v

Sunday, December 27, 2009

Ceritera 294



Gambar di atas kuambil sewaktu bercuti di rumah. Cadangnya mahu tangkap gambar di seluruh pekan Tanjung Rambutan. Tetapi, biasalah, tiba-tiba sahaja fikiranku berubah. Cukup satu gambar ini sahaja yang ditangkap.

Pekan Tanjung Rambutan terletak di antara pekan Tambun dan Chemor. Pekan ini mempunyai balai polis dan masjid yang terletak di tepi Sungai Kinta, sebuah kuil Hindu dan sebuah rumah ibadat bagi penganut agama Sikh, pasar, kedai-kedai dan sebagainya. Kiranya, pekan ini lengkaplah untuk memenuhi keperluan hidup penduduk sekitar. Malah National Stud Farm iaitu ladang(?) kuda pun ada di pekan ini.

Tapi apa yang membuatkan pekan ini terkenal serata Malaysia ialah kerana kewujudan institusi kesihatan ini. Al-maklumlah, di Malaysia hanya ada dua tempat yang menempatkan institusi ini; satu di Tampoi, Johor, dan satu lagi di Tanjung Rambutan.

Aku teringat ketika aku berada di darjah enam, mewakili sekolah dalam pertandingan hafazan, bila diumumkan pemenang suatu pertandingan itu datang dari SK Tanjung Rambutan, ada peserta yang ketawa terbahak-bahak. Begitulah stigma orang awam, apabila disebut sahaja Tanjung Rambutan, automatik teringat orang gila. Hatta mungkin ada juga yang berprasangka, semua yang tinggal di Tanjung Rambutan orang gila.

Bila minggu ini aku belajar tentang penyakit mental, aku rasa sedikit sebanyak mungkin boleh terjawab persoalan hospital bahagia yang sering kulihat dari jauh tanpa dapat memahami dan mengetahui penghuni-penghuninya. Sekurang-kurangnya bila sedikit sebanyak aku belajar tentang kemurungan, schizophrenia, sedikit sebanyak stigma yang ada dalam benak ini boleh dibuang.


Harap-harap juga bila sudah mula belajar memahami penyakit-penyakit ini muncullah rasa empati yang akan menggantikan segala persepsi buruk terhadap penyakit mental dan penghidapnya. Kena semat dalam hati, hari ini mungkin orang lain yang menghidapnya, tetapi masa depan siapa yang tahu? Mohon ALLAH menjauhkan kita, ahli keluarga dan sahabat-sahabat dijauhkan daripada ujian-ujian sebegini...

No comments: