Aku terkenang gemulah Wan. Terkenang susuk tubuhnya, terkenang basikal tuanya, terkenang motor Honda Cupnya dan tentu sekali kamar tidurnya.
Wan memang cenge, membuatkan aku kecut untuk mendampinginya namun baik hati. Bukannya hujah bias tanpa alasan, apabila mengatakan Wan orang yang baik. Berkunjung ke rumah saudara mara dan sahabat handai ketika hari raya, sama ada di Kampung Alor Tampang malah ke Kampung Balik Bukit, itulah yang diperkatakan oleh mereka yang seangkatan dengan Wan.
Masih lekat dalam memoriku akan dua pupunya bercerita bagaimana Wan berkahwin dengan Tok. Masih juga segar dalam ingatan, bagaimana Mak Lang dan Abang Sham berbicara bagaimana gemulah melepaskan diri daripada belenggu buta huruf, belajar untuk membaca.
Untuk seorang petani seperti gemulah, yang hanya menanam padi di Dataran Kedah-Perlis dan menjadi pekebun kecil menanam dan menoreh getah di Bukit Kerengga, tahu membaca itu satu perkara yang membanggakan melihatkan zaman yang menjadi pentas kehidupannya. Jauh dalam sudut hati, aku seolah mendengar Wan berkata, "orang susah macam Wan ni pun belajar, Dik Am apa lagi, semua ada".
Ya, Wan orang susah. Ngah Intan ada bercerita, kerana kemiskinan cikgunya menghalang dia melihat-lihat buku sekolah (buku apa? aku tidak pasti). Kerana miskin, manusia sering merendahkan sesama manusia(walhal takwalah jua yang bernilai di sisi ALLAH). Maka ada benarnya Sayyidina Ali ada berhujah, kemiskinan membawa kepada kekufuran.
Kemiskinan, jika tidak ada dasar Iman yang teguh dalam diri, boleh sahaja membawa kita mengingkari Tuhan. Alhamdulillah, kemiskinan tidaklah membawa Wan, Tok dan anak-anaknya ke arah itu. Itu cerita kisah 60-an keluargaku, zaman aku dan mungkin kau masih belum merasa realiti kehidupan ini. Kemiskinan, wujud bekasnya dalam diriku...ah, mungkin kerana itu aku sering tersentuh melihat mereka yang masih dibelenggu dengan kesempitan hidup di desa-desa seperti yang tersiar di kaca-kaca televisyen.
Kamar Wan di dalam rumah papan yang didirikannya tidaklah luas mana. Ada satu penanda yang sering kali kuingin lihat jika pulang ke Kampung Alor Tampang sewaktu kecil dahulu - sebuah gambar Kaabah yang ditampal pada dinding bilik kecilnya itu. Kulihat gambar itu, tanpa dapat memahami takdir Tuhan yang melibatkan Wan dan Rumah ALLAH itu. Sebuah alamat untuk perancangan ALLAH untuk beberapa tahun mendatang.
Gemulah Wan, tidak kusangka meninggalkan Tok, anak-anaknya dan tentu sekali cucu-cucunya ketika menunaikan haji di Mekah. Masih belum puas aku yang berumur 10 tahun ketika itu mengenal dirinya dan belajar hikmah daripada orang tua itu. Namun, itulah takdirnya, meninggalkan dunia yang fana ini, di bumi yang mungkin tersemat dalam dirinya, cita-cita yang dizahirkan melalui gambar yang terpampang di dinding papan biliknya itu.
Biliknya terabai selepas hanya Tok dan Abang Sham menjadi penghuni rumah warisan peninggalan Wan. Kini rumah papan itu semakin hari semakin uzur selepas Tok pun menyusul Wan bertemu dengan Penciptanya dan Abang Sham menyertai askar. Biar apa pun yang berlaku kepada rumah itu, memori zaman kanak-kanak masih tersemat utuh dalam diri ini...hei, tempat jatuhkan lagi dikenang, inikan pula tempat aku belajar menjadi anak-anak desa...
Inilah kisah Wan dan sebahagian kisahku bersama Kampung Alor Tampang. Wan pergi dengan caranya, usai melengkapkan Rukun Islam ke-5, menjadi suatu iktibar kepada diriku. 'Ibrah kepadaku, mengingatkan dan membuatku tertanya-tanya, bagaimanakah pengakhiranku untuk sebuah perjalanan yang bernama kehidupan ini. Husnul khotimahkah, atau su'ul khotimahkah?
Oh ALLAH, tempatkanlah gemulah datukku ini dalam kalangan mereka yang engkau redhai dan matikalah aku dengan husnul khotimah, ameen.
No comments:
Post a Comment