v

Thursday, August 27, 2009

Ceritera 169



Ini artikel tahun 2006. Sudah tiga tahun berlalu sedari aku membacanya di dalam akhbar. Intipatinya yang masih berbekas menyebabkan aku mencarinya di dalam arkib maya Utusan. Nah, akhirnya, bertemu kembali.

Keasyikan perpustakaan

Oleh SALASIAH WAHAB

``Ketika memasuki perpustakaan itu, saya ibarat tenggelam dalam lautan buku yang mengasyikkan, saya ingin mencapai apa saja buku yang tersergam erat di celah-celah rak yang tersusun rapi dan terasa ingin membaca segala buku yang terdapat di dalamnya. Saya tidak tahu buku mana yang harus saya dahulukan tetapi `jiwa' saya seakan-akan berkata `` bacalah kesemuanya'' kerana kamu tidak mempunyai masa kerana terlalu banyak ilmu yang ingin diketahui.

Akhirnya saya capai apa saja buku yang hampir dengan saya dan `keghairahan' itu amat mempesonakan sehingga tanpa disedari masa telah lama berjalan. Saya tersedar apabila pustakawan memberitahu masa penutupan perpustakaan telah hampir.

Saya memandang raut mukanya (pustakawan), hati kecil seolah-olah mahu berkata: ``Tinggalkan aku bersendirian, jangan ganggu aku dalam keasyikkan pengembaraan ini, aku sedang berdialog dengan `orang-orang pintar dan bijaksana dari masa lampau dan ``mereka'' mencerdaskan aku,'' kata-kata ini diungkapkan oleh Matthews Battles dalam bukunya, Library: An Unquiet History (2004), ketika mengunjungi Perpustakaan Iskandariah, Mesir atau juga dikenali dengan Bibliotheca Alexandria yang cukup tersohor itu yang dibina pada tahun 290 SM. Malangnya perpustakaan itu menyimpan luka yang lama apabila dijarah oleh orang `luar'. Ada sejarahrwan berpendapat ia dilakukan oleh Julius Caesar apabila menakluki Mesir, sehinggalah ia dibangunkan semula pada tahun 2002.

Perpustakaan Iskandariah adalah perpustakaan leluhur, sebuah perpustakaan yang menjadi sumber pengetahuan bagi peradaban masa kini. Perpustakaan ini dikatakan pernah menyimpan 700,000 gulungan papyrus yang mengandungi maklumat dalam pelbagai bidang ilmu pengetahuan. Rupa-rupanya kunjungan Battles tidak sia-sia, ia mengubah masa depannya. Dia mula mengagumi perpustakaan. Dia terpesona dengan koleksi buku-buku, Dia merasakan keakraban buku dan perpustakaan dalam kehidupannya. Lalu, dia memilih kerjaya sebagai pustakawan dan inilah yang dilakukannya sebagai pustakawan yang mengurus buku-buku `nadir' atau buku-buku langka di Perpustakaan Houghton di Universiti Harvard.

Minat membacanya yang luar biasa dan kecintaannya terhadap ilmu tidak memungkinkannya memilih kerjaya lain selain daripada pustakawan. Battles rupanya belajar daripada tradisi intelektual silam. Dia belajar dari Al-Khawarizmi, Konfusius, Ibnu Maskawaih, Melvyn Dewey yang pernah menjadi pustakawan dan dia belajar juga dari Ibnu Sina yang amat mengagumi perpustakaan yang pernah meminta kebenaran daripada raja yang memerintah Hammadhan (wilayah di Iran) untuk menggunakan perpustakaannya sekiranya berjaya menyembuhkan penyakit raja tersebut.

Bijak

Memang sejarah tradisi kepustakawanan silam menunjukan bahawa orang-orang `berilmu-lah' yang selayaknya mengurus perpustakaan. ``Di perpustakaan, saya seolah-olah bercakap dengan minda terbaik sepanjang sejarah peradaban manusia. Di sinilah saya `menemukan' Albert Enstein, Isaac Newton, Ibnu Sina dan inilah kehidupan paling bijaksana bagi saya,'' kata Battles lagi.

Keterpesonaan terhadap perpustakaan membawa Battles berkelana dan menjelajah ke hampir semua perpustakaan besar dunia. Dia mengunjungi British Library, Perpustakaan Vatican, Perpustakaan Negara Iran, Perpustakaan Louvain, Jerman. Kesemua pengembaraan mempesonakan ini dituangkannya dalam buku Library: An Unquiet History. Di British Library, dia terpegun melihat naskhah asli Magna Carta yang disebut-sebut sebagai dokumen pertama (1215) yang menjamin hak asasi manusia dari cengkaman kekuasaan feudal.

Di situ juga ia melihat kitab Injil yang dicetak untuk pertama kalinya oleh Johann Guttenberg yang mencipta mesin cetak pada 1455. Tidak kurang juga ia melihat naskah al-Quran yang ditulis di atas perkamen (kulit binatang yang dijadikan semacam kertas) oleh Muhammad Ibnu Ali Wahid, yang dipersembahkan kepada Sultab Baybar, raja dari Dinasti Mamluk pada 1308-1309. Dia sempat juga melihat al-Quran dengan khat Maghribi, yang disalin dari Valencia, Andalusia, Sepanyol, pada abad ke-12. Sebuah koleksi yang amat jarang dijumpai, kerana sebahagian besar sudah musnah ketika Kristian kembali menguasai Sepanyol.

Pengalaman mempesonakan ini tidak kurang juga membuat Battles marah. Dia marah pada tentera Nazi Hitler yang menjarah perpustakaan Louvain dan perpustakaan di Belgium. Dia juga marah pada tentera Serbia yang menjarah perpustakaan negara dan Universiti Bosnia di Sarajevo yang menyimpan 5,263 manuskrip dalam bahasa Arab, Parsi, Ibrani, dan Adzamisjski (tulisan Slav Bosnia dalam skrip Arab). Battles tidak dapat menerima sebab kenapa manusia sanggup menghancurkan warisan kebijaksanaan manusia kerana ia tidak dapat dibangunkan lagi.

Dia percaya perpustakaan adalah pusat kelangsungan peradaban manusia dan bukan pusat `pembunuhan' ideologi. Nasib baik kini sudah ada program'mendigitalkan' manuskrip dan buku-buku lama dengan cara skan semua isi manuskrip dan buku-buku tertentu.Mudah-mudahan nanti kita bebas ``membalik-balik'', misalnya, semua halaman buku catatan Leonardo da Vinci tampa merosakkan naskah aslinya.

Melalui Library: An Unquiet History, kita seolah-olah di bawa Battles berada dalam lautan ilmu dalam perpustakaan. Di dalamnya kita terdedah kepada karya -karya pengarang dan pemikir besar dunia, sejarah perpustakaan dari dunia Timur ke Barat, sejarah tulisan bermula dari papirus, codex, tanah liat, kertas sehinggalah cetak, peristiwa-peristiwa penting yang menggembirakan dan menyedihkan yang berlaku pada perpustakaan.

Lebih dari itu, ia menyedarkan kita bahawa perpustakaan adalah `jantung' peradaban manusia dan khazanah kebijaksanaan manusia yang cukup berharga. Benarlah tajuk buku ini, Library: An Unquiet History, perpustakaan tidak pernah ``diam'' dan jemu mencerdaskan manusia sepanjang sejarah.

Sumber: Arkib Utusan Online

No comments: