v

Monday, October 26, 2009

Ceritera 240



Esok, aku akan menghadapi peperiksaan OSCE untuk subjek Pharmacy Practice. Sedang mengulangkaji Methadone Maintenance Therapy (MMT) yang dijalankan oleh Kerajaan Malaysia sejak Oktober 2005 teringat aku berkenaan memorandum yang dikeluarkan ABIM ini:


Memorandum ABIM Terhadap Cadangan Program Perintis (Pilot Programme) Kementerian Kesihatan Malaysia

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) difahamkan menerusi media cetak dan elektronik bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia mengusulkan satu cadangan untuk melaksanakan program perintis bertujuan mengurangkan jangkitan HIV/AIDS di Malaysia.

Cadangan tersebut ialah mengagihkan secara percuma jarum suntikan, kondom dan sejenis dadah “methadone” untuk mengurangkan ketagihan dadah, kepada sejumlah 1,200 orang penagih dadah menerusi 10 klinik kerajaan dan 10 klinik swasta di empat (4) zon di Semenanjung Malaysia iaitu Zon Utara, Zon Tengah, Zon Selatan dan Zon Timur., mulai Oktober 2005 nanti selama enam (6) bulan.

2. Media juga melaporkan bahawa seandainya program perintis ini berjaya, program ini akan dilaksanakan secara lebih menyeluruh. Cadangan ini dilaporkan media akan dibincangkan di mesyuarat Jawatankuasa Pemulihan dan Rawatan Majlis Tindakan Membasmi Dadah yang dipengerusikan oleh Y.A.B. Dato’ Seri sendiri, sebelum dikemukakan ke Mesyuarat Jemaah Menteri. Pengumuman cadangan ini secara terbuka dikatakan bertujuan untuk mendapatkan maklumbalas (feedback) dari masyarakat Malaysia.

3. Berdasarkan kepada fakta cadangan tersebut dan maklumbalas dari rakyat Malaysia pelbagai agama, budaya dan kaum, serta para pemimpin masyarakat, ABIM merasa bertanggungjawab untuk mengemukakan pendirian dan pandangannya seperti berikut:

a. Ada yang menganggap bahawa pengagihan kondom adalah langkah pragmatik kerana hakikatnya manusia akan terus melakukan amalan seks. Bagi mereka yang bersetuju dengan kaedah ini, pemberian kondom untuk menggalakkan seks rambang perlu dibezakan dengan pemberian kondom untuk mencegah wabak jangkitan HIV.

Pendirian ABIM: Kaedah ini akan hanya menggalakkan gejala maksiat dan perzinaan, khususnya di kalangan penagih dadah dan/atau pelaku seks yang tidak bernikah. Bagi mereka ini, sememangnya tidak ada perbezaan langsung sama ada pemberian kondom tersebut adalah untuk pencegahan HIV atau meningkatkan aktiviti perzinaan. Mereka akan tetap melakukan seks rambang; yang bezanya ialah kali ini mereka dibekalkan dengan kondom secara percuma dari sumbangan dana rakyat (public funds) seperti pembayaran cukai pendapatan dan pelbagai bentuk cukai lain. Statistik yang ada belum cukup kuat untuk membuktikan progam ini berjaya mengurangkan pesakit ini.

Kaedah ini akan hanya akhirnya membina sebuah masyarakat permisif, yang terpaksa berkompromi dan merelakan sesuatu kemungkaran atau keburukan untuk menjustifikasi sesuatu yang belum terbukti kebenaran dan keberkesanannya.

b. Ada juga yang mengatakan bahawa sudah ada kajian yang membuktikan penurunan jangkitan HIV di bandar-bandar yang melaksanakan program pengedaran jarum berbanding dengan bandar-bandar yang tidak melaksanakan program ini. Menurut pandangan ini lagi, pengedaran kondom di kalangan penagih dadah HIV positif dapat mengawal jangkitan HIV daripada merebak. Di antara negara-negara yang berjaya mengawal wabak HIV melalui pendekatan ini ialah Australia dan Thailand. Negara Iran dan Bangladesh juga dikatakan telah melaksanakan kaedah ini berdasarkan beberapa prinsip asas Islam seperti prinsip darurat yang terpaksa dilaksanakan dalam keadaan luar biasa di mana ratusan ribu insan terkorban. Turut dikemukakan bahawa 75% daripada mereka yang dijangkiti HIV (yang setakat ini melebihi 61,486 orang) ialah penagih dadah.

Pendirian ABIM: Kerajaan perlu mengenalpasti terlebih dahulu apakah punca utama merebaknya wabak HIV ini di negara kita. Sekiranya yang dijangkiti HIV itu majoritinya adalah penagih dadah, maka barangkali program perintis ini boleh dipertimbangkan untuk dilaksanakan dengan pemberian jarum suntikan terlebih dahulu secara terkawal, sepertimana yang diutarakan oleh Dato’ Dr Ismail Ibrahim, Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan. Tetapi kaedah ini perlu dilaksanakan dengan menekankan aspek-aspek kaunseling, nasihat dan pendidikan kerana aspek-aspek ini lebih penting untuk keberkesanan jangka panjang.

c. Mereka yang mendokong cadangan ini menyatakan bahawa kaedah pengagihan kondom secara percuma telah berjaya di negara-negara luar, dan dengan demikian perlu ditiru pelaksanaannya di Malaysia.

Pendirian ABIM: Kaedah pengedaran kondom percuma kepada penagih dadah kononnya berjaya dilaksanakan di negara-negara luar kerana majoriti yang dijangkiti HIV/AIDS adalah mereka yang mengamalkan seks rambang. Tetapi gejala ini agak berlainan dengan keadaan dan budaya di negara kita. Hakikat ini juga telah diperakui oleh YB Datuk Noh Omar, Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri. Meniru eksperimen sebegini di negara-negara lain secara semberono belum tentu dapat menjamin keberkesanannya.

d. Ada juga pandangan yang menggalakkan program terapi penggantian dadah dengan memberi sejenis dadah “methadone” yang dikatakan mampu mengurangkan ketagihan.

Pendirian ABIM: Kaedah ini akan hanya melanjutkan ketagihan dadah kerana yang berubah hanyalah jenis dadah. Tetapi ketagihan tetap akan berlaku. Secara logiknya, penagih dadah ini akan hanya mempelbagaikan ketagihan bahan-bahan lain seperti ketagihan menghidu gam, ubat batuk dan seumpamanya. Sesungguhnya kita tidak boleh memadamkan api dengan api (fighting fire with fire).

Yang turut menjadi isu di sini ialah dengan pengagihan jarum suntikan dan dadah “methadone” oleh Kerajaan. Apakah para penagih ini akan didakwa sekiranya ditangkap memiliki dadah? Apakah akan wujud apa yang disifatkan sebagai najis dadah yang haram atau najis dadah yang halal? Malah ABIM memandang berat kenyataan konvenor Malaysian Harm Reduction Working Group bahawa Akta Dadah Berbahaya 1952 (Dangerous Drugs Act 1952) perlu dipinda untuk membolehkan cadangan ini dilaksanakan. Ini merupakan satu lagi langkah berkompromi dan permisif terhadap gejala penyalahgunaan dadah. Lebih parah lagi sekiranya pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Dadah Kebangsaan (ADK) terpaksa melonggarkan usaha penangkapan penagih dadah. Akhirnya, hanya segelintir rakyat Malaysia yang menagih dadah mendapat manfaat penyalahgunaan dadah secara percuma tajaan negara, manakala rakyat terbanyak yang lain terpaksa menanggung bukan hanya risiko jangkitan HIV bahkan risiko terperangkap dalam gejala penyalahgunaan najis dadah halal.

e. Kementerian Kesihatan telah menganggarkan bahawa kos pelaksanaan cadangan kaedah ini adalah lebih kurang RM 145 juta (untuk 1,200 orang penagih dadah) setahun.

Pendirian ABIM: Sekiranya kaedah tersebut diperluaskan kepada 70,000 orang pengidap virus HIV, maka anggaran kos pelaksanaan kaedah ini adalah berjumlah RM 8.5 billion setahun. Ini tidak termasuk pelbagai kos lain yang berkaitan dengan langkah mencegah penyalahgunaan dadah seperti kos pembinaan lebih banyak pusat serenti, kos pengoperasian pusat serenti, kos penguatkuasaan dan penangkapan penagih dadah, kos mewujudkan pusat pengagihan jarum suntikan, kondom dan dadah “methadone” dan seumpamanya.

Jelas bahawa kos yang sebanyak itu bukanlah satu penjimatan dan pasti akan menjejaskan pengurusan kewangan Kerajaan. Akhirnya ialah kemungkinan Kerajaan terpaksa menimbang kenaikan cukai pendapatan dan pelbagai cukai lain atau mengorbankan projek-projek kemudahan kepada rakyat hanya untuk membiayai pelaksanaan eksperimen kaedah yang dicadangkan oleh Kementerian Kesihatan ini.

4. Sehubungan ini, adalah dicadangkan bahawa langkah-langkah berikut dipertimbangkan di dalam mesyuarat Jawatankuasa Pemulihan dan Rawatan Majlis Tindakan Membasmi Dadah yang akan datang:

a. Ketiga-tiga kaedah yang dicadangkan ini merupakan kaedah yang kurang berkesan berbanding dengan kaedah yang telah jelas terbukti iaitulah perubatan terapeutik (therapeutic medicine) sepertimana yang berjaya dilaksanakan dengan berkesan oleh PEMADAM dan Pengasih.

Paling minima, ketiga-tiga kaedah yang dicadangkan oleh Kementerian Kesihatan ini hanyalah penyelesaian second best kerana yang ditanganinya hanyalah gejala (symptoms) dan bukannya punca serta kesan ketagihan tersebut, yang sememangnya lebih bersifat jangka panjang.

b. Pemberian kondom sekiranya hendak dilaksanakan juga perlulah dikawal hanya kepada penghidap HIV yang telah berumahtangga untuk mengelak isterinya yang sah dari dijangkiti virus HIV. Pengagihan kondom kepada mereka yang sememangnya mengamalkan seks rambang akan menggalakkan lagi mereka melakukan hubungan sekd luar nikah. Bagi umat Islam, keinsafan dan kesedaran perlu dititikberatkan kepada para penghidap HIV kerana virus HIV merupakan satu musibah atau bala bagi sesetengah pihak yang enggan dan engkar di atas perlakuan mereka sendiri. Namun secara khusus bagi golongan isteri yang dijangkiti menerusi suami mereka, pemberian kondom mungkin boleh dibenarkan, dengan syarat bahawa rawatan kepada suami yang dijangkiti HIV itu dilakukan serentak.

5. Sesungguhnya rakyat tidak dapat diyakinkan bahawa kaedah-kaedah ini merupakan penyelesaian kepada krisis ketagihan dadah dan jangkitan wabak HIV. Meskipun kaedah-kaedah ini cuba dihujahkan sebagai langkah pencegahan, tetapi ternyata dari fakta cadangan tersebut, yang akan diagihkan jarum suntikan, kondom dan dadah gantian ini adalah di kalangan mereka yang telahpun dijangkiti HIV. Maka hujah “preventive is better than cure” sudah tidak lagi relevan. ABIM akur dengan pendirian majoriti rakyat yang tidak dapat menerima cadangan kaedah ini. Dalam pada itu, pandangan Timbalan Pengerusi PEMADAM bahawa cadangan kaedah ini telah terbukti tidak berkesan di banyak negara-negara lain perlu juga diambilkira.

6. Kita mendapati model yang telah dimulakan oleh Barat ini tidak pernah menampakkan kejayaan dan perubahan dalam masyarakatnya, apakah kita (rakyat Malaysia) akan boleh berubah berdasarkan kaedah mereka ?. Kita tidak perlu mengikut model Barat. Kita seharusnya mengajak rakayat mengelakkan tingkahlaku yang boleh membawa kepada epidemic tersebut. Adakah logik seseorang itu apabila semasa berkongsi jarum (disebabkan isi yang sama/jimat kos/dalam keadaan khayal) punyai kesempatan untuk menukar jarum tersebut ? Apakah dengan memakai kondom, menjamin 100% tidak berlaku jangkitan tersebut (disebabkan kebocoran dan tidak pandai menggunakannya)? Jangan sampai rakyat dapat merasakan bahawa kerajaan kini langsung tidak lagi mahu berfikir dan tidak dapat mempertahankan lagi nilai serta budaya, agama bangsa negara ini. Yang kita dapat akhirnya, isu dan kos semakin meningkat, cadangan yang merugikan umat khasnya umat Melayu Islam. Adalah lebih baik sekiranya pengalaman program pencegahan HIV-AIDS di Uganda yang telahpun diiktiraf oleh WHO keberkesanannya.

7. Yang sewajarnya menjadi langkah-langkah pencegahan (preventive measures) adalah penutupan “saluran-saluran” yang akan melorongkan mereka kepada jangkitan HIV (sama ada yang sudah dijangkiti mahupun yang berpotensi untuk dijangkiti). Kaedah ini memang dianjurkan oleh Islam dan disepakati oleh agama-agama lain di dunia. Di antara langkah-langkah pencegahan “saluran-saluran” tersebut ialah pembenterasan gejala maksiat di pelbagai peringkat masyarakat, gerak-gempur kepada sarang-sarang penagih dadah dan sarang maksiat, penyederhanaan program dan budaya hiburan yang semakin keterlaluan, dan seumpamanya. Di atas asas pertimbangan inilah juga barangkali cadangan Sahibus-Samahah Dato’ Seri Harussani Zakaria, Mufti Kerajaan Negeri Perak, agar mereka yang dijangkiti penyakit-penyakit berbahaya seperti HIV/AIDS dikuarantinkan agar kaedah pengubatan terhadap mereka ini boleh ditumpukan secara intensif dan jangkitan dapat dikawal, seperti mana yang telah Kerajaan laksanakan terhadap para pesakit tuberculosis (TB), Japanese Encephalitis (JE) dan kusta.

8. ABIM dengan ini memohon pertimbangan Jemaah Menteri untuk mengkaji semula kebijaksanaan dan keperluan cadangan ini. Janganlah terburu-buru melaksanakan sesuatu perkara sekadar untuk mempertahankan fakta yang tidak tepat. ABIM menggesa agar cadangan ini tidak dilaksanakan demi kebaikan umat seluruhnya. Dana yang diperuntukkan ini boleh dimanfaatkan untuk program-program perubatan ketagihan dadah yang sudah terbukti keberkesanannya dan pembelaaan kepada mereka yang telah terjebak dalam kancah pelacuran.

“Hadith dari Ibn Majah: If fahishah or fornication and all kinds of sinful intercourse become rampant and openly practiced without inhibition in any group or nation, Allah will punish them and with new epidemics and new diseases which were not known to their forefathers and earlier generations.”

Yang benar, bagi pihak Angkatan Belia Islam Malaysia

AZIZUDDIN AHMAD
Setiausaha Agung ABIM


Setelah 4 tahun program ini berjalan, aku terfikir, adakah ada penilaian khusus dan pendirian terkini daripada pihak ABIM berkenaan keberkesanan program ini.

P/s: Doa kepada Madam Ilyani yang sedang membuat menulis tesis Phd bertajuk Therapeutic drug Monitoring Interventions in Methadone Maintained Patients : An Outcome-base Evaluation as a Tool for Dosage Optimization

No comments: