v

Monday, December 28, 2009

Ceritera 295



Ini gambar kawan-kawan aku di Izzuddin. Dari kiri, Azwan (Bobby), Syariful Amri, Faiz dan Sabri (Co'e). Gambar ini diambil semasa kami mengadakan lawatan ke Langkawi, ganjaran kemenangan perbarisan Hari Kebangsaan peringkat Negeri Perak tahun 2002.

Tahun itu, kami menang perbarisan terbaik dan kostum terbaik, satu rekod yang menyebabkan kami menjadi lagenda sekolah. Jumlah keseluruhan hadiah yang kami perolehi ialah sebanyak RM 10 000, RM 5000 untuk perbarisan terbaik dan RM 5000 lagi untuk pakaian terbaik. Jadi daripada RM 10 000 yang diperolehi itu, pihak sekolah gunakan untuk membawa bercuti kami ke Langkawi selain hadiah-hadiah lain seperti memberi baju Raihan dan wang saku mencecah RM 200 setiap seorang yang diagihkan kepada seluruh ahli kontijen kawad seramai 65 orang itu.

Gambar ini ada signfikasi tersendiri. Sebab apa? Sebab gambar ini mampu membawa aku mengingati kembali Bobby dan Syariful. Mengenang kembali saat-saat indah bersama Bobby dan Syariful yang sudah tiada...meninggal dunia pada usia yang boleh dikira muda akibat nahas di jalan raya.

Syariful, aku kenali ketika berada di tingkatan dua. Dia salah seorang pelajar sekolah agama rakyat yang bernasib baik untuk masuk Izzuddin ketika itu. Berbanding sekolah agama rakyat, sekolah agama milik kerajaan negeri tentulah lebih baik dan banyak kemudahannya walaupun tidaklah selengkap sekolah-sekolah milik kerajaan persekutuan.

Bukan sedikit yang menyimpan hasrat untuk memasuki sekolah agama ini. Ada ibu bapa yang terpaksa menggunakan kabel untuk memasukkan anak-anak mereka ke sekolah yang didirikan dua tahun selepas kemerdekaan tanah air ini. Mungkin kerana jasanya terutama kepada penduduk negeri Perak, ramai yang berharap untuk belajar di sini. Dan Syariful kerana prestasinya yang cemerlang di sekolah lamanya diterima masuk belajar bersama-sama kami yang sudah setahun berada di situ sejak tahun 1999.

Personaliti ini mula kukenali peribadinya bila dia masuk ke dalam bilikku (rumah hijau) saat mula mendaftarkan diri ke sekolah berasrama padat (SBP) ini. Kerana susuk badannya yang berisi, dia menjadi tunjang kepadarumah sukan kami dalam acara tarik tali (satu-satunya acara yang aku dan kawan-kawan sebilik agak kompeten walaupun seringkali tewas di final kepada rumah biru) selain menjadi harapan dalam acara rejam lembing (seumur hidupku di Izzuddin, tidak pernah lembing yang kurejam tercacak di atas tanah) ketika Hari Sukan.

Perjuangannya yang dimulakan ketika berada di tingkatan dua diakhiri dengan mengambil SPM bersama-sama kami. Masih indah di dalam memori, ketika musim peperiksaan besar itu, waktu siangnya kami bertungkus-lumus menjawab soalan SPM di Dewan Besar Tan Sri Ghazali Jawi manakala malamnya pula kami sama-sama mendirikan solat sunat Tarawih di Musolla Al-Azzam. Ramadhan yang terindah dalam hidupku, dan yang paling baik yang pernah kurasakan. Terasa berkatnya menghadapi saat-saat genting di dalam bulan yang mulia itu.

Aku, sebelum sempat menerima keputusan SPM diterima menjejaki bumi Darul Qur'an, menimba ilmu dan mencari pengalaman buat bekalan hidup. Syariful pula usai SPM pulang ke kampung halamannya di Ayer Tawar, berhampiran bandar Manjung. Suatu pagi di Darul Qur'an, hari-hari biasa yang menyaksikan aku terkial-kial memperdengarkan bacaan Al-Qur'an pada Ustaz Najhan, Afif Husman mengkhabarkan musibah yang menimpa Syariful. Aku berada di perkarangan Masjid DQ yang indah bila Afif memberitahu sahabat kami ini ditimpa malangan ketika menunggang motorsikal berhampiran dengan rumahnya.

Tiada apa yang dapat kulakukan waktu itu, sekadar mengucapkan Inna LILLAHI wa inna ilaiHI rajiu'un; mahu memberi penghormatan terakhir aku berada di Kuala Kubu Bharu. Hanya doa yang dapat kutitip mengharapkan ALLAH menempatkan dirinya bersama-sama para solehin yang lain. Khabarnya, ramai rakan-rakanku yang lain pergi melawat jenazahnya di rumah dan pihak sekolah ada menghantar satu bas berisi pelajar-pelajar Izzuddin ke sana untuk bersama-sama mendirikan solat jenazah.

Begitulah sifat ajal yang tidak mengenal usia, tatkala temanku ini bersiap-siap untuk melanjutkan pelajarannya, Tuhan sudah memanggil pulang. Memang tidak pernah terbayang dalam kepala dia akan pergi menghadap Tuhan dalam umur yang semuda 18 tahun hatta keputusan SPM yang dinantikan-nantikannya selepas bersusah payah berusaha menuntut ilmu pun tidak diketahuinya gara-gara kecelakaan di jalan raya...

Azwan atau Bobby, nama timangan di kalangan rakan-rakan pula kukenali lebih awal daripada Syariful. Dia antara orang yang paling mula kukenali ketika menjejakkan kaki di Izzuddin selain kawan-kawan sekolah rendahku yang memilih Izzuddin sebagai tempat melanjutkan pelajaran seperti Darul dan Fikri. Aku masih ingat kain cadar putih yang tercatat nama dan tempat asalnya, Kampung Perlop.

Antara kelebihannya dia suka dan pandai bercerita, dan aku salah seorang yang paling suka melayannya bercerita. Dengan kepekatan loghat Perak yang dituturnya, aku selesa tinggal bersamanya di dalam bilik hijau. Seperti Syariful, dia juga antara ahli-ahli pasukan tarik tali rumah kami. Selain itu, kerana kemerduan suaranya, dia juga menganggotai kumpulan nasyid sekolah, Soutul Faizin. Selain giat bernasyid, dia juga menjadi murid Ustaz Azmi, kini pensyarah di KISDAR, menuntut ilmu Silat Gayung Langkah Empat.

Di sebalik matanya yang sayu, tidak siapa menyangka dia akan pergi meninggalkan kami dalam usia remaja. Melalui kawan-kawan, aku mendapat berita dia ingin membuka bengkel, berdikari mencari rezeki di bumi ini. Namun, sebelum sempat cita-citanya direalisasikan, ALLAH terlebih dahulu menjemputnya. Dia meninggal dunia bersama kakaknya yang mengorbankan sehari sebelum hari jadiku ke-23.

Itulah kuasa Tuhan; ajal, jodoh dan rezeki semuanya milikNYA. Kita yang hidup di dunia ini pun tidak tahu bila kita akan dipanggil menghadapNYA. Rasa masih belum bersedia mengenangkan amal yang mencukupi berbanding dosa-dosa yang dilakukan. Takut dan gentar diri ini apabila memikirkan nasib diri ketika hendak berdepan Sang Pencipta. Tapi entahlah, memang nama pun manusia, selalu sahaja diri ini alpa dan lalai....ALLAH....

P/s: Berita kemalangan yang mengorbankan Bobby dan kakaknya di Utusan dan The Star


Tiga termasuk dua beradik maut

IPOH 2 Mei - Tiga termasuk dua beradik terbunuh dalam kemalangan ngeri membabitkan dua buah kenderaan di Kilometer 80.5, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur di Tapah dekat sini awal pagi semalam.

Tiga lagi mangsa turut cedera parah dalam Kemalangan yang berlaku pukul 1.30 pagi itu.

Mereka kini dirawat di Hospital Tapah, Hospital Teluk Intan dan Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh.

Mangsa yang terbunuh dalam kemalangan itu ialah Ahmad Azuan Mohamed, 24, dan kakaknya, Nurul Huda Mohamed, 27, serta penumpang sebuah lagi kereta, D. Sengodan, 32.

Ketiga-tiga mereka meninggal dunia di tempat kejadian akibat tersepit dalam kenderaan masing-masing selain mengalami kecederaan parah di kepala dan badan.

Tiga lagi mangsa yang terlibat dalam kemalangan itu ialah kakak kepada Nurul Huda dan Ahmad Azuan iaitu Suriati Mohamed, 31, yang dipercayai pemandu kenderaan Proton Iswara yang dinaiki tiga beradik itu.

Dua lagi ialah pemandu kereta Proton Perdana V6 yang dinaiki oleh Sengodan, Mohamed Rahim Mohamed, 31, dari Kuantan, Pahang manakala Siti Hajariah Mohamed, 27, berasal dari Tumpat, Kelantan.

Ketua Polis Daerah Tapah, Supritendan Roslan Bek Ahmad berkata, kejadian berlaku semasa Ahmad Azuan bersama dua kakaknya yang berasal dari Sungkai dekat sini dalam perjalanan ke Tapah.

"Sebaik sahaja tiba di tempat kejadian, kereta yang dinaiki tiga beradik itu dikatakan bertembung dengan kereta yang dipandu oleh Mohamed Rahim yang datang dari arah bertentangan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Roslan berkata, pertembungan tersebut menyebabkan kedua-dua kereta itu remuk teruk dan pasukan bomba dan penyelamat mengambil masa 45 minit untuk mengeluarkan mangsa-mangsa yang tersepit.

Beliau berkata, punca sebenar kejadian bagaimanapun masih disiasat kerana tiada saksi melihat kemalangan berlaku.

Tambahnya, mayat ketiga-tiga mangsa dihantar ke Hospital Tapah untuk bedah siasat dan sudah dituntut oleh keluarga masing-masing untuk dikebumikan semalam.

"Mangsa yang cedera iaitu Suriati kini dirawat di Hospital Teluk Intan, Siti Hajariah pula di Hospital Tapah manakala Mohamed Rahim dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh untuk rawatan lanjut," katanya.
Sehubungan itu, Roslan meminta orang ramai yang menyaksikan kemalangan itu supaya menghubungi Cawangan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah di talian 05-4011222 bagi membantu siasatan.

Sumber: Utusan Online


Three people dead in accident near Sungkai

TAPAH: Three people were killed and three others were seriously injured in a predawn accident involving two cars at Km 80.5 Jalan Ipoh - Kuala Lumpur near Sungkai yesterday.

Tapah police chief Supt Roslan Bek Ahmad said those killed were the driver of the first car Ahmad Azuan Mohamed, 23, his sister Nurul Huda, 27, and D. Sengodan, 32, a passenger of the other car.

The injured are Suriati Mohamed, 31, who is the elder sister to Nurul Huda, the driver of the other car Mohamad Rahim Mohamed, 31, and his passenger Siti Hajariah Mohamed, 26. Both Mohamad Rahim and Siti Hajariah are from Kuantan.

Ahmad Azuan, Nuru Huda and Sengodan - all of whom are from Sungkai - died at the scene of serious bodily injuries. Their bodies had been sent to the Tapah Hospital. Siti Hajariah was admitted to the Teluk Intan Hospital and Mohamad Rahim at the Ipoh Hospital.

Roslan said the Proton Perdana driven by Mohamad Rahim carrying D.Sengodan and Siti Hajariah was on its way from Tapah to Sungkai when it collided with Ahmad Azuan's Proton Iswara, which was coming in the opposite direction, at 1.30am. - Bernama

Sumber: Laman web The Star

No comments: