v

Thursday, January 14, 2010

Persimpangan Kehidupan

Menghampiri dua minggu pertama tahun 2010, terasa lelah sekali untuk terus berjalan meniti sebuah kehidupan.

Insaf akan tanggungjawab dan amanah yang terbeban, mahu tidak mahu, kepercayaan orang lain harus dipenuhi sebaik mungkin. Segala yang dimiliki dan dinikmati sekarang ini, bukannya hasil mutlak diri sendiri. Ramai yang menyumbang meletakkan hasil yang diraih dan tempat yang diduduki ini harus disedari sebagai hak milik bersama yang perlu disyukuri dan dikongsi.

Jika sudah namanya manusia, perjalanan kehidupan dilalui dengan kerencaman perasaan yang silih berganti. Ada kalanya terasa diri sebagai pemilik dunia yang mampu melakukan apa saja. Takut dan gusar langsung tiada dalam kamus kehidupan. Halangan dan cabaran dianggap sebagai hembusan angin kencang, bukan sebagai penamat sebuah pelayaran tetapi angin pemacu ke arah kejayaan.

Namun, ada kalanya keyakinan bisa luntur dan luruh. Dikenal orang sebagai manusia optimis, tiba-tiba bertukar menjadi manusia pesimis. Was-was mencengkam diri. Keyakinan hilang dari dalam sanubari. Hidup katanya hanya untuk menunggu mati. Langsung putus asa menguasai diri. Hari bertukar hari sudah tidak membawa erti.

Banyak yang perlu direnung. Daripada soal islah diri hinggalah kepada permasalahan ummat, semuanya menuntut upaya yang cukup besar. Serba salah pabila ada yang berkehendakkan jawapan dan kepastian, diri tiada keputusan untuk ditawarkan. Yang mampu, hanya terus berharap kesalingan untuk memahami keadaan diri. Bergelut dengan serba macam perkara, ada yang perlu didahulukan, didahulukan. Yang harus dikemudiakan, dikemudiakan.

Jauh merenung, difikir itu, difikir ini, diri bertanya mana jalan ditelusuri? Jauh membumi ke alam falsafi, ditanya itu disoal ini. Siapa diri? Apa selama ini? Apa selepas ini? Soalan demi soalan menyerang bertubi-tubi. Diri kelu tiada jawapan, tenggelam terus dalam alam khayali.

No comments: