Sebagai contoh pada muka surat 151 dan 152, pengarang buku ini memperihalkan bapa Dr. Wahbah al-Zuhayli (dalam bab Dr. Wahbah al-Zuhayli - Mufassir dan Ahli Fiqh Terkenal Abad ini - al-Sayuthi al-Thani), salah seorang ulama' kontemporari kelahiran Syria yang membuatkan saya berfikir dalam-dalam, membandingkannya dengan kehidupan yang sedang jalani.
Bapanya Haji Mustafa al-Zuhayli adalah seorang yang terkenal sebagai orang soleh dan takwa. Beliau bekerja sebagai petani dan peniaga. Beliau sentiasa memberi semangat kepada anak-anaknya menuntut ilmu. Bapanya seorang hafiz yang sentiasa membaca al-Quran pada setiap malam dari jam dua pagi sehingga terbit fajar. Ibunya bernama Hajah Fatimah bin Mustafa Sa'adah, seorang yang kuat berpegang pada ajaran agama. Beliau meninggal dunia pada 13 Mac 1984. (m/s 191 - 192)
SubhanALLAH, betapa membaca perenggan ini membuatkan kita merumuskan kepentingan keperibadian ibu bapa memainkan peranan dalam mencorak peribadi anak-anak. Contoh lain yang boleh didapati dalam buku ini berkenaan peranan ibu bapa dalam pembentukan anak-anak dapat dilihat dalam kisah Syeikh Muhammad al-Mutawalli al-Sya'rawi (dalam bab Syeikh Muhammad al-Mutawalli al-Sya'rawi - Tokoh Tafsir Mesir Abad 21) pada muka surat 138 dan 139.
Satu peristiwa terpenting yang merubah segala-galanya apabila bapanya meminta beliau melanjutkan pelajaran di al-Azhar, Kaherah. Pada masa itu, beliau hanya ingin tinggal bersama-sama saudaranya di kampung dan menjadi petani. Menurutnya, pada zaman kanak-kanak, beliau tidak mempunyai cita-cita atau keinginan tertentu. Baginya, cukuplah apa yang ada di sekelilingnya iaitu menjadi petani dan bekerja di situ.
Namun, keinginan ayahnya yang kuat mahukan beliau belajar di Kolej al-Azhar apabila beliau tamat menghafal al-Quran. Beliau pernah membuat berbagai-bagai helah supaya tidak masuk ke Kolej al-Azhar kerana minta beliau hanyalah menjadi petani. Beliau memasukkan habuk tanah ke dalam matanya supaya menjadi rabun dan ditolak semasa peperiksaan kesihatan dilakukan. Namun, helah ini tidak berjaya kerana kolej itu menerima orang buta. Beliau cuba berlakon gagap lupa ketika ujian hafalan al-Quran. Namun, guru itu tetap menerimanya sebagai pelajar.
Helah ketiga adalah meminta ayahnya membeli kitab-kitab yang besar dan mahal harganya di kedai dengan mengatakan ini adalah silibus kolej. Ayahnya memenuhi permintaannya itu dan berkata, "Wahai Amin (gelaran yang diberikan oleh ayahnya), janganlah kamu menyangka aku tidak tahu semua buku-buku itu bukanlah silibus untuk kamu. Harga buku silbus kamu tidak sampai 37 Qurus (sen) sahaja. Tetapi wahai anakku, semoga ALLAH memanfaatkan kamu dengan buku-buku ini."
Peristiwa inilah yang merubah hidupnya untuk mendalami ilmu dan membaca buku-buku yang mutakbar. Beliau memasuki Kolej Agama Zaqaziq pada tahun 1930an dan mendapat Sijil agama pada tahun 1936. (m/s 138 - 139)
Sokongan bapa dan kesedaran yang timbul dalam diri Syeikh Sya'rawi menjadikan beliau sebagai seorang ulama' besar seperti yang kita ketahui sekarang ini. Berputik daripada gara-gara helah Syeikh Sya'rawi yang tidak menjadi terhadap bapanya menyebabkan beliau bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu, lain pula halnya dengan apa yang terjadi kepada seorang pemikir Islam, Muhammad 'Imarah (dalam bab Muhammad 'Imarah - Pemikir Islam yang Unggul dari Mesir) yang mana kesungguhan dan pengembaraannya dalam mendampingi ilmu dicetuskan dengan warisan 3000 buah buku seorang penuntut Universiti al-Azhar di kampungnya.
Menurut Muhammad 'Imarah lagi, ada satu peristiwa yang menyebabkan pembentukan pemikirannya iaitu ada seorang al-Azhari yang alim di kampungnya. Beliau memiliki perpustakaan peribadi yang melebihi dari tiga ribu naskah buku. Ditakdikan ALLAH, apabila beliau tamat pengajian di peringkat kolej beliau telah meninggal dunia dan buku-bukunya ini tidak dapat dibaca oleh ahli kelurganya. Lalu saya membeli kesemua buku-buku itu. Sejak itu, beliau mula membaca syair-syair dan falsafah Barat. Perkara ini yang menambahkan pemikirannya di samping pelajaran yang dipelajar di al-Azhar. (m/s 62 - 63)
Selain kisah tiga tokoh di atas, buku ini mencatatkan kehidupan dan perjuangan 7 tokoh lain yang tidak kurang menariknya untuk dibaca dan diteladani:
1. Mustafa Al-Syiba'iy - Tokoh Kebangkitan Syria
2. Dr. Yusuf Musa - Ulama' Reformis dan ahli falsafah al-Azhar
3. Mahmud Shaltut - Tokoh Pembaharuan Universiti al-Azhar
4. Muhammad al-Ghazali - Pemikir Dakwah dan Pembela Islam
5. Abu Hassan Ali al-Nadawi - Ulama' Rabbani dari India
6. Syeikh Ismail Sodiq al-Adawi - Imam Masjid al-Azhar
7. Dr. Yusuf al-Qaradawi - Sejarah Hidup dan Pemikiran
Tulisan Dr. Rumaizuddin yang juga mantan Timbalan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) ini sebenarnya boleh juga dijejaki dan dibaca di laman sesawang Minda Madani. Koleksi tulisan beliau di laman tersebut kemudiannya dikumpul dan dibukukan oleh PTS Islamika, dijual pada harga RM20. Kesimpulannya, kehadiran buku ini sedikit sebanyak membantu umat Islam di Malaysia terutamanya penutur Bahasa Melayu untuk mengenali tokoh-tokoh agamawan yang seringkali terpinggir dek kerana kebanjiran idola, kemarau tauladan - meminjam istilah Dato' Dr. Siddiq Fadzil.
No comments:
Post a Comment