v

Wednesday, February 24, 2010

Dampingi Dan Bukannya Musuhi Ilmuan : Raja Nazrin

KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) -- Kekayaan intelek negara harus terus ditambah melalui usaha yang memberikan dorongan dan keyakinan kepada ilmuan dan bukannya mewujudkan persekitaran politik yang memusuhi kumpulan itu, titah Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah.

Baginda bertitah kejatuhan sesebuah negara bermula dengan kemunduran negara disebabkan budaya dan persekitaran politik yang membunuh perkembangan intelek kerana sifat takut dan gentar pimpinan yang sedang berkuasa yang merasakan kedudukan mereka mungkin tercabar.

"Pemikiran politik sedemikian amatlah destruktif. Pimpinan yang stabil dan negara yang maju sentiasa memilih pendirian untuk mendampingi dan bekerjasama dengan ilmuan," titah baginda pada pelancaran buku "Knowledge, Language, Thought and the Civilisation of Islam: Essays in Honor of Syed Muhammad Naquib Al-Attas" di sini hari Selasa.

Buku setebal 566 muka surat itu memuatkan 22 esei daripada 24 sarjana seluruh dunia itu dan berharga RM108 bagi kulit tebal dan RM80 bagi kulit biasa.

Raja Dr Nazrin Shah bertitah usaha memuliakan ilmuan adalah usaha yang amat konstruktif memandangkan seseorang ilmuan itu memiliki kehebatan yang lebih istimewa dan lebih tulen.

Titah baginda pengiktirafan yang diabadikan kepada ilmuan adalah lebih berkekalan, lebih berpanjangan dan lebih berterusan sehingga melangkah ke pasca hayatnya dan ia tidak sekadar semasa ilmuan itu masih bernyawa atau sedang menyandang jawatan tertentu.

"(Ini) Berbanding dengan penghormatan seorang Raja ataupun Ratu, seorang Presiden atau seorang Perdana Menteri yang boleh sementara sifatnya, didewakan bagai dewata ketika berada di tampuk kuasa, kemudiannya terhenti dan begitu cepat serta mudah dilupakan setelah muncul pengganti yang baru," titah baginda.

Baginda juga berharap semoga kebijaksanaan pemikiran Prof Syed Muhammad Naquib akan terus berkembang dan disuburkan.

"Beliau telah diangkat oleh Ilahi berada di altar lebih tinggi dalam dunia dan didewasakan, telah juga dianugerahkan daya lihat yang amat tajam dan mata hati yang amat terang," tambah baginda.

Prof Syed Muhammad Naquib pernah menghasilkan 29 penerbitan dalam pelbagai aspek pemikiran dan tamadun Islam, khususnya subjek menyentuh kosmologi, metafizik, falsafah dan bahasa, selain telah menyampaikan lebih 400 syarahan umum di negara-negara Asia, Amerika Syarikat dan Eropah.

-- BERNAMA

P/s: Kalau tidak silap, aku beli buku ini dengan harga RM89.

No comments: