v

Thursday, May 27, 2010

Tanjung Rambutan

Tanjung Rambutan merupakan sebuah pekan kecil yang terletak kira-kira 15 kilometer dari Bandaraya Ipoh, ibu negeri Perak Darul Ridzuan. Pekan ini dikenali masyarakat kerana kewujudan sebuah hospital bahagia; satu daripada dua buah institusi di Malaysia yang menempatkan pesakit-pesakit mental selain daripada Tampoi, Johor.

Daripada bentuk geografinya, pekan yang mendamaikan ini berlatarbelakangkan Gunung Korbu, puncak tertinggi di Banjaran Titiwangsa, banjaran terpanjang yang menjadi 'tulang belakang' Semenanjung Malaysia. Selain itu, di sini mengalir juga Sungai Kinta yang menjadi sumber air kepada penduduk Lembah Kinta. Tanjung Rambutan terletak di jalan lama yang menghubungkan Ipoh dan Kuala Kangsar. Selepas melalui Ipoh, pengguna yang menggunakan jalan lama untuk ke utara akan bertemu dengan pekan Tambun yang terkenal dengan limau balinya sebelum berjumpa pula dengan Bandar Sunway yang menempatkan Taman  Tema The Lost World. Selepas melepasi taman tema itu dan kawasan sekitarnya yang pesat membangun, pengguna akan sampai ke pekan yang unik ini.

Selain dihubungkan dengan jalan persekutuan, Tanjung Rambutan juga dihubungkan dengan landasan keretapi. Terdapat sebuah stesyen keretapi di pekan ini yang terletak tidak jauh dengan Hospital Bahagia Hulu Kinta. Selain hospital bahagia dan stesyen keretapi, terdapat juga bangunan-bangunan rumah kedai dan pasar awam yang menjadi tumpuan penduduk-penduduk sekitar membeli bahan keperluan. Selain penduduk-penduduk Tanjung Rambutan dan kawasan sekitar yang terdiri daripada bangsa Melayu, Cina dan India, pekan ini juga menjadi tumpuan orang-orang Asli yang sejak zaman-berzaman tinggal di kawasan hutan sekitar pekan ini.

Bank, sekolah, klinik kesihatan malah sebuah bangunan indah milik Tenaga Nasional Berhad turut didirikan di pekan ini menandakan arus urbanisasi yang giat melanda. Apa yang menarik di sini ialah citra Malaysia yang ditampilkan melalui kewujudan rumah-rumah ibadat yang dibina berhampiran satu sama lain. Masjid Jamek Tanjung Rambutan yang dibina di tebing Sungai Kinta menyaksikan jiran-jirannya terdiri daripada sebuah kuil Hindu dan Rumah Ibadat bagi orang Sikh. Jika kedapatan sebuah tokong Buddha di sini, maka akan lengkaplah citra ideal yang melambangkan realiti sebenar Malaysia.

Setiap kali menggunakan jalan besar di hadapan rumah-rumah ibadat ini, diriku seolah-olah diajar untuk menerima realiti kepelbagaian yang wujud di sebuah kawasan yang kudiami ini. Jamak budaya dan kepercayaan pastinya akan mencetuskan konflik jika tidak ditangani dengan saksama. Belajar memahami untuk menghormati setiap orang yang tentunya berbeza merupakan pilihan kepada realiti yang tidak mungkin dapat diubah. Betapa citra toleransi yang dipaparkan pekan yang telah berkhidmat kepada aku selama 24 tahun ini mengajar dengan penuh seni akan hakikat sebenar sebuah negara bernama Malaysia.   

Tanjung Rambutan, dengan seribu satu keunikannya merupakan guru istimewa yang telah banyak berjasa mendidik aku dengan caranya yang tersendiri. Pastinya di mana sahaja aku berada, nama Tanjung Rambutan   akan tetap terpahat utuh dalam diriku. Sungguh, nikmat Tuhan yang mana yang mahu kita dustakan?

Nota tambahan:
He said Malaysia’s diversity was an added advantage as its different peoples could contribute different ideas.

“Unless the diversities result in infighting among the people, innovation is a combination of diverse ideas to the country’s benefit,” he pointed out.

Prof Anil K. Gupta - The Star 27 May 2010

3 comments:

Mohd Herie Dahlan said...

salam..
Masjid Jamek sebelah sungai kat ngan kuil tu kan??? Yes, tanjung rambutan dihati~~~~~~~~ :-)

Ilham Nur said...

Yup. Masjid itulah. Akan ke Kuantan kan Julai nanti?

Mohd Herie Dahlan said...

yup. 6 Julai...