Aku baru tersedar daripada tidur. Selesai sahaja membaca satu bab novel Maryamah Karpov pemberian Kak Wahid, aku tutup buku itu untuk membaca buku lain yang lebih berat. Namun, entah bagaimana, tanpa disedari aku terus terlelap di atas katil.
Ada dua faktor yang merencat pergerakanku hari ini. Satu, tayar motorku pancit dan dua, kepala diserang migraine. Dua hari motor putih itu tersadai membuatkan niatku untuk 'berfoya-foya' di hujung minggu sedikit terbantut. Tanpa motor, terasa dunia ini sempit dibuatnya. Untuk bergerak ke sana-sini pun terpaksa mengharap kepada orang lain. Mujurlah siang tadi kepala diserang migraine. Mahu tidak mahu, terpaksalah duduk dan tidur di rumah sahaja.
Paginya sebelum diserang migraine, sempat juga ke Taman Pertanian menyertai phytochemical expidition. Pada awalnya dikhabarkan untuk membantu para pensyarah sahaja. Tetapi selepas kelibat Dr. Razak dan Dr. Taher tidak muncul, watak sampingan seperti yang dikhabarkan bertukar menjadi watak utama. Kepalaku yang sudah berasa tidak selesa menyebabkan aku sedikit pasif membantu Payak mengetuai lima orang adik-adik Sultan Abu Bakar School (SABS).
Tugas ad-hoc yang diterima ini membuatkan aku sedikit blurr sepanjang program. Ditambah dengan soalan-soalan yang ditanyakan oleh guru-guru pengiring dan pegawai-pegawai Jabatan Pendidikan, aku sedikit ralat dengan peranan yang dimainkan hari ini. Hanya sedikit pengalaman yang berbekas pada memori ketika memasuki tempat yang sama 2 minggu lepas sedikit sebanyak menyelamatkan keadaan. Bagai fasi tanpa modul, itulah perkataan yang terbaik yang menerangkan keadaan aku dan juga mungkin Payak.
Keluar dari Hutan Simpan Galing sebelum matahari tegak di atas kepala, kulihat stokin kiriku kedapatan tompok darah yang agak besar. Minat sungguh cik Lin (lintah) dengan aku, haha. Dua minggu lepas, sampai di rumah baru kusedar ada Cik Lin yang naik sampai ke pinggang. Perkara yang paling leceh dan malas dilakukan apabila dibaham lintah ialah untuk menyental pakaian yang terkena darah. Tambah-tambah kalau pakaian itu berwarna putih atau cerah seperti stokinku yang menjadi mangsa hari ini.
Pulang dari Taman Pertanian, migraine di kepala makin teruk menggasak. Aku rasa faktor yang menyebabkan migraine datang menyerang ialah Cicardian Rhythmku yang terganggu hari sebelumnya. Dek kerana keletihan, aku terlelap di ruang tamu sembari lampu kalimantang masih bernyala. Bila fitrah badani tidak dituruti, nah, tanggunglah akibatnya. Alhamdulillah, syukur, sakit yang membelenggu akhirnya hilang setelah pelbagai cara diikhtiarkan seperti menelan Milidon 650.
Ketika aku berada di Taman Pertanian, Faciteam sedang mengadakan Facilitator Special Training (FST). Dengarnya, Abang Firdaus Ujang (Dr.), Chief Coordinator Faciteam kedua pun ada sekali. Mula-mulanya, mahu juga menampakkan batang hidung, tetapi selepas motor dan kepala mengalami gangguan, niat tinggal niat sajalah. Mohon maaf kepada yang mengirim sms memintaku datang. Kebelakangan ini, perasaanku berbisik menyatakan makin lama makin jauh rasanya dengan Faciteam ini. Sejak tidak berjawatan lagi, makin jarang aku bersama persatuan ini. Entahlah, bila banyak perkara menuntuk komitmen kita, ada perkara yang terpaksa dikorbankan...
Walaupun sudah agak jarang bersama, perjalanan Faciteam masih kuikuti sedikit sebanyak melalui blog, Facebook dan bertanya sendiri kepada hardcore-hardcore Faciteam seperti Irwan. Dari tahun ke tahun sistem yang dilaksanakan persatuan ini semakin kemas. Daripada sebuah persatuan yang bermula dengan 'kesedaran sosial', semakin lama usianya kematangannya dapat dilihat melalui kewujudan sistemnya. Seronok melihat wajah-wajah baru mengisi ruang yang ditinggalkan oleh para perintis dahulu. Tambah seronok apabila melihat muka-muka lama seperti Kak Suhaili Naim dan Ilman terus komited mendidik muka-muka baru ini. Yang tidak seronoknya ialah kehilangan muka-muka lama seperti aku ini...
Tetapi tidak mengapalah, tanpa muka-muka lama ini Faciteam tetap dapat terus menabur bakti. Biarlah tanpa promosi dan tidak seglamour mana, ahli-ahli persatuan ini faham dan tahu apa yang dilakukan. Contoh kefahaman terbaik ialah apa yang dimiliki oleh Abang Firdaus Ujang, walaupun dalam kesibukan bergelar houseman masih juga dapat turun ke Kuantan menurunkan sedikit sebanyak ilmu yang dimilikinya kepada pewaris Faciteam. Sedikit masa lagi, insya' ALLAH, pengasas Faciteam, Abang Jep akan berada di Kuantan menjadi pensyarah di Kuliyyah Perubatan. Harap-harap dengan kehadirannya, sedikit sebanyak dapat memberi suntikan semangat kepada persatuan yang hampir mencecah satu dekad ini.
Bila menulis tentang Faciteam, automatik aku teringat pada Kak Wahid. Kelmarin Kak Ili ada memberitahu Kak Wahid akan bergerak ke Kuala Lumpur pada pagi sabtu. Moga selamatlah semua hendaknya. Aku harap Kak Wahid yang kukenal ini terus tabah melawan kanser darah yang dihidapinya ini. Dulu, pertama kali aku dapat tahu berita ini, aku pun turut tertekan. Tertekan sampai migraine datang menyerang...
Inilah catatan tengah malam. Untuk semua yang membaca blog, moga kita terus kuat menghadapi cabaran kehidupan ini. Untuk hari yang berlalu, kita jadikan sebagai kenangan. Untuk hari yang mendatang, kita jadikan sebagai harapan. Untuk hari yang sedang dilalui, kita jadikan sebagai kenyataan.
"Yesterday is History, Tomorrow a Mystery, Today is a Gift, Thats why it's called the Present"
No comments:
Post a Comment