v

Thursday, August 27, 2009

Ceritera 168

Keasyikan `memburu' buku terpakai

Oleh SHAHAROM TM SULAIMAN

Nama panggilannya Kamal. Bila suatu ketika dia tergopoh-gopoh dengan wajah ceria, itu bermakna dia baru saja `berburu' atau mendapatkan buku baru yang ingin ditunjukkan kepada penulis. Buku baru itu bukanlah baru dalam pengertian sebenar, sebaliknya buku baru yang terpakai yang dibelinya di toko buku terpakai Skoob Books, Petaling Jaya atau di toko buku Payless.

Tidak jarang juga Kamal selalu mendapatkan buku terpakai di toko buku Popular atau mana-mana toko buku terpakai kecil mamak yang berselerakan di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur.

Umumnya, buku-buku yang dibeli Kamal sudah berwarna agak kecoklatan, dengan beberapa coretan di sana sini. Namun, ia bangga menunjukkan kepada penulis bahkan ghairah bercerita dengan hanya RM50, dia berjaya membeli empat buah buku terpakai, yang menurutnya, isinya masih relevan dengan situasi sekarang.

Dan ia menyebut sudah menghabiskan ratusan ringgit dalam tiga bulan terakhir untuk `memburu' buku-buku terpakai. Ia juga bangga mengatakan bahawa itulah yang kelak dapat ia wariskan pada anak-anaknya. Kamal memang tidak punya harta bertimbun tetapi di rumahnya penuh dengan `harta' ilmu berbentuk koleksi buku sehingga tiada ruang yang selesa untuk mengisi bukunya.

Seringkali terdengar juga leteran isterinya supaya mengawal nafsunya terhadap buku kerana ketiadaan ruang.

Seringkali juga Kamal mengungkapkan kekecewaannya, kerana ada sebuah buku yang ia ingin beli, tetapi koceknya ``menjerit''. Ia terpaksa rela buku yang ia minati itu diambil orang lain. Sebagai gantinya, di kesempatan lain ia memperoleh buku bagus yang sebenarnya pesanan orang lain. ``Pemesannya tidak datang berhari-hari. Jadi, saya jual dengan anda saja,'' ujar Kamal meniru cara penjual buku terpakai.

`Memburu' buku atau book hunting merupakan sejenis kegiatan unik yang disukai oleh para pencinta buku dan pengumpul buku (book collector). Kegiatan ini menawarkan keasyikan dan pesonanya yang tersendiri. Ia memerlukan ketekunan, kepintaran menawar, kesabaran, dan tenaga untuk mencari. Tanpa semua itu, nescaya buku yang diharapkan tidak akan datang dengan sendiri, kecuali nasib menyebelahinya. Sebaliknya, jika buku yang diinginkan berjaya diperoleh, sungguh itu suatu kenikmatan yang sukar dilafazkan dengan kata-kata.

Sekiranya dia ingin membeli buku-buku lama atau buku yang tiada lagi dalam cetakan, Kamal akan berkunjung ke Pulau Pinang yang masih lagi banyak terdapat toko-toko kecil buku terpakai atau pergi saja ke pasar Chowrasta, dan di situ Kamal akan `tenggelam' dalam keasyikan dunia buku. Bukan Kamal saja, tetapi sesiapa saja pencinta buku akan mengalami apa yang Kamal rasai.

Kalau nasibnya baik, dia mungkin mendapatkan buku-buku nadir (rare books). Buku terpakai dan buku nadir memang berbeza. Buku yang habis dibaca untuk kemudiannya dijual ke penjual buku, itulah yang disebut buku terpakai.

Jumlah buku jenis ini masih lagi banyak di pasaran. Buku nadir jelas memang buku lama, lazimnya tidak lagi diulang cetak, bahkan ada yang mendefinisikannya buku cetak sebelum 1900.

Jumlah buku jenis ini memang sedikit sekali dan sukar ditemui di pasaran dan harganya mencecah ratusan bahkan ribuan ringgit. Selalunya untuk buku jenis nadir ini, para pembeli dan peminat perlu mempunyai rangkaian atau jaringan kontak yang luas.

Lantaran itu, mengumpul buku terpakai atau nadir boleh menjadi hobi yang murah sekali gus mahal. Jika bernasib baik, sebuah buku yang mungkin bernilai tinggi, mungkin saja dapat dibeli dengan puluhan atau belasan ringgit saja, lantaran si penjual tidak mengerti atau memahami nilai sebenar buku tersebut. Misalnya, pengalaman penulis sendiri ketika membeli buku History of Java karya Thomas Stanford Raffles dengan harga RM10 sedangkan sebuah syarikat pembekal buku nadir yang berpangkalan di Australia menjualnya dengan harga RM500. Memang menyimpan buku-buku nadir mempunyai `kelasnya' yang tersendiri

Namun begitu jika dibandingkan pasaran buku nadir dan terpakai di Indonesia, Malaysia masih jauh ketinggalan dan hampir sebahagian besar buku terpakai adalah novel-novel moden dan jarang sekali terdapat buku-buku umum atau buku-buku besar yang menggugah pemikiran.

Di Indonesia, khususnya di Jakarta, Bandung dan Yogyakarta, buku-buku nadir dan terpakai masih banyak pilihan. Berkunjunglah ke Pasar Senen atau Kwitang Raya di Jakarta, Jalan Palasari di Bandung atau Jalan Maliboro di Yogyakarta, kita akan menemukan bermacam ragam buku sehingga tidak tahu yang mana satu menjadi pilihan. Sekiranya bernasib baik, buku-buku lama cetakan di Malaysia pun boleh didapati. Kalau kocek tidak menjerit, mahu saja diborong kesemua buku-buku itu.

Begitulah, rupa-rupa wujud kecintaan para pemburu buku dan pengumpul buku. Mereka akan merasa gundah dan kecewa bila mana buku-buku nadir `terbang' ke luar negara dan menjadi koleksi bangsa lain yang lebih menghargai sejarah dan kebudayaan manusia. Sementara kaum berduit pula lebih suka mengumpul koleksi kereta mewah dan rumah serta memperbanyakkan ``teman-teman''.

Pada hemat penulis, langkah Perpustakaan Negara mengesan dan memperoleh buku-buku nadir di serata tempat dan belahan dunia merupakan langkah yang terpuji untuk memelihara khazanah intelektual negara. Kita tidak mahu lagi terjadi `kehilangan' warisan manuskrip Melayu yang banyak tersimpan di luar negara seperti di British Library, Bodlean Library atau di mana saja. Khazanah itu tidak mungkin lagi kita dapati dalam bentuk asal kerana mereka mengetahui manuskrip mahupun buku-buku nadir merupakan khazanah intelektual yang cukup berharga. Bukankah ada kata-kata yang mengatakan, `jika ingin menguasai minda sesuatu bangsa, kuasailah bahan-bahan penulisan mereka'. Dan, inilah yang dilakukan oleh Perpustakaan Kongres Amerika (Library Of Congress) yang membeli dan memperoleh seluruh bahan tulisan asli sesuatu bangsa dan negara di seluruh pelosok benua. Tidak hairanlah kalau Amerika `menguasai' dunia, namun begitu kita masih lagi boleh mengharapkan para pencinta buku untuk `menguasai' ilmu!

- Shaharom TM Sulaiman ialah pensyarah Fakulti Pengajian Maklumat Universiti Teknologi Mara.

Sumber: Arkib Utusan Online

No comments: