v

Saturday, May 16, 2009

Ceritera 100



Entri keseratus untuk sebuah blog yang sederhana ini.

Sebuah entri yang bercitrakan feminisme mungkin; khusus untuk golongan wanita.

Ketika ada yang sedang menikmati Ketupat Cinta karya terbaru sasterawan muda, Faisal Tehrani, aku pula mengulang membaca novelnya yang lama bertajuk Surat-Surat Perempuan Johor.

Seperti juga membaca Saasatul Ibaad, tulisan ini juga berlatarkan sejarah, khususnya sejarah Negeri Johor.

Maka, tertariklah hati diri ini untuk berkongsi bersama cuplikan novel yang dibaca untuk dikongsi bersama semua pembaca setia blog ini terutamanya mereka yang bergelar perempuan:

Perempuan itu seperti dalam pengetahuan kita, terkandung dalam enam huruf pengertiannya.

Kanda tunku, kita ini ingin mengingatkan diri dan juga diri kanda jua akan ajaran-ajaran lama yang pernah kita sama-sama teguk dahulu.

Huruf Fa itu berkaitan fasih. Lidah kita orang perempuan ini harus memuji Allah dan Rasul-Nya, memuji kebaikan suami dan orang yang berbudi kepadanya. Sedang Ra itu mengenai ramah untuk bertemu jalan Allah, ramah mendapatkan petunjuk Rasulullah sallahu alaihi wassalam serta ramah mendapat kasih suami.

Kitab itu juga mengajarkan kita huruf Mim pada perempuan itu adalah sifatnya yang malu kepada Allah dan kepada Rasul, sayugia setelah ada segan ada silu tentu juga pandai kita memelihara malu suami dan malu lain di tempat yang patut kita menaruh malu.

Perempuan itu mengandungi dua Fa, dan akan huruf Fa kedua membawa erti percaya. Perempuan harus penuh kepercayaan, tidak mengkhianat, tidak kenal ingkar, tidak bercakap dusta-dusta dan ditegah membuka jalan yang haram.

Sedang Wau pula seperti syarah bonda Ampuan, adalah perempuan itu wangi kerana haruman bidadari di syurga itu kita yang warisi. Kerana wangi menyejukkan hati, mendamaikan suami dan terbendunglah kita dari menyebar pengkhabaran busuk dan umpatan-umpatan berbau bangkai.

Sedang huruf akhir, Nun, membawa erti besar iaitu andalan. Seperti permata berharga, perempuan itu memelihara dan mengenal ia baik jahat, dosa dan pahala hingga dapat menjadi andalan dirinya. Yang namanya perempuan itu ialah insan yang terpercayakan.


- Surat-Surat Perempuan Johor halaman 19-20

p/s: Apa pula maknanya lelaki?

1 comment:

alif zai mim ra said...

masya-Allah... sangat menarik definisi perempuan yang ini. saya pun tertanya-tanya juga dari mana datangnya perkataan 'perempuan' itu sendiri. nak tny cikgu Fuziah lah. :P