Pukul lapan sehingga sembilan, ada seminar Herbal Medicine. Untuk hari ini, tiga orang membentangkan tumbuh-tumbuhan daripada ekspedisi kumpulan masing di Hutan Simpan Galing beberapa minggu lepas. Secara ikhlasnya, aku tidak dapat menyerap butiran yang dibentangkan Cagan, Lutfi dan 'Atiqah. Jadi, untuk kelas pertama hari ini, jasad sahaja yang ada, jiwa melayang entah ke mana.
Pukul sembilan, Dr. Wan Azizi menyambung sesi pembelajaran hari ini. Dr. Wan mengajar AICA, lebih khususnya Antihelmintic drugs. 8 jenis ubat semuanya:
1. Albendazole
2. Mebendazole
3. Thiabendazole
4. Pyrantel pamoate
5. Piperazine
6. Niclosamide
7. Diethylcarbamazine
8. Ivermectin
Ubat ada lapan jenis, penyakit-penyakit yang ditekankan oleh Dr. Wan pula ada tiga iaitu:
1. Ascaris
2. Filariasis
3. Tapeworm
Tidak sampai sejam Dr. Wan mengajar. Selepas makan-makan di cafe RnR, Amin mengajak aku naik ke bilik Dr. Razak menanyakan perihal Ketonazole atau Ketoconazole. Sampai berhampiran bilik Dr. Razak, kelihatan kelibat beberapa orang sisters menunggu di luar bilik. Rupanya di dalam bilik, Dr. Razak tengah melayan beberapa orang brothers.
Selesai Amin menanyakan masalah Ketonazole atau Ketoconazole, aku menunggu brother yang sedia ada dalam bilik berurusan dengan Dr. Razak - tentu sekali tentang markah peperiksaan pertengahan semeseter AICA dan Sensory System. Selepas mendengar markah kawan-kawan yang lain, tibalah masanya aku mengetahui hasil yang telah kulakukan di dalam dewan peperiksaan.
Seperti yang aku jangka, gagal dalam Sensory, lulus dalam AICA. Maknanya, sudah ada dua subjek yang lulus dan satu subjek yang gagal. Alhamdulillah, walaupun gagal, markah Sensory yang diperolehi tidak jauh sangat dengan markah yang diperlukan untuk lulus. Yang menariknya, untuk tiga-tiga subjek yang telah diketahui keputusannya, ada semacam badi pada soalan-soalan short note yang kujawab. Alhamdulillah, kali ini soalan long essay yang dijawab menyelamatkan aku daripada memperolehi markah yang teruk.
Setibanya di kelas selepas selesai urusan dengan Dr. Razak, Dr. Kyi Kyi Tha sudah sedia mengajar. Aku tidak dapat fokus pada Therapeutic Intervention yang diajar oleh Dr. Kyi. Masih terfikir-fikir tentang markah peperiksaan yang baru diterima, mungkin. Selepas kelas Drug Abuse ini, Dr. Kyi kembali mengajar, kali ini dalam subjek Endocrine and Reproductive System.
Hari ini kami memasang telinga mendengar Dr. Kyi bersyarah tentang Oral and Implantable Contraceptives. Ada 4 kelas terbesar oral contraceptives yang disyarahnya:
1. Combination pills
2. Progestin pills
3. Progestin implants
4. Postcoital contraception
Dalam kelas ini ada juga Dr. Kyi menyentuh dan menekankan tentang Tamoxifen, sejenis selective estrogen receptor modulators yang digunakan untuk merawat oestrogen sensitive breast cancer.
Kelas tamat jam 12.20. Singgah di gerai McG membeli juadah tengah hari. Pulang ke rumah di IM6 sebelum pergi solat jumaat di Masjid Tengku Ampuan Afzan. Hari ini khutbah berkaitan judi.
Pukul tiga, ada kelas Herbal Medicine yang diajar Dr. Azian. Belajar tentang Common Malaysia Herbs. Dr. Azian mengajak berkenalan tujuh jenis herba di Malaysia:
1. Tongkat Ali
2. Kacip Fatimah
3. Misai Kucing
4. Patawali
5. Hempedu bumi
6. Senduduk
7. Cekur
Ada di slaid Dr. Azian, nama Jamia yang menjadi rujukan berkenaan kajian farmakologi kacip fatimah. Aku syak nama Jamia yang terpampang itu merujuk kepada Prof. Madya Dr. Jamia Adzina Jamal, Timbalan dekan di Fakulti Farmasi UKM. Dr. Azian ada juga menyebut tentang seorang penyelidik herba di USM, Prof. Zhari. Prof. Zhari yang disebut ini, kalau tidak silap, bapa kepada Ahmad yang belajar di Kuliyyah Sains.
Pukul empat, ada mesyuarat PBL. Nasib baik, aku dapat bahagian paling senang, risk factors of osteoporosis. Usai PBL, pergi pasar malam. Orang masih tidak ramai, malah ada peniaga yang baru buka gerai. Beli 'sedikit' juadah dan pulang.
Malam selepas isya', patut ada kelas tasmi'. Namun, Ustaz tidak muncul-muncul. Arif, Buk dan kawan-kawan yang lain pun tidak kelihatan kelibat masing-masing menyebabkan aku balik ke rumah. Sampai di rumah, mengajak kawan-kawan yang ada untuk pergi ke audi KOP, mendengar ceramah agama. Semua ada urusan, kecuali Abu.
Bersama-sama Abu, aku pergi mendengar ceramah yang disampaikan Ustaz Tengku Fauzi Mohd Jumat, ahli Majlis Fatwa Singapura. Ceramah berkisar tentang cinta kepada Nabi Muhammad S.A.W. Ada juga persembahan qasidah daripada adik-adik daripada Terengganu. Di akhir majlis, al-fadhil Ustaz mengijazahkan tujuh jenis selawat kepada hadirin.
Habis majlis ilmu, kemaskini blog dengan mengirimkan entri ini dan kemudian kembara mimpi. Jadi, inilah hari Jumaat, 5 Rabi'ul Awwal 1431 Hijrah yang kulalui.
No comments:
Post a Comment