Selamat datang kucapkan
Tapi...tiga minggu sahaja dapat kutahan jeritan batin ini. Dirangsang oleh diskaun Perayaan Krismas dan Tahun Baru oleh Kedai Buku Popular, rak-rak buku yang sudah sedia penuh di dalam bilik (kalau boleh dikatakan bilik) ini menerima kedatangan penghuni baru; 4 buah buku dan sekeping vcd dokumentari baru.
Belum ditambah lagi dengan beberapa majalah lama Al-Hikmah terbitan ISTAC ketika di bawah pimpinan Prof. Al-Attas yang kupesan daripada Fazril. Makin sendatlah bilikku yang berserabut ini. Harap-harap janganlah terjadi peristiwa yang pernah berlaku kepada Al-Jahiz seperti mana yang dinukilkan oleh Prof. Wan di dalam bukunya:
Beliau yang lumpuh tubuh badannya mati tertindih oleh buku-buku yang selalu tersimpan di sekelilingnya. (Wan Mohd Nor Wan Daud, Budaya Ilmu - Satu Penjelasan: 49)
Itulah Al-Jahiz, walaupun fizikalnya tidak menarik (beliau seorang berkulit hitam), tetapi ketinggian ilmunya menenggelamkan kekurangan tersebut. Moga minat Al-Jahiz pada ilmu dan buku mesti dicontohi dan dipupuk dalam diri. Biarlah wajah tidak handsome, tetapi ilmu penuh di dada (motivasi pada diri, hehe). Membaca pun bukan untuk peperiksaan bak kata Dr. Abdul Razak Kasmuri "Knowledge Oriented" (walaupun aku sendiri ragu-ragu dengan apa yang dimaksudkan oleh pensyarahku ini, hehe)
Lain orang, lain minatnya. Pada yang minat pada telefon bimbit, sampai setiap kali mendapat biasiswa, ditukarnya telefon bimbit model baru. Yang berminat pada gajet terkini, Low Yatlah menjadi destinasi. Mereka yang minat pada makanan, Santai dan Ana Ikan Bakar menjadi tempat pelaburan. Manakala yang minat wayang, Avatar dan Sherlock Holmes menjadi tontonan. Bukan sekali, tapi berkali-kali. Tambahan pula bila boleh ditonton dengan teknologi 3D, tidak puas rasanya menonton Avatar yang tanpa teknologi itu katanya.
Rugi rasanya kalau tidak membeli sekarang buku-buku itu. Diskaun yang menggoncangkan hatiku itu bukannya diberi setiap bulan. Untuk pengetahuan semua, kita boleh mendapat diskaun sehingga 20% untuk buku-buku pilihan setiap bulan jika memiliki kad keahlian Popular. Untuk buku-buku lain, jika memiliki kad keahlian, akan diberi diskaun sebanyak 10%. Di Popular kita mendapat diskaun manakala di MPH, jika memiliki kad keahlian, setiap kali membeli buku di sana, kita akan mendapat mata (rewards). Untuk apa mata itu, tidaklah dapat kupastikan kerana jarang ke MPH memandangkan tiada cawangannya di bumi Kuantan.
Buku Aku Pejuang Islam dan Can Asian Think? kubeli di MBS. Dari semester lepas, sudah kusimpan hasrat mahu membeli buku terjemahan The Islamist yang diterjemah menjadi Aku Pejuang Islam. Akhirnya, tertunai juga niat yang tertangguh. Walhasil, cuti hujung minggu selama tiga hari ini langsung tidak berusik nota-nota pelajaran gara-gara membaca buku Ed Husain itu (berjaya juga ditamatkan!). Yang pasti buku ini memang seronok bagiku memandangkan salah satu minat yang terlah wujud semenjak di bangku sekolah menengah ialah gerakan Islam. Kalau ada mood, akan kuulas sedikit sebanyak tentang buku ini.
Can Asian Think? yang ditulis oleh Kishore Mahbubani sebuah buku yang agak berpengaruh kerana sering dijadikan rujukan. Berbaloi membeli buku ini ditambah dengan diskaun separuh harga yang diberi memandang buku itu pun sudah ditanda clear stock. Sebut tentang separuh harga mengingatkan aku tentang pengalaman bersama buku Gelombang Kebangkitan Asia yang kujumpa di Pustaka Ghani Ngah, Ipoh.
Khabarnya buku tulisan Anwar Ibrahim keluaran DBP itu dibakar selepas pemecatannya (rujuk sini). Kira bernasib baiklah aku dapat membeli buku yang terselit di celahan buku-buku lama yang lain. Sudahlah susah untuk didapati, dibeli pula dengan separuh harga kerana ketika itu kedai buku yang terletak di Medan Gopeng itu memberi potongan harga atas setiap buku yang dibeli ketika itu.
Kalau rajin menyelongkar rak-rak buku di MBS, insya' ALLAH akan berjumpa dengan buku-buku yang kini agak susah didapati di kedai buku Popular dan MPH. Sebagai contoh, aku terjumpa denga buku Zabidi Mohamed bertajuk Tersungkur Di Pintu Syurga. Buku ini pernah 'meletup' suatu masa dahulu kerana penulisnya menceritakan pengalamannya bersama Al-Arqam. Hatta, pengalaman semasa ditahan ISA kerana keterlibatannya dalam Al-Arqam pun turut menjadi intipati buku ini. Malah, Buku tulisan Alvin Toffler seperti Future Shock yang menjadi terkenal dalam tahun-tahun 90an pun pernah kujumpa di kedai buku ini. Jumpa sajalah, mahu membeli tiada ongkosnya.
Inilah sekelumit kisah si pembeli buku. Yang baik dijadikan teladan, yang tidak baik dijadikan sempadan. Sekurang-kurangnya inilah 'harta' yang kuada, kukumpul bukti 'kekayaan' memperoleh biasiswa JPA. Juga sebagai tanda kenangan zaman undergraduates yang bakal berakhir...
No comments:
Post a Comment