v

Tuesday, August 31, 2010

Kebebasan

Penyerahan dan pena'lukan dirinya kepada Perintah Tuhan itu, mengikut faham agama Islam, bukanlah bererti pembelengguan dirinya kepada suatu kuasa yang menafikan kebebasannya, kerana tujuan kebebasan sesuatu ialah untuk mencapai sifat bawaan asali sesuatu itu dengan sempurnanya, dan sifat bawaan asali diri yang sempurna tiadalah lain daripada pena'lukan kepada Undang-undang Pencipta Agung yang telah merencanakannya nescaya seimbang dan sebati dengan sifat asal dan bawaan terindah tiap-tiap mahkluk.

- Syed Muhammad Naquib Al-Attas, Risalah Untuk Kaum Muslimin.

There is a candle in your heart


There is a candle in your heart,
      ready to be kindled.
 
There is a void in your soul,
      ready to be filled.
 
You feel it, don't you?
 
You feel the separation
      from the Beloved.
 
Invite Him to fill you up,
      embrace the fire.
 
Remind those who tell you otherwise that
      Love
      comes to you of its own accord,
      and the yearning for it
      cannot be learned in any school.

- Rumi

Monday, August 23, 2010

Berkenaan Clexane 2

Hukum Penggunaan Ubat Clexane Dan Fraxiparine

Keputusan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia  Kali Ke-87 yang bersidang pada 23 – 25 Jun 2009 telah membincangkan Hukum Penggunaan Ubat Clexane Dan Fraxiparine. Muzakarah telah memutuskan bahawa:


Islam menegah penggunaan ubat dari sumber yang haram bagi mengubati sesuatu penyakit, kecuali dalam keadaan di mana tiada ubat dari sumber yang halal ditemui dan bagi menghindari kemudharatan mengikut kadar yang diperlukan sahaja sehingga ubat dari sumber yang halal ditemui.

Oleh itu, berhubung dengan penggunaan ubat Clexane dan Fraxiparine yang dianggap darurat kepada para pesakit bagi mencegah formulasi pembekuan darah secara serta merta ketika pesakit berada pada tahap kronik, Muzakarah memutuskan bahawa penggunaan kedua-dua jenis ubat ini adalah ditegah kerana ia dihasilkan dari sumber yang diharamkan oleh Islam, memandangkan pada masa ini telah terdapat alternatif ubat iaitu Arixtra yang dihasilkan daripada sumber halal dan mempunyai fungsi serta keberkesanan yang sama dengan Clexane dan Fraxiparine.

Keterangan/Hujah:

    * Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) telah mengesahkan wujudnya enzim babi dalam kandungan kedua-dua jenis ubat tersebut. Ini kerana kedua-dua jenis ubat ini terbentuk daripada low molecular weight heparin (LMWH) yang merupakan unsur yang terbentuk daripada heparin. Heparin merupakan sumber biologi yang diambil daripada usus babi.

    * Islam mengharamkan penggunaan ubat dari sumber yang haram untuk mengubati sesuatu penyakit berdasarkan hadith Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:


Dari Abi Darda’ RA, Rasulullah s.a.w. berkata: Sesungguhnya Allah telah menurunkan penyakit dan penawar, dan Dia telah menjadikan bagi tiap-tiap penyakit itu penawar, maka kamu semua berubatlah dan janganlah kamu semua berubat dengan (perkara- perkara) yang haram.


    * Dalam keadaan tiada ubat lain yang boleh digunakan untuk mengubati sesuatu penyakit, sedangkan sesuatu penyakit itu perlu dirawat untuk memelihara kesihatan diri dan tubuh badan, ubat yang bersumberkan perkara-perkara yang ditegah seperti penggunaan ubat yang bersumberkan enzim babi diharuskan selama mana tiada ubat dari sumber yang halal ditemui mengikut kadar yang diperlukan sahaja.

    * Dalam mempertimbangkan keharusan ini, syarat-syarat untuk memastikan bahawa keperluan tersebut berada di peringkat darurat perlu dipenuhi. Antara syarat-syaratnya adalah seperti berikut:


(i) Darurat itu benar-benar berlaku, bukan suatu yang tidak pasti. Dengan kata lain telah berlaku atau wujud satu keadaan di mana kemusnahan atau kemudharatan pada lima perkara asas ataupun kemusnahan akan berlaku secara pasti ataupun berdasarkan kepada sangkaan yang kuat berpandukan pengalaman- pengalaman atau pengetahuan;

(ii) Seseorang yang berada dalam keadaan darurat itu bertentangan dengan perintah atau larangan syarak, atau tidak terdapat sesuatu yang diharuskan oleh syarak untuk menghilangkan kemudharatan melainkan perkara yang ditegah;

(iii) Mestilah dipastikan bahawa kewujudan benda-benda halal yang lain tidak dapat menghindarkan kemudharatan yang menimpa pesakit;

(vi) Pengambilan yang haram itu sekadar keperluan sahaja; dan

(v) Pada waktu pengubatan, pengambilan yang haram itu hendaklah dipasti dan perakui oleh seorang doktor pakar muslim yang adil.


    * Dalam isu ubat clexane dan Fraxiaprine ini, kajian yang telah dijalankan mendapati terdapat sejenis ubat lain iaitu Arixtra Solution For Injection atau nama generiknya Fondaparinux Sodium mempunyai tahap keupayaan yang tinggi dalam membantu mengelakkan masalah pembekuan darah. Ubat ini telah pun berdaftar dengan BPFK dengan nombor pendaftaran MAL 20034441A.

    * Fondaparinux merupakan ramuan aktif di dalam Arixtra yang terhasil secara sintetik di manapentasaccharide sintetik diambil dan ia tidak mengandungi sebarang bentuk heparin. Malah, tiada satu pun material dalam penghasilan ubat ini diambil daripada haiwan termasuklah biproduk babi. Arixtra bukan ubat yang baru ditemui, sebaliknya ia telah berada di pasaran lebih daripada 10 tahun. Namun kajiannya yang terbaru telah mendapati bahawa ubat ini mampu menggantikan kekuatan Clexane dan Fraxiaprine.

    * Arixtra digunakan untuk mengelakkan pembekuan darah atau masalah VTE bagi pesakit yang menjalani rawatan pembedahan major ortopedik, lutut dan pinggang. Selain itu, ia juga digunakan bagi pesakit jantung, pesakit kronik yang tidak dapat bergerak dan pembedahan abdomen.

    * Penemuan Arixtra dalam dunia perubatan hari ini telah menghapuskan `illah pengharusan penggunaan perkara yang ditegah. Perkara ini bersesuaian dengan kaedah fiqh ما جاز لعذر يبطل بزواله. Prinsip ini menetapkan bahawa keharusan sesuatu perkara itu adalah disebabkan keuzuran tertentu dan ia terbatal dengan hilangnya keuzuran tersebut.


Rujukan: E-Fatwa

Thursday, August 19, 2010

Berkenaan Clexane

Assalamu'alaikum,
Wahida,

Terima kasih kerana mengutarakan isu low molecular weight heparin LMWH iaitu Clexane atau enoxaprin.

Memang Clexane berasaskan sumber khinzir. Kita menghadapi masalah dulu kerana tiada alternatif yang setara dan selamat. Sekarang ini kita dah ada LMWH yg selamat dan setara yang tidak berasaskan sumber khinzir. Kita boleh guna Arixtra atau Fondaparinux. Banyak data telah mula menyokong kegunaan ubat ini terutamanya untuk unstable angina dan acute myocardial infarction. Dosnya sekali sehari dan lebih mudah. Punya profil yang hampir sama dengan LMWH lain.

Saya secara peribadi, saya hanya gunakan Clexane untuk kes-kes yang melibatkan orang non-Muslim saja sejak 2008. Yang penting jelaskan kepada pesakit supaya mereka faham tujuan dan indikasi kegunaan ubat tersebut. Jangan ambil ringan, kita hadapi masalah kontroversial ini di HUKM pada hujung 90an. Ada kes seorang doktor disaman di Jakarta pada 2007 kerana memberi Clexane kepada pesakit Muslim walaupun dengan dos dan indikasi yang betul.

Sekian sekadar pandangan saya secara profesional.
Daud

* Dr. Mohd Daud Sulaiman merupakan pakar kardiologi di Damansara Specialist Hospital

Thursday, August 5, 2010

Gunung Senyum, Temerloh dan Kuala Gandah 2

Perjalanan kami disambung kembali. Destinasi yang dituju ialah Temerloh, sebuah bandar yang terletak di tepi Sungai Pahang.

Temerloh mendapat nama daripada perkataan 'mereloh' yang bermaksud tidur. Fakta ini saya temukan dalam akhbar Sinar Harian Edisi Pahang suatu ketika dahulu. Temerloh selain terkenal kerana ikan patinnya turut mempunyai catatan sejarah yang menarik. Daerah ini pernah melahirkan penghibur nombor satu Asia, Allayarham Sudirman Arshad selain menjadi tempat asal sebahagian anggota Rejimen ke-12 Parti Komunis Malaya (PKM), sayap komunis khusus untuk ahli-ahlinya yang berbangsa Melayu. Selain itu, Ishak Haji Muhammad atau Pak Sako, seorang pejuang kemerdekaan beraliran kiri turut dilahirkan di daerah ini.

Dari Gunung Senyum, kami melalui jambatan baru yang menghubungkan Rumpun Makmur dan Kuala Krau. Kewujudan jambatan ini mengurangkan masa perjalanan dan meningkatkan keselamatan penduduk Rumpun Makmur dan sekitarnya yang mahu pergi berurusan di Kuala Krau atau Temerloh. Sebelum ini, penduduk-penduduk di kawasan itu terpaksa menggunakan bot untuk menyeberangi Sungai Pahang atau terpaksa melalui jalan yang merentasi Gugusan Felda Jengka jika mahu pergi ke kedua-dua bandar tersebut.

Setelah melalui beberapa buah bandar dan pekan kecil seperti Kuala Krau dan Kerdau, akhirnya kami tiba di Kampung Tengah, Temerloh, kampung halaman sahabat saya Ramdani. Ketibaan kami di rumah sahabat saya itu pada waktu yang cukup sempurna (waktu tengah hari). Dengan perut yang berkeroncong meminta untuk diisi dan badan yang keletihan setelah meneroka Gunung Senyum, masakan kampung ibu Ramdani terus kami 'rembat' tanpa berfikir panjang walaupun ada yang malu-malu kucing pada mulanya.

Berlaukkan masak lemak tempoyak ikan patin, sambal petai, ayam masak merah dan yang teristimewa 'bergedel mini', semua hidangan yang disediakan habis licin dikerjakan kami. Saya sendiri apabila bergerak ke meja makan untuk memulakan 'pusingan kedua' berasa hampa melihatkan pinggan-pinggan dan bekas-bekas lauk yang berisi penuh tadi sudah habis disapu licin oleh sahabat-sahabat saya yang lain.

Bagai ular sawa kekenyangan, itulah ungkapan yang sesuai untuk menerangkan keadaan kami yang kenyang dijamu oleh keluarga Ramdani. Walau perut masih terasa sengkak, tanggungjawab sebagai muslim menyebabkan kami segera beransur daripada rumanya ke masjid. Setelah bergambar kenang-kenangan bersama ayah dan ibu Ramdani, kami meninggalkan Kampung Tengah menuju Masjid Abu Bakar yang terletak di pusat bandar Temerloh bagi menunaikan solat jamak zohor dan asar.

Bersambung untuk memori di Kuala Gandah...

Wednesday, August 4, 2010

PDF

Semester ini, saya menguruskan nota Pharmacoepidemiology & Pharmacoeconomics untuk kawan-kawan saya. Sehingga kini, sudah lima nota subjek berkenaan yang saya kendalikan.

Antara perkara yang dilakukan ialah mencetak nota berkenaan daripada soft-copy. Kelima-lima nota yang saya uruskan itu datang daripada Dr. Asrul, pensyarah jemputan dari USM. Nota-nota yang beliau ditinggalkan semuanya dalam bentuk pdf.

Setelah siap mengagihkan nota-nota berkenaan, hari ini saya mendapat pesanan untuk mengubahsuai sedikit nota berkenaan. Asalnya, setiap muka nota berkenaan mempunyai enam buah slide. Lalu saya dipesan untuk menukarkannya menjadi empat slide satu muka dan dicetak dalam bentuk landskap.
 
Untuk mencetak dalam format landskap tidak menjadi masalah, namun untuk mengubahsuai dokumen pdf menyebabkan saya menjadi musykil. Sebetulnya, bolehkah diadjust dokumen yang berbentuk pdf seperti yang dipinta?

Sunday, August 1, 2010

Menghadiri Majlis Tilawah Al-Qur'an Peringkat Antarabangsa

Perbincangan  PBL terpaksa saya tinggalkan lebih awal tanpa sempat menunggu semuanya selesai. Sudahlah datang lewat kerana ketiduran, pulang pula lebih awal menyebabkan rasa serba salah timbul dalam hati. Namun, rancangan sudah diatur, pukul 4.30 petang, dengan menaiki bas Utama Ekspres, saya akan bertolak ke Kuala Kumpur. Destinasinya, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Idea ke PWTC datang daripada sahabat saya, Yob. Setelah beberapa hari hanya menonton Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa di kaca televisyen, saya bersetuju untuk mengikuti dan menemani Yob ke sana. Yob menguruskan semuanya, daripada merancang perjalanan sehinggalah kepada membeli tiket bas. Akhirnya, setelah Jumaat yang agak kacau-bilau yang terpaksa saya lalui hari itu, saya berada dalam perut bas untuk menyaksikan secara 'live' qari dan qariah dari serata dunia Islam mempersembahkan bacaan ayat-ayat suci Al-Qur'an.

Namun, ALLAH sebaik-baik perancang. Perjalanan dari Kuantan ke Kuala Lumpur yang selalunya mengambil masa 3 jam setengah menjadi 4 jam setengah. Jumlah masa perjalanan yang bertambah menerbitkan rasa kebimbangan kepada kami, risau sekali jika hasrat melakukan musafir ini tidak kesampaian. Akhirnya, lebih kurang jam 9 malam, bas yang kami naiki tiba di Terminal Putra. Tanpa melengahkan masa, kami terus bergegas ke PWTC yang terletak berhampiran.

Sekali lagi, kami diasak rasa bimbang. Kami diarahkan ke aras atas oleh penjaga pintu dewan kerana katanya sudah tiada lagi tempat kosong. Ramai pula yang datang menyaksikan pada hari itu berbanding hari sebelumnya yang saya lihat di kaca televisyen banyak tempat kosong terutamanya di bahagian atas dewan yang tidak dipenuhi. Alhamdulillah, akhirnya tangga di aras atas dewan menjadi tempat duduk kami pada hari itu. Tangga pun tanggalah, asalkan dewan tempat pertandingan dapat dimasuki. Tangga bukan sebarang tangga, dari lokasi itu, kami dapat saksikan astaka pertandingan dan ruangan tersembunyi pengacara majlis. Akhirnya, saya dapat mengenali juga milik siapakah suara-suara tanpa wajah yang menerangkan intipati ayat-ayat Al-Qur'an yang dibaca oleh peserta pertandingan yang saya dengar ketika menonton pertandingan itu di kaca televisyen.

Kami berdua memasuki dewan ketika qari dari Kemboja sudah berada di astaka untuk memulakan bacaan. Maknanya, kami sudah terlepas bacaan dua orang peserta sebelumnya yang sudah mempersembahkan bacaan mereka. Bukan rezeki kami untuk menikmati bacaan peserta-peserta tersebut. Selepas qari dari Kemboja, kami dapat menyaksikan qari dan qariah dari Senegal, Mali, Iran, Afrika Selatan dan yang paling menarik qari dari Qatar. Walaupun tanpa penglihatan yang sempurna, bacaan qari istimewa itu sungguh menyentap perasaan dan menimbulkan zauk dalam jiwa. Sedikit malang apabila beliau tersilap sedikit pada sebuah ayat ketika sedang membaca ayat-ayat Al-Qur'an dari Surah An-Nisa'. Namun secara keseluruhan, kehadiran qari dari Qatar pada malam itu membuatkan perjalanan dari Kuantan ke Kuala Lumpur berbaloi.

Usai sahaja bacaan qari dari Qatar itu, kami berdua pun keluar dari dewan walaupun masih ada dua orang peserta yang berbaki bagi mengejar perjalanan balik ke Kuantan pada jam 11 malam. Sungguh, pengalaman pertama menyaksikan majlis yang telah berusia 52 tahun ini sangat-sangat bermakna dan berharga. Akhirnya, dengan bas sama kami naiki dari Kuantan ke Kuala Lumpur, kami tiba di Terminal Makmur tepat jam 3 pagi.


P/s: Laporan daripada Utusan Malaysia

Qari Qatar cacat penglihatan curi tumpuan pada malam keempat

KUALA LUMPUR 30 Julai - Malam keempat Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-52 malam ini mencuri perhatian apabila penonton diperdengarkan bacaan qari dari Qatar, Abdullah Hamad Salim Abu Sharida yang cacat penglihatan.

Beliau yang membacakan Surah al-Nisa' bermula ayat ke-80 merupakan salah seorang daripada 10 peserta yang memperdengarkan bacaan masing-masing.

Mereka terdiri daripada tujuh qari dan tiga qariah.

Barisan qari adalah Abdul Hamid Sengkajaree (Thailand), Abdul Karim Jusoh (Kemboja), Bouya Ismail Sall (Senegal), Davids Mogamat Alie (Afrika Selatan), Mahmoud Taghi Rangraz (Iran), Mohammad Saleim Salamine (Vietnam) dan Abdullah Hamad dari Qatar.

Barisan peserta qariah pula ialah Najla Massomi Mohammad Zahir (Afghanistan), Aissata Sylla (Mali) dan Mariam Suhana (Maldives).

Qari dari Thailand memulakan pembacaan dengan melagukan Surah al-Imran bermula ayat 109 dan diikuti oleh qariah dari Afghanistan yang membacakan Surah al-An'am ayat 59.

Peserta ketiga adalah Abdul Karim yang memperdengarkan ayat 70 Surah al-Imran dan disusuli oleh Bouya Ismail Sall dengan membaca Surah Yunus ayat 57.

Seterusnya ialah qariah dari Mali yang membacakan surah al-Ma'dah bermula ayat ke-15 sebelum sesi pembacaan berehat dengan persembahan oleh kumpulan nasyid tempatan, Far East.

Sesi pembacaan disambung dengan bacaan oleh qari dari Afrika Selatan dan Iran yang membaca Surah al-Anbiyak bermula ayat 78 dan al-An'am ayat 132.

Qariah dari Maldives pula memperdengarkan surah Toha ayat 116 selepas qari dari Qatar sebelum majlis diakhiri dengan pembacaan surah al-A'raf ayat 189 oleh qari Vietnam.

Majlis tilawah tahun ini akan berakhir pada 3 Ogos dengan 44 peserta masih belum memperdengarkan bacaan masing-masing.