Sunday, November 22, 2009
Ceritera 274
Malam tadi, aku sempat ke kedai mini Panglima untuk membeli sedikit bahan kudapan. Ternampak Siasah dan Majalah Milenia Muslim yang terbaru. Apa lagi, wang yang berada di dalam dompet, kukeluarkan untuk membeli dua bacaan 'wajib' dan 'sunat' itu. Wajib untuk Milenia dan sunat untuk Siasah.
Dulu majalah Milenia harganya mencecah RM10, suatu nilai yang agak tinggi. Sudahlah mahal, susah pula untuk didapati. Tetapi semenjak harganya turun kepada RM6.50, aku konsisten membelinya. Namun, semenjak akhir-akhir ini, majalah ini kurasakan semakin tidak menarik. Penyakit sama yang dijangkiti daripada Majalah I.
Dulu, rajin juga aku membeli majalah terbitan Karangkraf itu, tetapi sekarang, jika aku hendak membacanya, aku akan meminjam daripada kawan-kawan yang membeli. Majalah Islami yang lain seperti Al-Islam dan yang terbaru, Majalah Solusi, akan kubeli bergantung kepada mood.
Berbalik kepada Majalah Milenia, edisi November, mauduk utamanya ialah berkaitan dengan pembesaran Masjidil Haram, edisi Disember memokuskan kepada kegetiran hidup di bandar-bandar besar. Selain itu, ada juga artikel-artikel lain seperti Perang sumber rezeki AS, Anugerah tersirat 3 anak cacat dan Pintar belajar tak bijak urus wang. Artikel daripada Helmi Ya'kub, jiran depan rumahku (merangkap ahli MPP UIAM) pun ada.
Dalam banyak-banyak artikel yang ada, artikel Anugerah Merdeka - Pengiktirafan tertinggi kepada ikon negara, paling menarik minatku. Kita mungkin terbiasa dengan anugerah-anugerah yang berkaitan dengan dunia hiburan seperti Anugerah Juara Lagu, Anugerah Bintang Popular TV3-Berita Harian dan Anugerah Planet Muzik, namun anugerah yang satu ini, mungkinlah ini kali pertama kita baca dan kita tahu.
Perkara ini tidaklah mengejutkan, memandangkan anugerah ini baru masuk tahun kedua selepas diperkenalkan ketika sambutan 50 tahun kemerdekaan negara. Anugerah ini diberi kepada mereka yang telah mencatakan pencapaian yang mengagumkan dalam lima kategori berikut:
1. Pendidikan dan komuniti
2. Alam sekitar
3. Kesihatan, sains dan teknologi
4. Sumbangan ulung kepada rakyat Malaysia
5. Pencapaian Ulung Akademik
Antara penerima pertama anugerah ini pada tahun lepas ialah Prof. Diraja Ungku Abdul Aziz dan Prof. Datuk Khalid Kadir. Manakala pada tahun ini, anugerah ini telah dikurniakan kepada Tun Dr. Fatimah Hashim, Datuk Lim Phaik Gan, Prof Dr. Halimaton Hamdan dan Prof. Datuk Ir. Dr. Zaini Ujang.
Apabila membaca profail setiap pemenang, terdetik rasa kagum kepada pencapaian mereka. Muncul motivasi dalam diri untuk mencontohi mereka yang berjaya ini, memajukan diri dan tentu negara yang tercinta ini. Kesimpulannya, dengan kemunculan anugerah ini, rakyat Malaysia mungkin mampu mnjadikannya sebagai penanda aras atau matlamat sebelum negara ini mencetak Nobel Laurettenya yang pertama.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment