Pulang sebentar ke Perlis beberapa hari lepas, aku mengambil kesempatan bersama-sama adik bongsuku, Yusri berkunjung ke sebuah rumah yang sudah lama aku kunjungi.
Rumah yang kumaksudkan ialah rumah warisan peninggalan gemulah Wan dan Tok. Di sini tersimpan kenanganku bersama Wan sebelum dirinya dijemput ALLAH sewaktu menunaikan haji di Mekah ketika aku berada di darjah lima.
Masih terbayang lagi, di rumah ini jugalah Tok menghabiskan sisa-sisa umurnya sekembalinya dari Mekah berseorangan sebelum pulang menuju kepada Penciptanya. Masih kuingat lagi, waktu itu, di padang MCIIUM, berbaju batik biru ketika Taaruf Week, aku menerima panggilan daripada Abah, menyatakan Tok sudah tiada lagi.
Inilah juga rumah yang menyaksikan Abah, Ngah, Mak Lang dan Mak Su ku membesar, tempat Wan dan Tok melepaskan lelah selepas membanting tulang menjadi petani yang setia kepada bumi - menanam padi di Dataran Padi Kedah-Perlis, menoreh getah di Bukit Kerengga dan membela lembu untuk mencari sesuap nasi buat anak-anak.
Rumah ini jugalah yang menjadi saksi aku dan sepupu-sepupuku bermain, bergelak tawa ketika kami masih bergelar kanak-kanak, yang masih belum mengerti betapa peritnya apa yang dinamakan kehidupan itu.
Dan ini jugalah tempat aku menerima parut kekal di kaki kiriku selepas terjatuh daripada tangga rumah.
Namun, ayang seribu kali sayang, semenjak Tok meninggal dunia, tiada siapa lagi yang menduduki rumah ini; sebuah rumah di KAMPUNG ALOR TAMPANG. Biar musnah jasad rumah itu, namun kenangan bersamanya akan sentiasa tersemat di dalam jiwa, selagi mana kukenal di mana asal-usulku.
Pokok yang tinggi menjulang itu pokok mempelam yang ditanam oleh moyang kami
Duduk termenung di atas tangga. Dulu tangga dan para ini tiada, yang ada tangga yang menghubungkan tanah sampailah pintu rumah. Dari tangga yang sudah dipotong sebahagiannya itulah, aku terjatuh.
Yusri di atas memerhati sekeliling dari atas para. Dulu, ketika kanak-kanak, aku dan sepupuku akan makan nasi di sini, sambil membuang nasi-nasi yang tidak habis dijamah ke tanah buat santapan ayam-ayam yang Tok bela.
Pokok asam jawa. Sekadar menyaksikan dari kejauhan kerana takut ada ular dan lipan bara yang menjadikannya sebagai tempat berteduh.
Pokok Jambu Air yang Tok tanam selepas Wan meninggal dunia.
Dapur dan bilik air. Dulu, bila pulang dari nat (pasar sehari), di sinilah tempat aku dan sepupu-sepupuku yang lain berebut-rebut mengambil ais kacang yang dibeli Tok atau Abah.
Kandang lembu. Sebaik sahaja wan meninggal dunia, kandang ini pun kosong tanpa penghuni.
No comments:
Post a Comment