v

Wednesday, December 23, 2009

Ceritera 293


Badiuzzaman Said Nursi merupakan penyelamat akidah umat Islam di Turki bila sahaja Mustafa Kamal Attarturk menghapuskan sistem Khilafah Ustmaniyyah pada tahun 1922. Agenda sekularisasi yang dibawa Attarturk menyebabkan sinar Islam yang menerangi Turki mula terancam.

Demi apa yang dinamakan sebagai kemajuan, peniruan bulat-bulat terhadap gaya hidup Barat yang digerakkan oleh Attarturk mula mengganggu-gugat pengamalan Islam yang telah sebati dengan penduduk Turki. Sebagai contoh, pertukaran azan ke dalam Bahasa Turki merupakan salah satu tindakannya untuk mengasingkan Turki daripada dunia Arab yang menjadi tempat lahirnya risalah Nubuwwah Nabi Muhammad S.A.W.

Mujur sahaja ketika gerakan penghapusan identiti Islam yang dilakukan oleh Attarturk itu kedapatan benteng-benteng penyelamat yang tidak terus membiarkan umat Islam Turki terpesong daripada ajaran Islam yang sebenar. Antara yang memainkan peranan ketika itu ialah ahli-ahli Tarekat Naqsyabandiyyah dan tentu sahaja Badiuzzaman Said Nursi. Nursi sendiri merupakan salah seorang pengikut tarekat ini.

Nursi lewat himpunan tulisannya yang berpengaruh, Risale-i-Nur menjadi inspirasi kepada orang Islam Turki untuk terus mempertahankan akidah mereka. Tulisan-tulisannya yang mana ada yang ditulis ketika beliau dipenjara disebarkan oleh anak-anak muridnya dan pengikut-pengikutnya ke seluruh Turki. Apa yang mengkagumkan ialah, Risale-i-Nur yang merupakan komentar kepada Al-Qur'an dituliskan berdasarkan ingatannya sahaja tanpa membuka kitab-kitab yang lain untuk dijadikan sebagai rujukan. Banyak lagi keajaiban yang ALLAH kurniakan kepada Nursi ketika menulis karya besarnya ini.

Berbanding Ikhwanul Muslimin dan Jamaat al-Islami, pengaruh Nursi kepada gerakan Islam di Malaysia ini agak minima. Agak jarang didapati, gerakan Islam di Malaysia memakai Risale-i-Nur sebagai teks usrah berbanding karya-karya tokoh-tokoh Ikhwanul Muslimin seperti Mustafa Masyur dan Sayyid Qutb. Hal ini mungkin boleh difahami kerana kebanyakkan orang agamawan di Malaysia menjadikan Universiti Al-Azhar sebagai pilihan mereka untuk mendalami. Kehadiran mereka ke Mesir menyebabkan mereka lebih akrab dengan agenda dan sistem Ikhwan berbanding dengan methodologi yang digunakan Nursi.

Dikatakan pengikut-pengikut Nursi kini terbahagi kepada tiga gerakan sekarang ini. Salah satu gerakan yang dikatakan lahir daripada rahim ajaran Nursi ialah gerakan yang dipimpin oleh Fethullah Gulen. Gerakan kedua ialah Sozler. Sozler banyak menterjemahkan Risale-i-Nur kepada Bahasa Inggeris. Koleksi Risale-i-Nur yang kumiliki sekarang merupakan hasil usaha Sozler. Gerakan ketiga ialah Hayrat Foundation. Dikatakan Hayrat Foundation merupakan gerakan yang paling tradisional dan masih mengekalkan beberapa amalan pengikut-pengikut awal Nursi.

Semua info di atas kudapati daripada pimpinan PKPIM, Faisal dan Hanif ketika bersama-sama pergi menghadiri usrah pengikut Hayrat Foundation di Malaysia. Kata mereka, info ini mereka perolehi daripada Encik Azam, mantan Presiden ABIM. Kedatangan beberapa orang ahli Hayrat Foundation ke Malaysia merupakan sahutan mereka terhadap ajakan Encik Azam untuk datang berdakwah di Malaysia. Antara usaha yang mereka rancang ialah untuk menterjemahkan Risale-i-Nur ke dalam Bahasa Melayu. Khabarnya, kata-kata aluan untuk penerbitan mereka sedang ditulis oleh Ustaz Siddiq Fadhil, Presiden Wadah Pencerdasan Umat.

Usaha-usaha yang dilakukan oleh ahli-ahli Hayrat Foundation ini perlulah dicontohi dan dipuji. Marilah kita mengambil manfaat daripada pengalaman seluruh gerakan-gerakan Islam dari seluruh belahan dunia Islam dan menyesuaikan dengan waqi' atau keadaan negara ini agar sinar Islam akan kembali gemilang menyinari negara yang kita sama-sama cintai ini.

No comments: