v

Sunday, May 17, 2009

Ceritera 103



"Dan Tuhan yang Dia lah jua memberiku makan dan memberi minum. Dan apabila aku sakit, maka Dia lah yang menyembuhkan penyakitku."

(al-Shua'ra':79 - 80)

Semalam sakit kepala yang teramat menyerang kembali. Hendak berdiri tidak kena takut-takut terjatuh, hendak duduk, dunia berpusing dibuatnya, hendak berbaring, makin kuat lagi rasa sakit yang mencengkam.

Alhamdulillah, selepas mengambil beberapa biji paracetamol, kesakitan yang dialami beransur-beransur hilang.

Berbicara tentang kesihatan dan kesakitan, eloklah diri ini menukilkan beberapa petikan daripada Risalah Kepada Pesakit, tulisan Ulama' Mujaddid Turki, Badiuzzaman Said Nursi.

Risalah Kepada Pesakit, terjemahan Anwar Fakhri Omar yang kumiliki ini merupakan buku kecil yang menjadi sebahagian kecil daripada magnus opum Ustaz Nursi bertajuk Risale-i-Nur yang menjadi benteng kepada umat Islam Turki daripada arus sekularisasi yang diperkenalkan oleh Mustafa Kamal Attarturk.

Sekadar perkongsian, kunukilkan sebahagian kecil petikan awal daripada bahagian bertajuk Rawatan Keenam Belas dalam kitab kecil ini buat renungan kita bersama untu menghasilkan paradigma baru terhadap penyakit dan musibah yang dihadapi.

Maka, menulislah Ustaz Nursi kalimah-kalimah di bawah ini:

Wahai pesakit yang mengaku kegelisahan! Penyakit yang dialami sebenarnya mengajar orang yang mengalaminya tentang ikatan kehidupan kemasyarakatan dan kemanusiaan yang paling penting dan indah, iaitu saling hormat-menghormati dan perasaan berkasih sayang. Ikatan ini boleh menyelamatkan manusia daripada bersifat tidak memerlukan kepada orang lain, kerana sifat tidak memerlukan kepada orang lain akan menyebabkan seseorang hidup dalam keadaan terasing dan liar serta menghilangkan sifat kasihan belas daripada dirinya...

Menyimpulkan cuplikan di atas, sesuailah untuk direnungkan frasa "no man is an island" yang pertama kali kudengar sewaktu berada di bangku sekolah menengah dahulu.

Wallahua'lam bissawab.

No comments: