v

Saturday, April 10, 2010

Penantian itu suatu penyeksaan

Aku masih di Kuantan. Isnin atau selasa, insya' ALLAH akan pulang semula ke Ipoh setelah 4 bulan bertungkus-lumus di sini (iya ke?).

Hari ini hari yang paling tidak produktif - dibanding dua hari sebelumnya selepas tamat marathon peperiksaan yang melelahkan. Jika hari khamis, aku dan kawan-kawan melawat Technology Park di Raub dan semalam menghadiri kursus persediaan umrah yang dikendalikan Ustaz Zainuddin, hari ini aku tersengguk-sengguk dan ada kalanya sampai tertidur ketika mahu refresh kembali dengan aliran-aliran falsafah dengan membaca buku Great Thinkers. Harap-harap adalah manfaatnya walaupun sedikit yang dapat kubaca hari ini. 

Sambil-sambil membaca, aku mengemas bahan-bahan bacaan yang kumiliki ke dalam kotak. Adalah 6, 7 kotak yang menanti untuk dipindahkan ke IM 2, belum ditambah dengan benda-benda lain. ALLAH, terfikir juga tahun depan, macam mana mahu mengangkut semua ini ke rumah. Cara yang terfikir sekarang ini ialah dengan kerap balik ke rumah, sebulan sekali mungkin. Setiap kali balik, kena bawa satu kotak buku. Hai, makin peninglah mak untuk menjaga kotak-kotak buku aku nanti, hehe. 

Ketika aku membaca, mengemas dan ada kalanya ketiduran, mahallah IM 6 yang diduduki setahun ini semakin sunyi. Semalam Faiz Salleh dan Zarif sudah pun mengucapkan selamat tinggal, hari ini giliran Daneng dan Kamil pula meninggalkan rumah no. 12 ini. Tertekan sebenarnya melihat orang lain balik dahulu. Tambah-tambah, orang-orang yang masih belum balik tiada di rumah kerana ada program masing-masing. Ada yang pergi perkhemahan, ada yang menghadiri daurah. Akhirnya, tinggallah aku terkontang-kanting seorang diri di rumah. Mujurlah, ada sahabat setia yang menemani; buku dan internet. Kalau tidak, kedapatanlah tanda-tanda depression.

Masuk hari ini, tinggal 9 hari lagi sebelum aku dan 21 orang yang lain dari Kuliyyah Farmasi berangkat ke Tanah Suci. Insya' ALLAH, 19 April ini kami akan berlepas dari KLIA menaiki Saudi Air dan mendarat terus di Madinah. Dalam masa sembilan hari yang berbaki, rohani harus dikuatkan, agar setiap saat di sana dimanfaatkan untuk beribadah, itulah antara intipati kata-kata Ustaz Zainuddin, Imam Masjid Tengku Ampuan Afzan yang mengendalikan kursus kami semalam yang kuolah semula. Selain itu, antara kata-katanya, hadiah orang yang pergi ke Tanah Suci kepada orang-orang lain ialah dengan mendoakannya setiap hajat yang dikirim mereka. Insya' ALLAH kepada mereka yang telah mengirimkan hajat akan kudoakan setiap yang dihajati ketika berada di sana kelak.

Akhirnya, aku ingin mengucapkan selamat bercuti buat semua kawan-kawanku. Kepada yang akan mendirikan rumah tangga, moga dipermudahkan urusan. Untuk kawan-kawan yang akan menjalani latihan industri, selamat juga kuucapkan. Kepada kawan-kawan yang membaca entri ini, doakanlah kami selamat pergi dan kembali. Doakan juga agar ALLAH menerima ibadah umrah yang akan kami tunaikan ini.

Semoga kita semua berjaya dunia dan akhirat dan sentiasa dinaungi rahmat dan hidayahNYA, ameen.

2 comments:

suhailinaim said...

Am, tolong doakan kami pass professional exam may nanti. terima kasih =)

juga untuk kak wahid...

semoga sentiasa dimudahkan semua urusan di sana. it's a great honour to be His guest. I cannot wait for that time too..

suhailinaim said...

satu lagi, kotak-kotak barang tu boleh pos sikit-sikit.

bagi akak berbaloi but macam tu...reasonable price from pos malaysia. other delivery service akak tak sure plak..