Saturday, November 21, 2009
Ceritera 273
Sabtu. Hari kedua selepas usai semester 1. Semester 1 untuk tahun ketiga bergelar mahasiswa Kuliyyah Farmasi UIAM. Cepat betul masa berlalu, pejam celik, pejam celik, tinggal 3 semester lagi (insya' ALLAH) sebelum aku dan kawan-kawan menggengam segulung ijazah sarjana muda Farmasi. 3 semester lagi...
Sudah seminggu, bumi Kuantan disirami hujan lebat. Tanda-tanda musim tengkujuh sudah datang menjengah. Kedinginan musim tengkujuh sehingga mencengkam sum-sum tulang bisa sahaja membuatkan diri untuk bermalas-malasan. Apa boleh buat, mahu keluar rumah, bimbang akan keselamatan diri terutamanya ketika berada di atas jalan raya. Selain membaca, melayari internet, menarik selimut di atas katil juga merupakan antara rutinku selama dua hari.
Semalam, habis juga kubaca novel tulisan Carlos Ruiz Zafon berjudul The Shadow of the Wind. Khabarnya, novel ini, novel Sepanyol kedua terlaris selepas novel lagenda, Don Quixote. Berlatarbelakangkan bandar Barcelona, novel ini mengisahkan tentang Daniel Sampere yang menjumpai sebuah novel tulisan penulis misteri, Julian Carax bertajuk The Shadow of the Wind. Setiap novel yang ditulis oleh Carax akan dimusnahkan oleh seseorang. Selain itu, kehidupan Carax yang misteri membuatkan Sampere mula menyiasat dan terjebak dalam kehidupan dan misteri yang menyelubungi Carax.
Habis buku pertama untuk musim cuti kali ini, aku bercadang untuk menamatkan buku Kebangkitan Generasi Salahuddin Dan Kembalinya Al-Aqsa Ke Pangkuan Islam terbitan ABIM yang masih berbaki 50 muka surat. Namun, lain yang dirancang, lain yang jadi. Aku tersangkut dengan buku Dr. Abdullah Aidh Al-Qarni bertajuk Aku, Buku dan Cinta.
Buku terjemahan ini mengisahkan tentang diri penulis dan ulama'-ulama' yang menjadikan buku sebagai kehidupan mereka. Malang sekali, buku yang sepatutnya menarik dibaca dikecewakan dengan mutu penterjemahan yang lemah. Sudah terlanjur membeli, baca sajalah. Banyak buku-buku terjemahan terutama yang datang daripada beberapa penerbitan buku agama amat-amat tidak berbaloi dengan duit yang kita laburkan. Disebabkan itulah, aku tidak membenarkan diriku untuk membeli buku-buku terbitan syarikat-syarikat tersebut. Dalam keadaan-keadaan tertentu atau special sahaja, aku akan mengeluarkan duit untuk membeli produk-produk mereka. Buku tulisan Al-Qarni itu termasuk dalam kes istimewa yang aku maksudkan ini.
Esok, jika tiada aral melintang, aku akan menumpang kereta Helmi Rahmat untuk pulang ke rumah. Dalam perjalanan, insya' ALLAH, kami akan singgah di Lanchang, menghadiri walimah Nur Arif Che Mat. Tidak aku sangka, dalam senyap-senyap sahabatku yang kukenal sewaktu di Darul Qur'an (DQ) akan menamatkan zaman bujangnya. Seorang demi seorang banin dan banat yang sezaman denganku di DQ mendirikan masjid. Tapi, apa yang selalu menjadi pertanyaan dalam diriku, jarang banin memilih banat untuk menjadi pasangan hidup dan sebaliknya. Yang jadi, hanya Fikri dan Husna. Kenapa begitu ya? Haha, kalian yang sudah menikah harus jawab soalan ini.
Menulis tentang perkahwinan, teringat aku filem Ketika Cinta Bertasbih. Filem yang berasakan novel tulisan Habiburrahman El-Syirazi ini sudah diupload di Youtube. Mahu tonton, carilah sendiri di sana. Apa pun, filem ini lebih memuaskan hati berbanding dengan Ayat-Ayat Cinta. Tidak rasa hipokrasi menonton filem ini berbanding meyaksikan pelakon-pelakon Ayat-Ayat Cinta. Diselitkan juga dengan dialog-dialog Bahasa Arab, sedikit sebanyak, filem ini lebih real dan menepati imaginasi yang dibina sewaktu membaca novel. Tapi, apa yang lebih penting ialah ibrah atau pengajaran yang boleh kita dapat daripada filem tersebut.
Daripada buku sehinggalahke filem. Sudah jadi pengulas amatur filem dan buku pula blog ini. Apa pun yang dilakukan, moga-moga ada manfaat yang mengiringi hatta sewaktu menulis entri ini, insya' ALLAH.
P/S: Cinta Hari-Hari Rusuhan, novel Faizal (Faisal) Tehrani yang tidak akan diterbitkan lagi.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment