Sah. Kak Wahid akan berpindah ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) setelah hampir sebulan berada di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA). Diagnosis doktor yang dinanti-nantikan selama ini menyatakan beliau menghidap kanser darah setelah bermacam-macam prosedur dilakukan termasuklah laparoscopy yang dilakukan minggu lalu.
Aku harap beliau kekal tabah dan cekal menghadapi ujian ini. Seminggu sebelum peperiksaan, ada aku melawat beliau di hospital. Wajahnya agak cengkung dan memaparkan riak-riak keletihan. Namun, ketabahan dan kesabaran menempuhi dugaan ini ada terpancar daripada dirinya. Aku tenggelam dengan kesayuan pabila melihatnya. Tidak pernah terbayang dalam kepala orang beliau akan diuji sebegini. Namun itulah takdir, hari ini ALLAH kurniakan kesihatan, esoknya ALLAH tarik pula nikmat itu.
Ramai yang terkesan apabila beliau jatuh sakit. Kak Ili, kawan baiknya, salah seorang daripadanya. Bila ditimpa musibah, baru kita tahu siapa sahabat sejati. Sahabat sejati inilah yang bersusah payah menguruskan dan membantu segala-galanya. Dikorbankan masanya menjaga si sahabat yang sedang dalam kesihatan hatta dirinya pun turut sakit-sakit. Teramat beruntunglah jika kita ada sahabat seperti ini.
Doaku, ALLAH sembuhkanlah penyakit Kak Wahid ini. Dr. Azwan dari Hospital Al-Islam Kampung Baru ada memberitahu kadar penyembuhan untuk kanser darah agak tinggi. Sumbernya datang daripada Prof. Taher, bekas dekan Kuliyyah Perubatan yang merupakan seorang pakar onkologi. Alhamdulillah, ramai yang bersimpati dengan takdir yang menimpa Kak Wahid ini. Dr. Ishak, pengarah Hospital Al-Islam pun ada menyatakan kesediaan untuk membantu. Cikgu Sabri, kaunselor di SMK Mat Kilau yang agak rapat dengan Faciteam pun ada datang melawat Kak Wahid di wad. Malah, banyak buah-buahan yang dibawa pelawatnya tidak habis dimakan dan memenuhi lokar yang disediakan ketika aku datang melawatnya.
Bila Kak Wahid sudah berada di PPUM, susahlah untuk kawan-kawan datang melawatnya. Aku sendiri ada bercadang untuk melawatnya selepas menghabiskan peperiksaan sembilan hari tanpa henti. Tapi, bila sudah dapat pengkhabaran terbaru ini, nampak gayanya terbantutlah niat ini. Harap-harap Pitat dan Ilman boleh selalu datang melawanya apabila mereka mula berpraktikal di PPUM minggu hadapan.
Untuk aku dan kawan-kawan yang membaca entri ini, sama-samalah kita doakan agar Kak Wahid kembali sembuh dan menamatkan pengajiannya di UIA dan keluar sebagai seorang doktor muslimah yang terus berbakti kepada ummah. Ameen.
P/s: Setakat entri ini ditulis, Kak Wahid masih berada di Wad 4A HTAA
4 comments:
eh, Am. Kak Wahid yg tu ke? Dulu aku tengok ok jer. Mase buat program die la paling top. Lame dah ke?
Kak Wahid, ACC Faciteam dan APM Taaruf Week kita. Masuk hospital waktu minggu praktikal kita di wad Dahlia.
kenangan dengan kak wahid ni banyak, faciteam, taaruf week, masa ak sakit mata, dia tengah buat posting opto, memang bagus, berktrampilan...
Ya Allah, sembuhkanlah penyakit kak Wahid..permudahkan urusannya..amin
Tahap Iron Lady Kak Wahid ni. Insya' ALLAH, esok akan berpindah ke KL. Sama-samalah doakan yang terbaik.
Post a Comment