v

Sunday, July 4, 2010

Kembara kehidupan

1986: Bermula di Perlis Indera Kayangan. Pengalaman di sana terbentuk melalui siri balik kampung yang berterusan. Tempat asal-usul, akar kepada sebuah pohon kehidupan.

1986 - 2003: Tidak lama di Perlis, bergerak menuju ke Ulu Kinta, daerah tenang di kaki Gunung Korbu. 12 tahun di sana, terasuh dengan disiplin anggota-anggota polis yang membentuk suasana. Menjejak umur 13 tahun, mula meninggalkan rumah, namun masih lagi berada di dalam lingkungan Lembah Kinta yang pernah tersohor dengan bijih timahnya. Medan tarbiyyah di tengah-tengah Bandaraya Ipoh, Izzuddin Shah mencorak keperibadian diri.

2004: Tawaran tidak terjangka. Mengorak langkah ke daerah selatan dari tempat permukiman. Kuala Kubu Bharu menanti di sana. Pekan kecil di utara negeri paling maju di Malaysia, tenang dan mendamaikan tidak ubah seperti Ulu Kinta, apatah lagi kedua-duanya berhampiran dengan Banjaran Titiwangsa, 'tulang belakang' Semenanjung Malaysia.

2004 - 2006: Kembara bergerak ke selatan lagi. Kali ini Petaling Jaya menjadi persinggahan. Dua tahun di sana, jarang sekali aku keluar daripada 'sarang'. Sungguh, aku tidak pantas menjadi orang bandar.

2007 - sekarang: Setelah bergerak ke selatan, langkah digerakkan menuju timur. Kuantan, ibu negeri Pahang Darul Makmur menjadi destinasi seterusnya. Tiga tahun sudah berlalu di sini, insya' ALLAH masih ada setahun yang berbaki. Pahit atau manis, Kuantan akan tetap berada di hati .

Masa depan: Utara, selatan, timur atau barat, semuanya masih menjadi rahsia ALLAH S.W.T.

1 comment:

'Atiqah said...

'like' this post