Friday, September 11, 2009
Ceritera 188
NGO dakwa Mesir sekat bantuan ke Gaza
Dzulfikar Mashoor
AMPANG, 10 Sept: Usaha Malaysia menyelami kegetiran hidup umat Islam Gaza dalam bulan Ramadhan ini terbantut apabila bantuan kemanusiaan dari negara gagal mendapat kerjasama politik negara jiran di Timur Tengah.
Pengerusi Misi Keamanan Sejagat Malaysia (GPM) Ahmad Azam Abdul Rahman pagi tadi mendakwa kerajaan Mesir mengamalkan pilih kasih ke atas NGOnya apabila Ketua Delegasinya ke Gaza, Azlan Muhammad Sharif dipenjara Polis Mesir selama tiga hari tiga malam tanpa suatu asas yang jelas.
Bercakap pada sidang media di depan Kedutaan Mesir pagi tadi, Azam juga mengutuk serta mempersoal tindakan profesionalisme pihak Polis Mesir terbabit.
"Kami protes, mengapa Saudara Azlan ditangkap selama tiga hari (serta) disiasat kehadirannya sedangkan mereka tahu usaha-usahanya menghantar bantuan kemanusiaan dan makanan ke Gaza (Palestin) sahaja."
Mendakwa NGOnya mendapat pengiktirafan kerajaan Malaysia sekian lama, Azam meminta Malaysia campur tangan terhadap pencabulan hak asasi manusia ke atas rakyat Malaysia, iaitu Azlan.
Tegasnya, Mesir perlu rasional dan memberi peluang kepada Malaysia; menjadikan negeri terbabit sebagai pintu masuk paling realistik serta selamat ke Gaza demi menyalurkan bantuan kepada umat Islam di sana.
Setiausaha Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) Khairul Anwar Musa yang ditemui kemudian, menegaskan bahawa apa yang berlaku itu melambangkan Mesir cuba bersikap tidak adil terhadap peranan NGO Malaysia di peringkat antarabangsa.
"Kita memerlukan penjelasan, mengapa NGO-NGO dari Malaysia ini disekat masuk ke Gaza, sedangkan NGO-NGO dari luar diberi pengiktirafan serta kebenaran akses Gaza secara bebas dan meluas."
Dalam pertemuan 15 minit dengan wakil Kedutaan Mesir Sheikh Tamil al-Mawadziny, Azam kemudiannya berkata, Mesir berjanji tidak mengulangi insiden pilih kasih demikian ke atas Malaysia.
Beliau juga meminta kerajaan Malaysia menggalakkan usaha kemanusiaan ke sana, melalui hubungan lebih strategik dengan Mesir.
"Bantuan kemanusiaan ini sebenarnya membawa nama Malaysia. (Misi) ini tidak akan berjaya kecuali perlu ada kerjasama antara Malaysia dan Mesir sendiri. Jika Mesir gagal tunaikan jaminan, kita bercadang berurusan dengan (kerajaan) Malaysia pula."
Azlan (gambar) yang ditemui media enggan menjelaskan pengalaman peritnya dalam penjara.
Dipercayai tindakan tersebut demi memastikan keselamatan dirinya serta keluarganya terus terjamin kelak.
Tambahnya lagi, Mesir mengambil tindakan demikian mungkin disebabkan beliau acap kali mengetuai misi keamanan ke Gaza. Ianya berdasarkan pembebasan lebih awal dua sukarelawan baru yang juga ditahan bersamanya 2 September lalu.
Insiden tersebut merupakan salah satu cabaran misi keamanan rakyat Malaysia demi membela rakyat Muslim Palestin yang teraniaya lebih setengah abad; angkara Zionis-Israel serta beberapa kuasa yang mengiktiraf negara haram itu.
Sumber: Harakahdaily
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment