v

Thursday, July 1, 2010

Ayyuhal Walad

Beberapa hari lepas, hati tergerak untuk membaca kitab nipis Ayyuhal Walad (Wahai Anakku yang Tercinta) karangan Imam Al-Ghazali.

Walau tidak mencecah seratus muka surat kitab tulisan jawi terjemahan Ustaz Fahmi Zam-Zam ini menuntut mujahadah untuk menghabiskannya apatah lagi untuk mengamalkan intipatinya. Di saat iman semakin melemah, membaca kitab-kitab tasawwuf seumpama Ayyuhal Walad sedikit sebanyak membantu diri untuk sekurang-kurangnya mengurangkan maksiat.

Kitab ini asalnya ditulis di dalam Bahasa Parsi, kemudiannya diterjemahkan ke dalam Bahasa Arab oleh sebahagian ulama'. Atas usaha Ustaz Fahmi Zam-Zam, kitab kecil ini boleh dibaca dalam Bahasa Melayu. Kitab Ayyuhal Walad dihasilkan Imam Al-Ghazali bagi menjawab sepucuk surat yang diutuskan oleh seorang anak muridnya.

Mengandungi dua puluh lima wasiat, Imam Al-Ghazali dengan keikhlasannya menasihati, menuntut diri yang membaca bermuhasabah, meneliti bagaimana masa yang membentuk bahtera kehidupan ini telah dan akan dilayarkan.Merenung kembali salah satu wasiat yang menceritakan bagaimana ada seorang hamba ALLAH yang bermimpi bertemu dengan Imam Junaid Al-Baghdadi yang telah meninggal dunia membuatkan hati kecil terusik.

Bagaimana mungkin diri tidak tersentak apabila Imam Junaid yang hebat ibadahnya itu pun apabila disoal orang yang bermimpi itu menyatakan hanya beberapa rakaat solat malam sahaja yang bermanfaat kepadanya. Oh, bagaimanakah nasib diri di alam kubur bila mengenangkan amal-ibadat yang dilakukan penuh dengan cacat cela. Termampukah diri untuk menjawab soalan-soalan yang bakal dikemukakan oleh Munkar dan Nankir...

Siapa yang menyangka bahawa tanpa usaha ia akan dapat masuk ke dalam syurga maka orang itu hanya berangan-angan sahaja dan siapa yang menyangka bahawa dengan usaha sahaja ia akan masuk ke dalam syurga maka orang itu telah merasa kaya daripada rahmat ALLAH Taala. (Imam Al-Ghazali, Ayyuhal Walad m/s 21)

Wahai diri, mujahadahlah!

No comments: