v

Friday, September 25, 2009

Ceritera 194

Usai solat sunat ba'diyah Jumaat, ada yang menantiku di belakang. Azrul Ihsan, kawanku sejak sekolah rendah duduk menunggu aku menghabiskan solat sunat.

Kami berbual ringkas. Dia bercerita tentang aktivitinya sepanjang hari raya ini. Kelmarin, dia dan rakan-rakan yang lain seperti Darul, Faiz dan Aki pergi berziarah ke rumah guru disiplin kami di Izzuddin, Ustaz Munawwir. Guru yang garang tetapi lucu. Sering kami tidak kering gusi apabila beliau menyampaikan kuliahnya. Akhir-akhir ini, kerap juga kumendengar kuliahnya di radio Perak FM, terubat juga kerinduan untuk mendengar lelucon beliau.

Azrul bercerita lagi, dia bersama-sama Faiz dan Darul berkunjung ke rumah Cikgu Aminah, guru kelas kami, kelas 6 Kreatif di SKPPH. Sedekad meninggalkan bangku sekolah rendah, silaturrahim yang terjalin masih kekal utuh. Mungkin kerana berkat saling berkomunikasi. Bila kami sudah masuk ke sekolah menengah, Cikgu akan meluangkan masa melawat kami di sana. Masih segar di ingatan, bila kami berada di tingkatan 3, Cikgu menunaikan haji di Mekah. Kesempatan itu, aku titipkan doa kepada Cikgu agar berjaya dalam PMR. Alhamdulillah, aku mendapat 9A dalam peperiksaan itu. Cikgu, selepas kepulangannya dari Tanah Haram, datang berziarah lagi, menghadiahkan kami air zam-zam dan tidak lupa sedikit wang saku. Kata-kata yang sering diungkapkannya: "cikgu dah tak boleh tolong kamu di sini macam dulu-dulu, cara ni jelah yang cikgu dapat tolong"

"Darul nak bertunang bulan 11 ni. Zaleha pula dah dirisik", tambah Azrul. Aku menganggukkan kepala. Baguslah, Darul sudah bekerja selepas graduasi dari UTHM dan Zaleha pula menanti untuk bergelar guru selepas bergelar graduan dari UPSI. Itu khabar terakhir yang diceritakan Azrul sebelum kami berpisah, dan aku pula terlupa hendak bertanya: "kau bila pula?" kepada dia.

Setahun ke setahun, cepat betul masa berlalu. Dulu, kami bocah kecil, sekarang sudah menjadi manusia dewasa. Dulu menjadi anak orang, kini bersedia menjadi ibu dan ayah orang. Persoalannya, aku bila lagi, haha...

P/s: Petang ini, aku pula mahu ziarah ke rumah Cikgu Aminah di Kampung Kolam, Tanjung Rambutan.

No comments: