v

Friday, March 12, 2010

Pemimpin Sepanjang Zaman

pandanganpemimpin.JPG
Pandangan Pemimpin Terhadap Mereka Yang Dipimpinnya

“Huh, pemimpin apa macam itu. Menghabiskan masa sahaja”, rungut Zain (bukan nama sebenar).

“Anta jangan cakap begitu, anta tidak tahu kehidupan beliau bagaimana”, saya cuba menenangkan keadaan.

“Nak tahu apanya lagi? Dia tidak tahu macam mana susahnya pelajar macam kami ini. Yuran tak lepas, makan tak tentu. Dia sedap sahaja bermewah. Naik kereta sewa ke sana sini”, kata-kata Zain semakin menghangatkan mesyuarat kami.

Zain ketika itu adalah pelajar Tahun 1. Baru sahaja sampai. Orangnya bersemangat tinggi. Semangat yang sering mencederakan sesiapa yang tidak dipersetujuinya.

Entah kenapa malam itu, beliau terlalu marahkan sahabat saya Abu Ammar. Abu Ammar adalah bekas ahli rumah saya, sebelum beliau berumahtangga. Kini Abu Ammar dipertanggungjawabkan dengan amanah memimpin persatuan pelajar.

Zain tidak tahu apa yang dia tidak nampak. Zain tidak sedar betapa Abu Ammar menderita setiap hari mencari wang untuk menampung CT Scan anaknya yang cedera di tempurung kepala akibat kemalangan jalan raya. Sekali scan, mahu USD100 terbang.

Zain hanya melihat dari luar. Dia tidak tahu tong beras Abu Ammar selalu kosong. Kami yang rapat dengan Abu Ammar kadang-kadang mengeluarkan duit poket sendiri untuk mengisi tong beras yang kosong itu, demi persahabatan.

Apa yang Zain tahu, Abu Ammar bermewah-mewah sebab sering ke sana sini dengan kereta sewa. Walhal tugas Abu Ammar sebagai pemimpin persatuan pelajar, memerlukan beliau untuk sering bermusafir menghadiri mesyuarat yang penting.

“Anta jaga sikit mulut tu!”, saya cuba berkeras sedikit.

Abu Ammar hanya mendiamkan diri mendengar celoteh Zain yang tidak habis-habis merungut.

“Inilah musang ekor beruang!”, kata Zain sambil menunding ke arah Abu Ammar yang semakin merah mukanya.

“Astaghfirullah Ustaz Zain. Firaun yang mengaku tuhan itu pun, Allah perintahkan Nabi Musa agar bercakap baik dengannya. Abu Ammar ni lebih jahat dari Firaunkah? Dan anta lebih baik dari Musa? Ittaqillah ya akhi!”, saya sudah tidak boleh bersabar lalu menutup majlis dan menyuruh semua bersurai.

Selepas mesyuarat itu, seorang sahabat Zain telah memberi amaran kepada saya.

“Anta jangan main-main Sheikh. Zain tu jenis kejar Cina dengan parang masa kat kampung dia”, kata beliau kepada saya.

“Tolong sikit. Itu samseng kampung. Nak samseng macam tu, pergi balik kampung. Ini Jordan, tempat orang mengaji. Buat cara orang mengaji!”, saya cuba bertegas.

Peristiwa malam itu sudah lama berlalu. Zain sudah jadi penceramah terkenal. Abu Ammar sudah tiada. Sudah kembali ke rahmatullah dalam sebuah kemalangan jalan raya beberapa tahun yang lalu.

baitkahfi.jpg
Al-Marhum Abu Ammar, berdiri, dua dari kanan

Saya kehilangan seorang sahabat yang sangat istimewa seperti Abu Ammar. Beliau meninggal dunia semasa saya jauh di perantauan. Istimewa Abu Ammar, masih hangat dalam ingatan. Abu Ammar adalah satu-satunya sahabat yang sudi menziarahi ibu saya ketika saya jauh di Ireland. Jika ada ceramah di Ipoh, beliau sering singgah di rumah saya bersama isteri dan anak-anak, menumpang mandi dan bertanya khabar. Teman sejati, adalah teman yang berlaku baik kepada kita, di belakang kita tanpa kita ketahui.

Ibu saya sendiri tertekan bagai kematian anak sendiri, apabila berita Abu Ammar terbunuh dalam kemalangan jalan raya saya maklumkan kepadanya.

Abu Ammar adalah seorang kawan yang menghiburkan. Tidak pernah gundah menanggung pengajian diri, isteri, adik dan anak-anaknya ketika di perantauan.

Ada sahaja yang Abu Ammar lakukan untuk menambah pendapatan. Menjual mee, menjual rempah ratus dari Malaysia, mengambil upah menjahit dan macam-macam lagi. Abu Ammar tetap senyum dan saya rindukan wajahnya yang manis itu.

Abu Ammar sentiasa berjubah. Itu identiti dia. Namun makin lama, jubahnya makin banyak bertampung kain. Namun Abu Ammar tetap kaya dengan senyuman.

Lebih istimewa, Abu Ammar memimpin dengan sabar. Beliau jarang melenting. Cakap-cakap buruk orang bawahannya ditelan begitu sahaja. Yang penting, Abu Ammar tahu apa yang sedang dilakukannya.
Itu Abu Ammar di sisi insan yang mengenalinya. Mengenali beliau sebagai sahabat, bukan sasaran kritik gelojoh orang bawahan.

Saya sendiri jadi bosan, mengapa orang muda suka bergaduh. Apabila bermesyuarat, yang banyak hanyalah rungutan, rasa tidak puas hati, kritikan, tetapi jarang benar yang menyumbang kepada penyelesaian.

SAYA DAN KEPIMPINAN
Saya sendiri, berkenalan dengan kepimpinan, seawal darjah 1. Saya dilantik menjadi Ketua Darjah, dan kadang-kadang diberi rotan oleh guru untuk mengawal kelas agar tidak bising. Saya pun tidak ingat, bagaimana tugas itu saya laksanakan.

Ia diteruskan di sepanjang pembelajaran saya di sekolah rendah, sehingga akhirnya menjadi Ketua Murid semasa di darjah 6. Tugasnya pelbagai, namun ia mempercepatkan proses kematangan diri. Saya rasa, agama mematangkan manusia. Kerana selalu berfikir tentang agama, saya rasa proses penuaan saya menjadi cepat dari yang biasa.

Entah apa yang ada di muka saya, tradisi menjadi Ketua Kelas bersambung lagi di sepanjang pengajian saya di sekolah menengah. Kemuncaknya, ialah apabila saya dilantik menjadi Pengerusi Badan Dakwah dan Rohani semasa di Tingkatan 4, sedangkan jawatan itu lazimnya dipegang oleh pelajar Tingkatan 6 Rendah, di sepanjang sejarah sekolah saya.

Ketika di sekolah menengah, antara sumber kepimpinan saya ialah Tuan Pengetua saya sendiri, Tuan Haji Zamri Abdul Karim, yang berperanan lebih dari sekadar seorang guru, namun sebagai pendidik dan murabbi yang membentuk peribadi saya.

sis001.jpg
Tuan Haji Zamri Abdul Karim, berketayap putih, adalah guru dan murabbi saya

NASIHAT KEPIMPINAN
Antara nasihatnya yang berharga tentang kepimpinan, disampaikan kepada saya pada salah satu siri ‘kaunseling’ beliau kepada saya.

“Pemimpin adalah seperti orang di atas bukit. Orang yang dipimpin adalah manusia ramai di kaki bukit yang mendongak ke atas untuk hanya melihat kamu, pada buruk dan baiknya kamu”, kata beliau kepada saya.

Menjadi pemimpin, dan menjadi golongan yang dipimpin tidak sama. Golongan yang dipimpin seperti manusia di kaki bukit. Mendongak ke atas dan melihat pemimpinnya di puncak bukit. Serba-serbi tentang pemimpin itu diperhatikannya. Ada pujian, tetapi yang sering adalah kritikan dan celaan.

Sedangkan pemimpin yang berdiri di puncak bukit, beliau melihat ke bawah dengan pandangan yang luas. Kritikan dari orang yang mengkritiknya, hanyalah salah satu daripada keseluruhan pandangan luasnya terhadap realiti golongan yang dipimpin.

Inilah cabaran menjadi pemimpin, di sepanjang pengalaman saya mengamati dan memikulnya.

Kefahaman saya tentang apa yang dinamakan sebagai kepimpinan, telah saya abadikan dalam sebuah nasyid yang saya cipta, khusus untuk meniup semangat pemimpin, di segenap lapisan agar berjiwa luas. Lapangkan dada terhadap segala celaan dan kritikan orang bawahan, jika kalian yakin pada kebenaran yang diperjuangkan.

Lagu ini adalah di antara lagu istimewa saya. Namun oleh kerana telah banyak nasyid yang saya cipta dan nyanyikan sendiri di dalam album Gemilang 1995, maka nasyid “Pemimpin Sepanjang Zaman” ini telah diserahkan untuk dinyanyikan oleh Ustaz Erfino Johari.

Saya dedikasikan lagu ini kepada sahabat dan pemimpin saya, al-Marhum Abu Ammar, pemimpin-pemimpin pelajar di semua lapisan dan sekelian mereka yang menanggung kepimpinan, di mana jua …

PEMIMPIN SEPANJANG ZAMAN

Tika kau di puncak pergunungan
Luas saujana mata memandang
Bumi luas terbentang
Jauh di sana

Kelihatanlah umat manusia
Seribu ragam juga bicara
Berat mata memandang
Resah jiwa mengenang

Adat pemimpin sepanjang zaman
Di hatinya ada kebimbangan
Beratnya tanggungan yang menanti di depan
Akan terhisab di tangan Tuhan

Bagi manusia yang di bawahnya
Mata memandang pada yang satu
Tersusunlah kekurangan
Terkumpul kelemahan

Segala ujian dan cabaran
Dan tuduhan yang dilontarkan
Semua itu permainan
Gurauan perjuangan

Hari ini kita satukan hati
Dendangkan irama perpaduan
Susunkan barisan satukan keyakinan
Terus ke depan tempuh rintangan

Jika mereka itu seribu
Kita bersama Tuhan yang Satu
Maka pohonlah bantuan
Nusrah pasti diturunkan

Ahzab yang telah ditewaskan
Pengalaman sepanjang zaman
Bulatkan keyakinan
Kemenangan di depan

Sekali disusun perjalanan
Tiada undur terus ke hadapan
Ceraikanlah jasad, nyawa dan kehidupan
Hidup berjaya mati mulia

LAGU: Hasrizal Abdul Jamil
LIRIK: Hasrizal Abdul Jamil
NYANYIAN: Erfino Johari
PERSEMBAHAN: Usrah al-Firdaus, Jordan
ALBUM: Gemilang
TAHUN: 1995


Diambil daripada laman web Ustaz Hasrizal Abdul Jamil

1 comment:

zaraa Y. said...

ermm...nice...~
thanx 4 sharing che am..