Nawawi.

Sulit sebenarnya apabila ada yang meminta nasihat.

Ada yang datang menemui, ada yang mengirim SMS dan tidak kurang juga yang berutus melalui kemudahan internet.

Bertambah parah apabila diminta menjadi muzakkir menyampaikan tazkirah dan pengisian.

Memberi dan menuturkan nasihat memang mudah, tetapi mengenangkan diri yang bergelumang dosa menyebabkan sedikit sebanyak serba salah itu ada lantas apa yang hendak diucap itu tersekat dek lidah yang kelu untuk mengungkap.

Dilema, dilema...

Wednesday, May 6, 2009

Ceritera 95

Kehidupan tradisional orang Melayu Perak dan Pahang ada beberapa pesamaan.

Ini merupakan antara kesimpulan yang dapat kuberikan sepanjang sehari berkelana dari Kuala Lipis ke Kuantan.

Membandingkan antara orang-orang Melayu Perak yang dahulunya menghuni di sekitar tebing Sungai Perak dan kehidupan orang-orang Melayu Pahang yang menjadikan petempatan mereka berhampiran aliran Sungai Pahang menyebabkan ada beberapa aspek yang membuatkan wujudnya persamaan antara masyarakat Melayu kedua-dua negeri:

1. Makanan: Setahu aku hanya di dua negeri ini sahaja yang terkenal dengan gulai tempoyaknya.

2. Sejarah: Penentangan perjuangan menentang penjajah berlaku di sungai-sungai besar dan kawasan berhampiran yang ada di kedua-dua negeri. Datuk Maharajalela dan orang-orangnya membunuh J.W.W Birch di Sungai Perak yang mengalir di Pasir Salak manakala pejuang-pejuang Melayu Pahang seperti Mat Kilau, Dato' Bahaman dan Tok Gajah menjadikan Sungai Pahang menjadikan sebagai pusat penentangan terhadap Inggeris.

3. Dialek: Ada beberapa persamaan antara loghat Bahasa Melayu Perak dan Bahasa Melayu Inggeris seperti menyebut perkataan besar yang dibunyikan sebagai "besor".

Tiga perkara di atas merupakan antara persamaan-persamaan yang boleh aku kesan dalam kembaraku semalam dan sepanjang permastautinan aku di bumi Pahang Darul Makmur ini.

Masih banyak lagi fakta-fakta yang masih belum tersingkap untuk dicari dan diselidiki.

Semuanya menuntut kepada kesediaan seseorang untuk mencari dan mengkaji dan kemahuan ntuk mengetahui asal-usul dan tradisi sesuatu bangsa; dan aku cuba untuk menjadi sebahagian daripada golongan ini.

Jika Swettenham suatu ketika dahulu meredah hutan belantara, mudik ke hulu dan menghilir ke kuala sungai semata-mata untuk memasuki kampung-kampung Melayu bagi memahami orang Melayu dan seterusnya mengukuhkan cengkaman penjajahan Inggeris, apakah kita sendiri tidak mahu memahami diri dan bangsa kita sendiri?

Kenal budaya, fahami bangsa, sayangi nusa.

P/s: Mitos Peribumi Malas, tulisan Syed Hussein Al-Attas, ada sesiapa boleh pinjamkan kepadaku?

Ceritera 94

Tadi baru sahaja melengkapkan perjalanan dari Kuala Lipis sehingga ke Raub.

Kemudian mampir pula ke Jengka tepatnya di homestay Rumpun Makmur.

Dan Jumaat ini, aku akan ke Negeri Sembilan pula.

P/s: Jauh perjalanan, luas pemandangan, banyak pengalaman.

Monday, May 4, 2009

Ceritera 93

Hari ini, baru dapat ber"nafas" seketika.

Jumaat: Ipoh ke Kuantan

Sabtu: Kuantan ke Maran

Ahad: Maran - Lanchang - Kuantan

Isnin: Kuantan ke Kuala Lipis

P/s: 3 Mei 2009 : Genap 23 tahun aku hidup di muka bumi ini. Terima kasih kepada teman-teman yang mengingatinya sama ada melalui SMS, Facebook dan Friendster.

Saturday, May 2, 2009

Ceritera 92

Aku ingin mencoret sesuatu, namun kekuatan itu tiada dalam diri.

Kurang semangat dan kurang iman penyebabnya.

Apa pun, aku sudah berada di Kuantan dan pagi nanti akan bergerak ke Maran bersama-sama Abang Mahadi.

Moga selamat perjalannya nanti.

p/s: Al-Fatihah kepada Azwan @ Bobby (Sekolah Izzuddin Shah 1999-2003) dan kakaknya yang kembali ke RahmatuLLAH pagi semalam akbat kemalangan jalan raya.

Friday, May 1, 2009

Ceritera 91

Puisi (kalau boleh dikatakan sebagai sebuah puisi) lama sebenarnya, garapan enam tahun lepas, sewaktu di tingkatan lima.

Tersenyum juga melihatkan susunan bahasanya, janggal di sana-sini. Ah, masa lampau, inilah warisan yang menerangkan zeitgeist yang menyelubungi diri.

Dirimu

Percayakah dirimu,
Jika kukatakan dirimu sakit,
Sudah pasti jawapanmu,
Kalimah ini,
Tidak.

Betapa dirimu,
Gila dengan kehidupan ini,
Gila harta, gila pangkat, gila segalanya,
Sedangkan engkau lupa,
Al-Khaliq sedang menantimu,
Di akhirat sana.

Sesungguhnya dirimu,
Sama seperti diriku,
Sedang menderita,
Penyakit bahaya ini,
"Wahan",
Cinta dunia,
Takut mati.

Sudahkah dirimu mempercayai,
Bahawa dirimu sedang sakit,
Sudah tentu dirimu mengiyakan,
Jadi,
Tunggu apa lagi,
Kembalilah dirimu,
Ke jalan yang lurus.


-Kiyai Diponegoro-
Mohd Norezham b. Che Ali
5 Sains

*disiarkan dalam majalah rasmi Sekolah Izzuddin Shah, Akrab edisi 2003