Perkembangan Misi Bantuan Malaysian Relief Agency di Padang
Assalamu'alaikum,
Semua exco, sukarelawan dan sahabat MRA.
Saya ingin maklumkan mesej pesanan ringkas dari sdr. Shahran Kassim dan Dr. Hyzan Yusof yang berada lapangan pascagempa di Padang, Sumatera Barat.
Semalam iaitu hari kedua misi MRA, waktu yang amat memenatkan dan hari yang penuh keadaan menyayat hati sambil menyaksikan kemusnahan. Benak pemikiran penduduk-penduduk di Padang masih dalam keadaan trauma dan hospital-hospital penuh sesak dengan pesakit-pesakit yang mengalami kecederaan.
Pasukan menyelamat dan mencari antarabangsa termasuk dari Britain, Perancis, Switzerland serta dunia Arab sedang menggeledah runtuhan bangunan secara berhati-hati untuk mencari mangsa-mangsa yang masih hidup. Mereka mengharapkan menemui keajaiban di bawah runtuhan bangunan. Dua mangsa ditemui masih hidup dan selamat di bawah runtuhan setelah 40 jam terperangkap bersama mayat-mayat mereka yang telah menemui ajal. Hari ini, pasukan SMART Malaysia akan memulakan usaha mencari menyelamat di Hotel Mariani, Padang. Harapan kita agar mereka berjaya mengeluarkan mangsa-mangsa yang masih hidup.
Melalui kerjasama dengan Bulan Sabit Merah Indonesia (BSMI), para doktor, jururawat dan petugas perubatan MRA akan memberikan khidmat kepada mangsa gempabumi di Rumah Sakit Siti Rahmah, Hospital Daerah Kota Padang dan Pusat Kesihatan Masyarakat (PUSKESMAS) di kawasan Penduhulu dan Pariaman. Rumah Sakit Umum RSU M. Djamil di Padang mengalami kerosakan akibat gempa.
Salam sejahtera.
Dr. Mohd Daud Sulaiman
Setiausaha Agung
MRA
No comments:
Post a Comment