v

Thursday, August 5, 2010

Gunung Senyum, Temerloh dan Kuala Gandah 2

Perjalanan kami disambung kembali. Destinasi yang dituju ialah Temerloh, sebuah bandar yang terletak di tepi Sungai Pahang.

Temerloh mendapat nama daripada perkataan 'mereloh' yang bermaksud tidur. Fakta ini saya temukan dalam akhbar Sinar Harian Edisi Pahang suatu ketika dahulu. Temerloh selain terkenal kerana ikan patinnya turut mempunyai catatan sejarah yang menarik. Daerah ini pernah melahirkan penghibur nombor satu Asia, Allayarham Sudirman Arshad selain menjadi tempat asal sebahagian anggota Rejimen ke-12 Parti Komunis Malaya (PKM), sayap komunis khusus untuk ahli-ahlinya yang berbangsa Melayu. Selain itu, Ishak Haji Muhammad atau Pak Sako, seorang pejuang kemerdekaan beraliran kiri turut dilahirkan di daerah ini.

Dari Gunung Senyum, kami melalui jambatan baru yang menghubungkan Rumpun Makmur dan Kuala Krau. Kewujudan jambatan ini mengurangkan masa perjalanan dan meningkatkan keselamatan penduduk Rumpun Makmur dan sekitarnya yang mahu pergi berurusan di Kuala Krau atau Temerloh. Sebelum ini, penduduk-penduduk di kawasan itu terpaksa menggunakan bot untuk menyeberangi Sungai Pahang atau terpaksa melalui jalan yang merentasi Gugusan Felda Jengka jika mahu pergi ke kedua-dua bandar tersebut.

Setelah melalui beberapa buah bandar dan pekan kecil seperti Kuala Krau dan Kerdau, akhirnya kami tiba di Kampung Tengah, Temerloh, kampung halaman sahabat saya Ramdani. Ketibaan kami di rumah sahabat saya itu pada waktu yang cukup sempurna (waktu tengah hari). Dengan perut yang berkeroncong meminta untuk diisi dan badan yang keletihan setelah meneroka Gunung Senyum, masakan kampung ibu Ramdani terus kami 'rembat' tanpa berfikir panjang walaupun ada yang malu-malu kucing pada mulanya.

Berlaukkan masak lemak tempoyak ikan patin, sambal petai, ayam masak merah dan yang teristimewa 'bergedel mini', semua hidangan yang disediakan habis licin dikerjakan kami. Saya sendiri apabila bergerak ke meja makan untuk memulakan 'pusingan kedua' berasa hampa melihatkan pinggan-pinggan dan bekas-bekas lauk yang berisi penuh tadi sudah habis disapu licin oleh sahabat-sahabat saya yang lain.

Bagai ular sawa kekenyangan, itulah ungkapan yang sesuai untuk menerangkan keadaan kami yang kenyang dijamu oleh keluarga Ramdani. Walau perut masih terasa sengkak, tanggungjawab sebagai muslim menyebabkan kami segera beransur daripada rumanya ke masjid. Setelah bergambar kenang-kenangan bersama ayah dan ibu Ramdani, kami meninggalkan Kampung Tengah menuju Masjid Abu Bakar yang terletak di pusat bandar Temerloh bagi menunaikan solat jamak zohor dan asar.

Bersambung untuk memori di Kuala Gandah...

2 comments:

Shamel said...

Baru prasan gamba last yg rmai2 tu cool am. Sbb ketinggian mengikut kontur yg terancang. err..

Ilham Nur said...

Wah, itu kontur yang 'semulajadi', bukannya 'buatan manusia'.