Idea ke PWTC datang daripada sahabat saya, Yob. Setelah beberapa hari hanya menonton Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa di kaca televisyen, saya bersetuju untuk mengikuti dan menemani Yob ke sana. Yob menguruskan semuanya, daripada merancang perjalanan sehinggalah kepada membeli tiket bas. Akhirnya, setelah Jumaat yang agak kacau-bilau yang terpaksa saya lalui hari itu, saya berada dalam perut bas untuk menyaksikan secara 'live' qari dan qariah dari serata dunia Islam mempersembahkan bacaan ayat-ayat suci Al-Qur'an.
Namun, ALLAH sebaik-baik perancang. Perjalanan dari Kuantan ke Kuala Lumpur yang selalunya mengambil masa 3 jam setengah menjadi 4 jam setengah. Jumlah masa perjalanan yang bertambah menerbitkan rasa kebimbangan kepada kami, risau sekali jika hasrat melakukan musafir ini tidak kesampaian. Akhirnya, lebih kurang jam 9 malam, bas yang kami naiki tiba di Terminal Putra. Tanpa melengahkan masa, kami terus bergegas ke PWTC yang terletak berhampiran.
Sekali lagi, kami diasak rasa bimbang. Kami diarahkan ke aras atas oleh penjaga pintu dewan kerana katanya sudah tiada lagi tempat kosong. Ramai pula yang datang menyaksikan pada hari itu berbanding hari sebelumnya yang saya lihat di kaca televisyen banyak tempat kosong terutamanya di bahagian atas dewan yang tidak dipenuhi. Alhamdulillah, akhirnya tangga di aras atas dewan menjadi tempat duduk kami pada hari itu. Tangga pun tanggalah, asalkan dewan tempat pertandingan dapat dimasuki. Tangga bukan sebarang tangga, dari lokasi itu, kami dapat saksikan astaka pertandingan dan ruangan tersembunyi pengacara majlis. Akhirnya, saya dapat mengenali juga milik siapakah suara-suara tanpa wajah yang menerangkan intipati ayat-ayat Al-Qur'an yang dibaca oleh peserta pertandingan yang saya dengar ketika menonton pertandingan itu di kaca televisyen.
Kami berdua memasuki dewan ketika qari dari Kemboja sudah berada di astaka untuk memulakan bacaan. Maknanya, kami sudah terlepas bacaan dua orang peserta sebelumnya yang sudah mempersembahkan bacaan mereka. Bukan rezeki kami untuk menikmati bacaan peserta-peserta tersebut. Selepas qari dari Kemboja, kami dapat menyaksikan qari dan qariah dari Senegal, Mali, Iran, Afrika Selatan dan yang paling menarik qari dari Qatar. Walaupun tanpa penglihatan yang sempurna, bacaan qari istimewa itu sungguh menyentap perasaan dan menimbulkan zauk dalam jiwa. Sedikit malang apabila beliau tersilap sedikit pada sebuah ayat ketika sedang membaca ayat-ayat Al-Qur'an dari Surah An-Nisa'. Namun secara keseluruhan, kehadiran qari dari Qatar pada malam itu membuatkan perjalanan dari Kuantan ke Kuala Lumpur berbaloi.
Usai sahaja bacaan qari dari Qatar itu, kami berdua pun keluar dari dewan walaupun masih ada dua orang peserta yang berbaki bagi mengejar perjalanan balik ke Kuantan pada jam 11 malam. Sungguh, pengalaman pertama menyaksikan majlis yang telah berusia 52 tahun ini sangat-sangat bermakna dan berharga. Akhirnya, dengan bas sama kami naiki dari Kuantan ke Kuala Lumpur, kami tiba di Terminal Makmur tepat jam 3 pagi.
P/s: Laporan daripada Utusan Malaysia
Qari Qatar cacat penglihatan curi tumpuan pada malam keempat
KUALA LUMPUR 30 Julai - Malam keempat Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-52 malam ini mencuri perhatian apabila penonton diperdengarkan bacaan qari dari Qatar, Abdullah Hamad Salim Abu Sharida yang cacat penglihatan.
Beliau yang membacakan Surah al-Nisa' bermula ayat ke-80 merupakan salah seorang daripada 10 peserta yang memperdengarkan bacaan masing-masing.
Mereka terdiri daripada tujuh qari dan tiga qariah.
Barisan qari adalah Abdul Hamid Sengkajaree (Thailand), Abdul Karim Jusoh (Kemboja), Bouya Ismail Sall (Senegal), Davids Mogamat Alie (Afrika Selatan), Mahmoud Taghi Rangraz (Iran), Mohammad Saleim Salamine (Vietnam) dan Abdullah Hamad dari Qatar.
Barisan peserta qariah pula ialah Najla Massomi Mohammad Zahir (Afghanistan), Aissata Sylla (Mali) dan Mariam Suhana (Maldives).
Qari dari Thailand memulakan pembacaan dengan melagukan Surah al-Imran bermula ayat 109 dan diikuti oleh qariah dari Afghanistan yang membacakan Surah al-An'am ayat 59.
Peserta ketiga adalah Abdul Karim yang memperdengarkan ayat 70 Surah al-Imran dan disusuli oleh Bouya Ismail Sall dengan membaca Surah Yunus ayat 57.
Seterusnya ialah qariah dari Mali yang membacakan surah al-Ma'dah bermula ayat ke-15 sebelum sesi pembacaan berehat dengan persembahan oleh kumpulan nasyid tempatan, Far East.
Sesi pembacaan disambung dengan bacaan oleh qari dari Afrika Selatan dan Iran yang membaca Surah al-Anbiyak bermula ayat 78 dan al-An'am ayat 132.
Qariah dari Maldives pula memperdengarkan surah Toha ayat 116 selepas qari dari Qatar sebelum majlis diakhiri dengan pembacaan surah al-A'raf ayat 189 oleh qari Vietnam.
Majlis tilawah tahun ini akan berakhir pada 3 Ogos dengan 44 peserta masih belum memperdengarkan bacaan masing-masing.
No comments:
Post a Comment