v

Monday, September 5, 2011

Dilema Graduan Farmasi

Baru sempat membaca surat khabar Metro malam ini setelah siangnya menyelesaikan beberapa urusan di luar. Ternampak sebuah e-mel yang disiarkan oleh akhbar tersebut. Membacanya sedikit sebanyak menjawab 'misteri' penantian ini. Harap-harapnya apa-apa yang ditulis dalam e-mel tersebut hanyalah khabar angin semata-mata.

BIDANG farmasi adalah bidang yang luas prospek kerjayanya. Di negara maju seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Jepun, bidang farmasi adalah profesion yang penting dan dihormati dalam memastikan aspek kesihatan masyarakatnya berada dalam keadaan terbaik dan terpelihara.

Di Malaysia, bidang farmasi adalah bidang yang baru menempah nama sekitar lima hingga 10 tahun lalu.

Keperluan ahli farmasi yang terlalu tinggi dalam sektor awam mendorong ramai pelajar memilih bidang farmasi sebagai kursus pilihan mereka di universiti kerana bidang ini menjanjikan prospek kerjaya yang cerah.

Sekitar 2006, diuar-uarkan jumlah ahli farmasi berdaftar masih sedikit dan negara memerlukan lebih ramai ahli farmasi untuk berkhidmat kerana ahli farmasi yang ada belum mencukupi menjelang 2020.

Dalam usaha meningkatkan jumlah ahli farmasi berdaftar di Malaysia, banyak institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) yang mula menawarkan kursus Sarjana Muda Farmasi sehingga jumlah kursus farmasi yang ditawarkan di IPTS melebihi jumlah kursus farmasi yang ditawarkan di institut pengajian tinggi awam (IPTA). Statistik mengenai Maklumat Kedudukan Perjawatan Kementerian Kesihatan Malaysia bertarikh 1 Januari 2011 menunjukkan kekosongan ahli farmasi di Kementerian Kesihatan Malaysia hanya sekitar 91 orang yang mewakili peratusan kekosongan sebanyak dua peratus.

Ini jelas menunjukkan jumlah ahli farmasi dalam perkhidmatan awam mulai penuh dan kekosongan yang ada terlalu sedikit untuk menampung graduan farmasi yang terlalu ramai.

Selaku graduan farmasi dari IPTA dan pemegang biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), saya terlalu risau dan takut dengan perkembangan ini.

Saya dan rakan menerima surat tawaran lantikan sebagai pegawai farmasi U41 dari Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan kini menunggu surat arahan ‘posting’ Kementerian Kesihatan Malaysia.

Bagaimanapun, daripada berita yang kami terima, sebahagian daripada kami terbabit dalam ‘pembekuan’ oleh JPA dan sehingga kini kami belum dapat kepastian bila kami dapat memulakan langkah pertama kami sebagai ahli farmasi berdaftar di negara ini.

Menurut maklumat yang diterima daripada Amalan Perkembangan Farmasi, ‘posting’ untuk kami terpaksa ditangguhkan ke satu tempoh yang belum dapat dipastikan tarikhnya.

Pembekuan ini amat mengecewakan kami kerana sebahagian daripada rakan kami dari universiti yang lain jauh meninggalkan kami dan sudah memulakan kerjaya mereka.

Kami tidak pasti sama ada langkah ini disebabkan pekeliling JPA mengenai pembekuan pengambilan/pemansuhan semua jawatan dalam jabatan kerajaan yang berkuat kuasa 1 Jun 2011 atau pembekuan ini disebabkan tiada tempat kosong menampung jumlah kami dalam hospital kerajaan seperti mana desas-desus yang hangat diperkatakan ketika ini. Perkara yang lebih menyedihkan kami adalah kenapa sebahagian daripada rakan kami dari universiti lain dikecualikan daripada ‘pembekuan’ ini dan diterima untuk berkhidmat sedangkan kami masih menunggu jawapan yang belum pasti.

Justeru itu, saya dan rakan menyeru JPA atau pihak berwajib tampil menjelas dan menyelesaikan isu ini dengan cepat serta berhemah kerana hal ini membabitkan masa depan kami.

Kedudukan kami tidak seperti graduan universiti lain kerana ijazah yang kami miliki tidak akan laku selagi kami tidak mendapat lesen khas ahli farmasi dan nombor pendaftaran penuh dari Lembaga Farmasi Malaysia.

Sekiranya sudah tiada tempat untuk kami dalam perkhidmatan awam, cukuplah sekiranya JPA dan Kementerian Kesihatan Malaysia memberi ruang untuk kami menjalankan ‘housemenship’ dan mendapatkan lesen sebagai ahli farmasi berdaftar.

Pandanglah kami di sini, kerana kami juga mempunyai cita-cita dalam merealisasikan impian kami.
GRADUAN FARMASI Kuala Lumpur

No comments: