Pada abad ke-7, Parsi diperintah oleh seorang raja bernama Anurshivan. Pada suatu hari, semasa menunggang kudanya, baginda melintasi sebuah kebun. Baginda ternampak seorang tukang kebun yang tua menanam sebatang anak pokok. Baginda pun berhenti untuk berbual dengan tukang kebun itu. Anushirvan menegur tukang kebun itu, “Apa yang sedang tuan hamba buat?”
“Memang jelas hamba sedang menanam anak pokok,” jawab tukang kebun itu. Dia tidak sedar yang lelaki itu Anushirvan. “Yang tuan hamba mungkin tidak tahu ialah ini pokok ara,” kata tukang kebun itu lagi.
Anushirvan sangat tertarik dengan jawapan tukang kebun itu dan ingin mengujinya. “Tuan hamba sudah tua. Tetapi pokok yang tuan hamba tanam ini akan mengambil masa yang lama untuk berbuah. Tentu tuan hamba tidak sempat memakan buahnya. Bukankah lebih elok kalau tuan hamba menanam pokok yang cepat berbuah?”
“Memang betul. Hamba mungkin sudah tiada sewaktu pokok ini berbuah, tetapi orang lain tentu dapat memakannya,” jawab tukang kebun itu. “Sekarang ini pun kita makan buah daripada pokok yang ditanam oleh nenek moyang kita. Mereka menanam pokoknya, kita yang makan buahnya. Begitu juga kalau kita menanam pokok, cucu-cicit kita yang makan buahnya.
Anushirvan sungguh gembira mendengar kata-kata tukang kebun yang sungguh bermakna itu.
Tatkala itu, pengiring-pengiring Anushirvan pun sampai. Barulah tukang kebun itu sedar bahawa dia bercakap dengan raja negeri itu. Dia bimbang kalau-kalau terlepas cakap dan dianggap menderhaka kepada raja. Namun, Anushirvan tidak menghukumnya, sebaliknya menghadiahkan sebuah kebun kepadanya. Mengikut cerita orang, tukang kebun itu panjang umurnya dan sempat makan buah-buahan daripada pokok yang ditanamnya itu.
P/s: Aku terkenang Nyang dan pokok mempelamnya yang tinggi menjulang di Kampung Alor Tampang...
No comments:
Post a Comment