v

Wednesday, June 10, 2009

Ceritera 116



Muka hadapan Utusan Malaysia hari ini memaparkan mengenai suasana di Selatan Thai yang kembali bergolak.

Pembunuhan yang berlaku di Masjid Al-Furqan yang terletak di dalam Kampung Air Tempayan pasti mengingatkan kita akan peristiwa Tak Bai dan Masjid Krisek yang berlaku ketika Thailand diperintah oleh bekas perdana menteri yang digulingkan, Thaksin Shinawatra.

Krisis yang berlaku di Selatan Thai pastinya mengusik hati sanubari warga Malaysia terutamanya mereka di negeri-negeri utara dan timur Malaysia yang bersempadan dengan kawasan konflik ini seperti Kelantan, Perlis, Kedah dan Perak.

Provinsi Pattani yang dahulunya pernah mencatat dalam tinta sejarah akan kewujudan sebuah kesultanan Melayu-Islam, memiliki nilai-nilai sentimental yang dikongsi bersama oleh warganya dan juga penduduk negeri Tanah Serendah Sekebun Bunga, Kelantan Darul Naim.

Persamaan budaya, adat resam, hubungan persaudaraan dan kewujudan institusi pendidikan agama tradisional seperti pondok menjadikan apa-apa yang berlaku di kedua-dua tempat walaupun dipisahkan oleh sempadan kedua-dua buah negara pastilah tetap dirasai dan menimbulkan dampak yang tersendiri bak kata pepatah cubit paha kanan, paha kiri pun terasa sakitnya.

Secara peribadi, aku tidak memahami situasi sebenar dan masih banyak kekaburan dan jerebu yang menyelubungi minda dalam memahami tragedi-tragedi yang silih berganti mengorbankan nyawa orang Islam dan penganut agama Buddha di sana.

Baru-baru ini, ketika menyertai sebuah program kesukarelawanan di Gombak, Abang Dino, salah seorang fasilitator program itu menceritakan pengalamannya berada di Selatan Thai selepas berlakunya peristiwa Tak Bai yang berlaku dalam bulan Ramadhan.

Abang Dino ditugaskan untuk mengambil maklumat dan menyelidiki apa sebenarnya yang berlaku untuk dibawa balik ke Malaysia dan disebarluaskan agar muslim di negara ini dapat memberikan bantuan yang seadanya.

Ketika beliau melaksanakan tugasan tersebut, prasangka dan rasa curiga yang tinggi menyebabkan ketidakpercayaan penduduk Tak Bai kepada orang asing terutamanya pihak media termasuklah dari Malaysia yang gagal untuk menyiarkan secara tepat peristiwa sebenar yang berlaku.

Namun, setelah diterangkan bahawa beliau daripada Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), orang Islam di Tak Bai pun memberikan kerjasama kepada Abang Dino untuk menyediakan gambaran situasi sebanar yang berlaku untuk dibawa pulang ke Malaysia bagi memungkinkan kepada bentuk bantuan yang membolehkan ABIM dan muslim Malaysia sumbangkan kepada saudara seakidah di sana.

Tambah Abang Dino lagi, sepulangnya beliau ke Malaysia, dalam salah satu siri penerangannya (di Masjid Kampung Medan, kalau tidak silap), amaun sebanyak RM 4 ribu (kalau tidak silap lagi, tetapi yang pasti jumlahnya mencecah 4 angka) berjaya dikutip daripada mereka yang memenuhi setiap ruang di dalam masjid itu.

Ada juga antara mereka yang hadir dalam majlis tersebut melahirkan keinginan rasa untuk turut berjihad di kawasan konflik tersebut. Namun, disebabkan halangan-halangan yang wujud, niat itu terpaksa dipendamkan.

Mengenangkan peristiwa yang berlaku di Masjid Al-Furqan, marilah kita mensyukuri nikmat keamanan yang dikurniakan kepada nusa yang kita sayangi ini. Syukur yang dipanjatkan itu, ayuh kita sama-sama iringkan dengan mendoakan kesejahteraan saudara-saudara kita, bukan sahaja di Selatan Thai malah di seluruh dunia.

1 comment:

ashraf ghani said...

Baiklah. Ini satu spekulasi.

Thailand hendak buat sebuah terusan di Selatan Thai. Tapi, terusan itu tentulah boleh menggugat pelabuhan sekaligus ekonomi Singapura kerana wujudkan laluan kapal yang lebih pendek di kawasan Asia Tenggara. Singapura hantar agen untuk porak-porandakan Thailand dengan adakan provokasi. Wujudkan krisis agama Islam-Buddha di Selatan Thailand.

Bagaimana? Boleh terima ?

hahaha..

God ? Nope.
Gold ? Yeah.
Glory ? Later. Gold first.