v

Sunday, April 11, 2010

Bung Dollah

Bung Dollah mencecah usia 90 tahun

oleh ZAKARIA ARIFFIN

BANYAK yang tidak menyedari bahawa pada 25 Mac lalu seorang tokoh sastera tanah air telah menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-90. Tidak ramai sasterawan, malah tidak ramai orang pun, yang sempat meraikan hari jadi seperti yang disambut oleh tokoh tersebut.


Lebih-lebih lagi pada hari bersejarah itu, tokoh berkenaan masih mampu berjalan, boleh bercakap dan masih dapat membaca tanpa menggunakan kaca mata! Malangnya, tidak ramai yang menyedari kehadiran tarikh tersebut dan seolah-olah tokoh penting itu tidak diingati oleh sesiapa, terutamanya daripada kalangan penulis, persatuan-persatuan penulis atau organisasi/badan-badan penerbitan sendiri.


Ya, Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain sekadar menyambut hari lahirnya yang ke-90 bersama isteri, Datin Seroja, anak-anak dan cucu-cucu di rumah yang diduduki sekian lama, di Seksyen 17, Petaling Jaya. Ketika mengunjungi ke kediaman beliau petang itu, kelihatan Bung Dollah (gelaran yang digunakan oleh kebanyakan rakan rapat) masih mampu berjalan dari biliknya ke ruang tamu untuk menyambut tetamu.


Menurut Seroja, beliau sangat bersyukur kerana tidak begitu sukar menjaga suaminya itu, di sebalik umurnya yang hampir menjangkau satu kurun. Boleh dikatakan tidak ada penyakit kronik yang dihadapi oleh Bung Dollah setakat ini, walaupun beliau pernah mengalami sedikit masalah jantung tidak lama dahulu. Apa yang sedikit terkilan di hati Seroja ialah apabila melihat Sasterawan Negara itu tidak lagi boleh menulis dan berbual-bual seperti sebelum ini.


Abdullah lahir di Sungai Limau Dalam, Yan, Kedah dan mendapat pendidikan di sekolah Melayu kampung itu sehingga lulus darjah lima (1931). Setelah permohonan untuk menjadi guru pelatih ditolak, beliau menyambung pelajaran di Sekolah St. Michael, Alor Setar sehingga 1933. Tahun-tahun 1934 - 1935 Abdullah bersekolah pula di Anglo Chinese School, Alor Setar dan lulus darjah tujuh. Pengalaman pekerjaannya sangatlah rencam, namun dalam bidang penulisan beliau mula bekerja dengan penerbitan akhbar Sahabat di Pulau Pinang pada 1939. Pengarang akhbar tersebut, Ahmad Noor Abdul Shukoor adalah orang yang banyak memberikan dorongan untuknya menulis. Karya dalam bentuk cerita bersiri yang berjudul "Binti Penghulu" tersiar dalam akhbar Sahabat, diikuti dengan cerita "Harta dan Jodoh Menanti di England" sebanyak 38 siri.


Beliau bertugas di Sahabat sehingga penerbitan itu ditutup pada tahun 1941, setelah meletusnya Perang Dunia Kedua dan Tanah Melayu diduduki Jepun. Abdullah pernah menjadi tawanan Belanda di Medan, Sumatera tetapi dibebaskan apabila Jepun mendarat di sana. Beliau kemudiannya dihantar berkursus di Singapura dan selepas itu diberikan jawatan sebagai kerani gunseibu di Langsa, Acheh, daerah kelahiran orang tuanya. Beliau turut bertanggungjawab menubuhkan Acheh Shimbun (akhbar Jepun) dan menjadi koresponden beberapa akhbar, termasuk Sumatera Shimbun.


Abdullah kembali ke Singapura pada tahun 1951 dan setelah menjadi kerani syarikat perkapalan buat seketika, beliau beralih semula kepada kerja penulisan, antaranya pengarang majalah Bintang, majalah Filem, akhbar Semenanjung dan pengurus penerbitan majalah Gelanggang Filem (milik Allahyarham P. Ramlee). Sepuluh tahun di Singapura, Abdullah berpindah ke Kuala Lumpur dan bekerja di Oxford University Press sebagai pembantu pengarang kanan. Antara tugas beliau ialah melakukan terjemahan karya-karya sastera dunia, seperti Orang Tua dengan Laut, Bumi Bertuah, Mutiara dan Angin Timur Angin Barat.


Abdullah juga pernah bertugas di Franklin Books Programme dan menjadi editor majalah Angkatan Baru sebelum mula berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai penolong pengarang dan kemudiannya pengarang, dari 1968 hingga tahun 1979.


Abdullah menulis dalam hampir semua genre dan secara sedar atau tidak, beliau sejak dahulu lagi sudah membayangkan gagasan 1Malaysia di dalam karya-karya kreatifnya, dengan mewujudkan watak pelbagai bangsa yang hidup dalam keadaan harmoni. Lihat sahaja misalnya novel Interlok dan Imam yang merupakan antara mahakarya beliau.


Perpaduan


Menurut Abdullah, beliau memasukkan watak-watak masyarakat majmuk di dalam karyanya kerana berpendapat "perpaduan bangsa hanya dapat dicapai melalui penggunaan bahasa yang sama dan bahasa Melayu yang baik."


Selain menjadi pelopor kepada gagasan 1Malaysia di dalam novel-novelnya, Abdullah turut memaparkan beberapa idea bernas yang kini sudah diterapkan dalam kehidupan seharian kita. Antaranya, melalui fikiran Imam Haji Mihad dalam Imam, Abdullah menyarankan supaya masjid diimarahkan dengan pelbagai aktiviti supaya dapat dimanfaatkan oleh semua pihak, termasuk oleh orang bukan Islam. Masjid tidak seharusnya menjadi tempat ibadat semata-mata, tetapi boleh digunakan juga sebagai tempat menambah ilmu pengetahuan (dengan mewujudkan perpustakaan), tempat beriadah (di kawasan luar) dan tempat berehat (dengan membina lanskap yang menarik).


Dalam Imam juga Abdullah melontarkan idea supaya irama nasyid diberikan pendekatan baharu, tidak lagi membawa irama yang hampir sama dan alat-alat muzik tertentu boleh digunakan, jika itu merupakan cara yang lebih menarik dan berkesan untuk menyampaikan mesej positif. Kini kita dapat melihat apa yang dibayangkan oleh pengarang itu sudah menjadi kenyataan, melalui kumpulan-kumpulan nasyid yang dipelopori oleh Raihan, Rabbani dan sebagainya.


Abdullah yang dinobatkan sebagai penerima Anugerah Sastera Negara pada tahun 1996 dan sebelum itu menerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write Awards) pada 1981 telah menghasilkan kira-kira 30 buah novel, antaranya Terjebak, Peristiwa, Rantau Selamat, Kuala Lumpur Aku Punya, Interlok, Intan, Noni, Buih di Atas Air, Konserto Terakhir, Masuk ke dalam Cahaya dan Imam (novel ini memenangi Hadiah Sako anjuran Utusan Melayu/Public Bank 1992/94). Selain daripada itu, beratus cerpen beliau telah disiarkan di pelbagai akhbar dan majalah dan kemudiannya terbit dalam sekian banyak antologi serta kumpulan. Beliau juga menulis biografi beberapa tokoh penting, seperti P. Ramlee, Za'ba dan Harun Aminurrashid.


Abang kepada Ketua Satu GAPENA, Profesor Emiritus Tan Sri Ismail Hussain dan pelukis Ibrahim Hussain (Allahyarham) ini adalah aset kepada negara dan dunia kesusasteraan tanah air yang tidak ternilai dan tidak harus dilupakan, terutamanya ketika beliau masih alam keadaan sihat. Karya-karya penting beliau perlu "dihidupkan" dan disegarkan semula dengan pelbagai cara untuk manfaat seluruh masyarakat. Justeru itu, pelbagai pihak boleh memainkan peranan masing-masing, mengikut keupayaan dan bidang tugas tertentu.
Sumber: Utusan

Ada berita tentang Sasterawan Negara Abdullah Hussain di akhbar Mingguan Malaysia hari ini. Beliau merupakan salah seorang penulis yang kugemari.

Imam, mahakaryanya seperti dinyatakan dalam petikan di atas telah kubaca sejak di bangku sekolah menengah.

Bermula dengan meminjamnya di Perpustakaan Tun Datu Mustapha dan kini sudah ada dalam koleksi peribadi (terima kasih kepada Solah yang membelikannya di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur baru-baru ini), novel Imam menjadi salah sebuah karya yang kuulang-ulang tanpa jemu.

Pergelutan pemikiran Islam yang menjadi citra novel ini membawa aku untuk menelaah tulisan-tulisan lain Sasterawan Negara ini.

Perjalanan Mencari Hikmah, sebuah autobiografi mengenai diri beliau dan Konserto Terakhir yang menjadi salah sebuah novel dalam KOMSAS merupakan karya lain beliau yang kubaca setelah Imam.

Dengan tulisannya yang mudah untuk difahami berbanding dengan Sasterwan Negara yang lain, ala-ala tulisan kewartawanan, beliau membuatkan daku terpesona dengan watak Haji Mihad yang menjadi tunjang utama novel Imam.

Walaupun ada isi kandungan novel ini yang tidak aku persetujui, namun ini tidak menghalang aku untuk mengesyorkan semua untuk membacanya.

Jujurnya, membaca novel ini membuatkan dirikuku terkenang akan Dr. Asri.

No comments: