Prosedur UIA singkirkan pelajar bermasalah dipertikai
ANAK saya adalah pelajar di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) di kulliyah farmasi dalam tahun tiga. Namun pada 21 Disember lalu, anak saya disingkirkan dari universiti kerana tidak mencukupi kelayakan diperlukan kulliyah berkenaan.
Saya terus bergegas ke UIA untuk bertemu dekan setelah membuat temujanji. Dalam pertemuan itu selain merayu, saya juga menyatakan ketidakpuasan hati kerana sepatutnya saya sebagai penjaga diberitahu terlebih dulu masalah yang anak saya hadapi.
Lebih memeranjatkan apabila diberitahu anak saya bahawa penasihat akademiknya tidak pernah memanggilnya untuk membincangkan sebarang isu, malah beliau hanya menyedari apabila anak saya sendiri yang bertemu dengan beliau untuk berbincang.
Setahu saya apabila pelajar mendaftar untuk sesuatu kursus perlu mendapat persetujuan penasihat akademik bagi memastikan kelayakan untuk meneruskan pengajian, tetapi apa yang berlaku ialah sehingga tahun tiga barulah pihak universiti sedar bahawa anak saya tidak layak untuk meneruskan pengajiannya.
Saya tidak mempertikaikan kelemahan anak saya tetapi mempertikaikan apa yang pihak kulliyah lakukan bagi membantu pelajarnya untuk berjaya. Saya juga amat yakin jika seseorang pelajar itu bermasalah dari sudut mana pun, pelajar akan diberi teguran atau amaran secara perbincangan dan hitam putih.
Perjumpaan dengan pelajar akan direkodkan dan pelajar perlu menandatangani penerimaan surat amaran atau teguran itu dan salinannya akan dihantar kepada penjaga. Namun ini tidak pernah berlaku di UIA, pihak UIA dengan mudah membuat keputusan tanpa sebarang amaran.
THINK GLOBAL ACT LOCAL,
Seremban, Negeri Sembilan.
No comments:
Post a Comment