v

Tuesday, January 5, 2010

Mencari Syaikh

Alhamdulillah, hari ini ALLAH memberi peluang kepadaku untuk hadir ke dalam majlis ilmu. Peluang yang jarang-jarang sekali untuk didapati apabila berada di Kuantan. Walaupun cuaca agak kurang baik, aku bersyukur bila Qayyum menepati janjinya untuk turut bersama-sama hadir mengambil sedikit sebanyak mutiara-mutiara ilmu.

Dengan menaiki kereta Qayyum kami meredah hujan mencari Surau Solahuddin Al-Ayyubi, lokasi majlis ilmu tersebut. Afiq pun turut sekali mengikuti kami dengan menaiki keretanya kerana mahu pulang awal untuk menghadiri kelas tasmi'. Surau itu berhampiran dengan Sekolah Kebangsaan Sungai Talam, salah sebuah sekolah rendah yang pernah kubuat program. Berdasarkan ingatanku yang ingat-ingat lupa, insya' ALLAH tidak menjadi masalah kepada kami untuk tiba di sana.

Walaupun terlajak jalan, kami tiba di sana sebelum azan solat maghrib dikumandangkan. Sambil berdiri di luar menanti azan habis dilaungkan, tuan syaikh pun tiba. Aku mengambil kesempatan untuk bersalam bersama Tuan Syaikh yang pertama kali kudengar syarahannya secara live di Masjid KOM. Tuan Syaikh yang aku maksudkan ialah Syaikh Nuruddin Marbu Al-Banjari Al-Makki.

Berbanding dengan negeri-negeri lain di Pantai Barat Semenanjung seperti Kedah dan Selangor, Tuan Syaikh belum dikenali sangat di negeri Pahang ini. Tuan Syaikh pun baru mula aktif berceramah di sini setahun dua tahun kebelakangan ini. Tuan Syaikh mula bertapak di Malaysia apabila menjadi tenaga pengajar di Maahad Tarbiyyah Derang di bawah pimpinan Syaik Ni'amat Yusof. Disebabkan itulah beliau agak dikenali di negeri Kedah.

Berbalik kepada majlis ilmu tadi, kami menggunakan kitab bertajuk Yaqin karangan beliau untuk didiskusikan. Kitab ini menghimpunkan beberapa hadis junjungan mulia, Nabi Muhammad S.A.W. Tuan Syaikh sempat membaca dan membahaskan beberapa hadis daripada kitab kecil itu. Antara hadis yang sempat kami pelajari ialah hadis tentang kepentingan solat subuh secara berjemaah. Betapa aku terasa sungguh kemanisan dan zauq apabila berada dalam majlis ilmu sehingga tidak sedar masa berlalu dengan begitu sahaja.

Dihidangkan dengan cerita sahabat-sahabat baginda dan para alim ulama', jauh sekali taraf dan martabat diri untuk dibandingkan dengan mereka. Ada juga butir-butir syarahan Tuan Syaikh yang mengena diri membuatkan kita bermuhasabah dengan segala amalan yang telah dilakukan. Aku sendiri sungguh tertarik dengan cerita Tuan Syaikh tentang salah seorang ulama' Mekah keturunan Nabi, Syaikh Muhammad Alawi Al-Maliki Al-Hasani. Mendengar dan membaca biografi para ulama' mampu untuk kita membaiki diri terutamanya berkaitan dengan ilmu dan tentu sekali ibadat. Menghayati kehidupan mereka boleh menjadi motivasi dan inspirasi terutama kepada penuntut-penuntut ilmu.

Sungguh aku dan Qayyum terkesan dengan ceramah yang Tuan Syaikh sampaikan. Banyak perkara yang kami muhasabahkan sepanjang pengajian berlangsung terutamanya perkara yang berkaitan dengan ibadat dan amalan kami. Moga ilmu yang kami perolehi daripada pengajian bersama Syaikh Nuruddin ini dapat kami amalkan.

1 comment:

Shamel said...

yg kat KOM tu 2nd time aku dgr ceramah die Am. 1st kat masjid sultan azlan shah kte tuh.

3rd plak terlepas sbb kao x gtau aku pon! kecewa!