Hasrat di hati untuk kembali semula ke Gunung Senyum tertunai juga. Dengan 4 buah kereta, saya dan rakan-rakan bergerak meninggalkan mahallah lebih kurang jam 8.30 pagi. Lebih kurang dua jam perjalanan, akhirnya kami tiba di lokasi yang dituju.
Gunung Senyum terletak di Hutan Simpan Jengka. Mendapat nama pada abad ke-19 ketika Sultan Ahmad yang ketika itu memerintah negeri Pahang bertanyakan nama gunung tersebut ketika perjalanan ke Kuala Krau. Bagi mengelakkan pembesar yang ditanyai itu menerima malu, Sultan Ahmad menitahkan agar gunung yang tidak bernama ketika itu dinamakan Gunung Senyum mengenangkan pembesar tersebut yang hanya tersenyum tidak dapat menjawab soalan yang ditanyakan.
Gunung Senyum memiliki lebih kurang 20 gua yang menarik untuk dilawati. Antara gua yang kami sempat terokai ialah Gua Makam Tok Long, Gua Taman Satu dan Gua Taman Dua. Di Gua Makam Tok Long, wujud sebuah makam yang dipercayai milik seseorang yang bernama Tok Long. Menurut papan informasi yang terletak di gua itu Tok Long telah berkahwin dengan Puteri Bunian. Setelah gagal menepati janjinya terhadap Puteri Bunian, Tok Long tidak lagi boleh bersama isterinya itu menyebabkan dia berasa sedih yang membawa kepada kematiannya.
Ketika berada di Gua Taman Satu dan Gua Taman Dua, aku berasa kagum melihat persekitaran tempat tersebut yang kelihatan seperti di'jaga'. Bersesuaian dengan namanya, gua-gua tersebut seolah-olah seperti sebuah taman. Daun-daun mati yang gugur daripada pokok-pokok yang wujud tidak berserakan menyebabkan tempat itu dalam keadaan bersih dan indah. Ditambah dengan cahaya matahari yang menerobos masuk daripada bumbung gua, saya berasa takjub melihat kekuasaan Tuhan.
Saya berehat-rehat sahaja ketika kawan-kawan yang lain menempuh kegelapan di Gua Terang Bulan. Setelah selamat melakukan eksplorasi di gua itu, kami semua akhirnya berjalan keluar beredar menuju ke kereta untuk meneruskan perjalanan ke Temerloh. Sempat juga kami mengambil peluang merakamkan kenangan di tasik(?) dan jambatan gantung yang berada di kaki gunung. Untuk pengetahuan, kami dinasihati untuk tidak menangkap sebarabg gambar ketika berada di dalam gua.
Setelah puas mengabadikan memori di Gunung Senyum, empat buah kereta tadi akhirnya dipandu menuju ke Bandar Temerloh, titik tengah Semenanjung Malaysia yang juga dikenali sebagai Bandar ikan patin.
Bersambung...
No comments:
Post a Comment