v

Tuesday, September 6, 2011

Hikam Abu Madyan

Hari ini aku sempat memanfaatkan waktu senggang antara maghrib dan isya' dengan menghadiri kuliah Hikam Abi Madyan pimpinan Ustaz Zaki Che Deraman. Kali kedua aku mengikuti pengajian kitab ini yang diadakan sebulan kali ini.

Ustaz Zaki menggunakan kitab yang diterbitkan oleh Yayasan Sofa terjemahan Shaykh Fuad Kamaluddin al-Maliki. Sayangnya, dulu ketika berprogram di madrasah Shaykh Fuad di Rembau dan menghadiri ceramahnya di Masjid Negeri Shah Alam, aku tidak membeli kitab ini. Sebenarnya, tergerak juga hati ini untuk membeli kitab tersebut, tapi mengenangkan aku tidak dapat mempelajarinya secara berguru ketika itu, membuatkan aku membeli kitab-kitab terjemahan yang dikarang Sayyid Muhammad Alawi al-Maliki al-Hasani, Mafahim dan Hadzihi Sabili. 

Bila kita berbicara tentang Hikam, tentunya kita terbayangkan kitab Hikam karangan Ibnu 'Atho Illah al-Sakandari yang lebih terkenal dan banyak diajar di masjid-masjid di negara ini. Membandingkan kedua-kedua kitab ini, Hikam Abu Madyan lebih 'tinggi' daripada Hikam Ibnu 'Atho Illah. Bayangkan, kitab Hikam Ibnu 'Atho' Illah pun banyaknya yang tidak tercapai kita untuk memahami dan mengamalkannya, apatah lagi kitab Hikam karangan Shaykh Abu Madyan yang datang daripada Maghribi ini.

Namun demikian, janganlah ketidakmampuan kita untuk memahami menjadi penghalang kepada kita untuk mengikuti pengajian-pengajian sebegini. Sekurang-kurangnya kehadiran kita dalam sesebuah majlis ilmu itu akan membuka pintu keberkatan Ilahi dalam kehidupan seharian, begitulah harapnya.

Berbalik kepada kuliah hari ini, Ustaz Zaki masih membahaskan hikmah kedua iaitu: 


الحق تعالى مطلع على السرائر والظواهر في كل نفس وحال فأيماقلب رآه مؤثرله حفظه من طوارق المحن ومظلات الفتن

ALlah Yang Maha Besar melihat segala rahsia dan zahir hambaNya pada setiap nafas dan keadaan. Maka mana-mana hati yang dilihat oleh ALlah mengutamakanNya daripada yang lain. Nescaya ALlah memeliharanya daripada kedatangan-kedatangan ujian dan kesesatan fitnah yang memesongkan pandangannya kepada yang lain.

Puas mendengar Ustaz menghuraikan hikmah ini sehingga sejam yang berlalu tidak terasa. Seronok mendapat ilmu baru seperti huraian فناء dan kisah-kisah 'luar biasa' mereka yang mengalaminya. Biar akal tidak dapat mencerap tapi zauq yang datang daripada pengajian ini cukup membahagiakan.

Begitulah kewujudan kuliah-kuliah seperti inilah yang membuatkan aku rasa 'serba salah' untuk bekerja jauh dari rumah. Harapnya, ke mana sajalah ALlah menghantar aku berkhidmat dibuka juga peluang untuk aku 'mengaji'.

Hikam Abu Madyan dalam Bahasa Indonesia

No comments: