Berpuasa sunat pada hari-hari separuh yang kedua bulan Sya‘ban (16 hingga 30 haribulan Sya‘ban) tanpa ada sebab ataupun bukan kerana adat kebiasaan berpuasa sunat adalah haram. Ini jelas sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang bermaksud:
“Apabila telah masuk separuh bulan Sya‘ban, maka janganlah kamu berpuasa.”
(Hadis riwayat Abu Daud)
Maksud “adat kebiasaan berpuasa sunat” akan dijelaskan kemudian. Namun begitu, bagi orang yang hendak berpuasa sunat pada separuh kedua bulan Sya‘ban adakalanya diharuskan walaupun dia berpuasa tanpa ada sebab, jika puasanya itu disambung dengan atau dimulakan dari separuh pertama bulan Sya‘ban.
Pengecualian Diharuskan Berpuasa Selepas 15 Haribulan Sya‘ban Dan Pada Hari Syak
Sebagaimana yang telah dijelaskan terdahulu, hukum berpuasa pada hari Syak dan separuh kedua bulan Sya‘ban tanpa ada sebab adalah haram. Sebaliknya, jika dia mempunyai sebab untuk melakukan ibadat puasa, maka tidak dihukumkan haram. Sebab-sebab yang membolehkan seseorang itu berpuasa pada hari Syak dan separuh kedua bulan Sya‘ban adalah seperti berikut:
1. Sudah menjadi adat atau kebiasaan berpuasa.
Umpamanya pada hari yang dia berpuasa sunat itu (mana-mana hari selepas 15 haribulan Sya‘ban) atau pada hari Syak itu kebetulan jatuh bertepatan dengan hari yang pada adat kebiasaannya dia berpuasa, seperti puasa sunat hari Isnin atau puasa sunat Khamis atau puasa sunat berselang-selang, sehari berpuasa dan sehari tidak puasa. Pengecualian ini adalah berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda yang bermaksud:
“Jangan kamu dahului bulan Ramadhan itu dengan berpuasa sehari dan juga dua hari melainkan puasa seseorang yang (kebetulan bertepatan mengikut adat kebiasaannya) dia berpuasa (pada hari itu), maka berpuasalah.
(Hadis riwayat Muslim)
2. Puasa yang wajib, seperti puasa qadha, nazar dan kaffarah.
Namun jika seseorang itu bernazar berpuasa kerana hari Syak, maka hukum bernazar sedemikian adalah tidak sah. Keharusan berpuasa wajib dalam hal ini adalah diqiyaskan kepada keharusan berpuasa kerana adat kebiasaan yang sabit melalui hadis Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam seperti yang dijelaskan di atas.
3. Bukan kerana puasa wajib atau adat kebiasaan; dengan syarat hendaklah dia memulakan puasa sunat tersebut pada hari-hari separuh pertama bulan Sya‘ban (1-15 haribulan Sya‘ban), kemudian diteruskan atau
disambung puasa tersebut dengan separuh kedua bulan Sya‘ban tanpa putus atau berbuka (tidak berpuasa).
Ini bermaksud jika dia hendak berpuasa pada separuh kedua bulan Sya‘ban, maka caranya ialah hendaklah dia menyambung puasa sunatnya pada separuh kedua bulan Sya‘ban itu dengan hari-hari pada separuh pertama bulan Sya‘ban, kemudian meneruskan puasanya itu sehingga ke akhir bulan Sya‘ban tanpa berbuka.
Dalam perkara ini, disyaratkan hendaklah puasa sunat itu dimulakan atau dikerjakan sebelum atau pada 15 haribulan Sya‘ban; bukan kemudian daripada itu. Jika dia memulakan puasanya itu hanya selepas separuh kedua Sya‘ban, maka tidak diharuskan (haram) baginya berpuasa sunat pada separuh kedua Sya‘ban (16 haribulan hingga akhir bulan Sya‘ban).
Adalah juga memadai jika sekiranya dia memulakan puasa sunatnya itu hanya pada 15 haribulan Sya‘ban, kemudian menyambung puasanya itu tanpa berbuka di separuh kedua bulan Sya‘ban. Walau bagaimanapun jika pada mana-mana hari dalam separuh kedua bulan Sya‘ban itu dia berbuka (tidak berpuasa) sekalipun kerana keuzuran, dia ditegah meneruskan puasa sunatnya itu pada baki hari-hari separuh kedua bulan Sya‘ban melainkan jika dia mempunyai sebab.
Sebagai contoh seseorang berpuasa pada 15 dan 16 haribulan Sya‘ban, kemudian dia berbuka (tidak berpuasa) pada 17 haribulan Sya‘ban, maka diharamkan dia berpuasa pada 18 haribulan Sya‘ban dan hari-hari seterusnya tanpa sebab. Adapun bagi sesiapa yang berpuasa bulan Sya‘ban sepenuhnya, maka sudah jelas tidak termasuk dalam larangan ini, kerana itu sudah menjadi adat atau kebiasaan.
Maka dalam tiga keadaan yang telah disebutkan tadi, diharuskan bagi seseorang itu untuk berpuasa pada separuh kedua bulan Sya‘ban dan pada hari Syak.
Teks sepenuhnya dan bacaan lanjut boleh dimuat turun di sini
No comments:
Post a Comment