v

Sunday, October 11, 2009

Ceritera 220

Khairil pejuang kesukarelawanan tulen
Oleh Rohaniza Idris

Sanggup lepaskan gaji besar, seru golongan muda, profesional sertai bantuan kemanusiaan

PERNAHKAH anda terfikir menjadi sukarelawan sepenuh masa yang berkhidmat untuk menyelamat dan memberikan bantuan kemanusiaan kepada mangsa bencana serta mempertaruhkan nyawa di zon perang.

Pastinya, dalam 10 orang yang ditanya sukar untuk mencari seorang pun yang memberi jawapan sanggup menjadi sukarelawan atau pekerja bantuan kemanusiaan.

Namun, berbeza dengan Khairil Annuar Khalid, 48, yang sanggup melepaskan jawatan dan gaji besar yang diperoleh daripada syarikat multinasional Hewlett Packard pada 1980-an hanya semata-mata kerana mahu menjadi sukarelawan sepenuh masa.

Malah, beliau yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam bidang sukarelawan dan bantuan kemanusiaan bertekad untuk terus membantu masyarakat dunia yang memerlukan bantuan akibat peperangan dan bencana alam.

"Ketika menyatakan hasrat mahu berhenti kerana mahu menjadi sukarelawan, saya dibidas ketua di tempat bekerja dan dia menyatakan saya tidak akan mampu menyelamatkan dunia. Saya menjawab yang saya tahu tidak akan dapat menyelamatkan dunia tetapi sekurang-kurangnya saya berusaha menyelamatkan dunia," katanya ditemui di kediaman yang dibelinya hasil titik peluh bekerja sebagai sukarelawan dengan pelbagai pertubuhan bantuan kemanusiaan antarabangsa dan tempatan.

Beliau yang agak emosional setiap kali menceritakan pengalamannya, berkata sering kali ada pandangan salah mengenai pekerjaan sebagai sukarelawan dan ramai yang menyatakan pekerjaan itu tiada masa depan.

"Sebenarnya itu hanya mitos saja kerana bekerja sebagai sukarelawan atau pekerja bantuan kemanusiaan adalah profesyen yang baik dan berpotensi. Perlu difahami bahawa sukarelawan bukan semuanya tidak dibayar atau diberikan gaji.

"Jika anda menyertai mana-mana pertubuhan bantuan kemanusiaan, anda akan dibayar bergantung kepada kepakaran dan tugas yang anda lakukan. Nama saja sukarelawan, namun anda masih dibayar tetapi bukannya gaji yang menjadi asas tugas anda, sebaliknya lebih kepada tugas menyelamat dan memberi bantuan," katanya mengakui berkhidmat sebagai pekerja bantuan kemanusiaan bukannya jawatan yang popular seperti profesyen lain.

Beliau menceritakan mula menyertai organisasi bantuan kemanusiaan antarabangsa sepenuh masa pada 1988 dan dihantar ke Kemboja bagi misi menyelamat di kawasan peperangan di negara berkenaan.

"Ketika itu saya berusia 27 tahun dan belum berkahwin. Selama satu setengah tahun, saya berahsia dengan keluarga dan mereka tidak mengesyaki apa-apa kerana setiap bulan atau dua bulan sekali akan kembali ke tanah air.

"Rahsia terpaksa dibocorkan apabila saya mendapat tawaran berkhidmat di Amerika Tengah membantu pelarian perang di El-Salvador. Keluarga terkejut dan menentang, namun berkat doa dan kesungguhan yang saya tunjukkan, ibu bapa menerima dengan baik pekerjaan saya ini...Alhamdulillah," katanya yang bertemu jodoh dengan Dr Norhasimah Hashim ketika berkhidmat di Bosnia Herzegovina.

Norhasimah juga aktif dalam kerja sukarelawan dan bersama-sama beliau berkhidmat di Sarajevo dan Kosovo ketika membantu mangsa konflik peperangan di Balkan itu. Malah, anak sulung beliau Muhammad Khairil Asyraf turut dibawa menyertai misi bantuan ketika berusia empat bulan dan membesar di Sarajevo sehingga lima tahun.

Khairil Annuar berkata, minat yang mendalam timbul sejak di bangku sekolah lagi, namun tidak banyak maklumat mengenai bidang berkenaan.

Namun, hobi membaca membuka matanya mengenai kerja sukarelawan yang pada ketika itu tidak begitu diketahui di negara ini.

"Saya memohon menjadi sukarelawan dengan sebuah pertubuhan bantuan kemanusiaan antarabangsa dan diterima dengan latihan pertama dilakukan bersama sukarelawan yang lebih kanan di Kemboja," katanya.

Bercerita lanjut, selepas El Salvador, beliau pernah berkhidmat di Asia Tengah ketika konflik di Chechnya dan beberapa negara lain di bawah Kesatuan Soviet seperti Uzbekistan, Turkmenistan, Azerbaijan dan Tajikistan.

"Saya berkhidmat di Asia Tengah selama satu setengah tahun dan kemudian menyertai misi menyelamat dan memberi bantuan untuk mangsa perang ketika peperangan di Balkan. Saya berkhidmat di Sarajevo, Bosnia, Kosovo dan Montenegro selama enam tahun dan menyaksikan peperangan berlangsung sehingga tamat," katanya yang turut serta dalam pertubuhan kemanusiaan antarabangsa membantu kerajaan membuka Kedutaan di Sarajevo, Bosnia-Herzegovina.

Ketika di Bosnia, Khairil Annuar yang ketika itu masih berkhidmat dengan pertubuhan kemanusiaan antarabangsa turut membantu pasukan kemanusiaan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) yang menjadi pertubuhan kemanusiaan pertama dari Malaysia ke wilayah perang berkenaan.

Selepas menyedari Abim memerlukan khidmat sukarelawan yang berpengalaman dengan pertubuhan kemanusiaan antarabangsa, beliau mengambil keputusan pulang ke Malaysia dan menyertai pertubuhan Malaysia Relief Agency (MRA).

Keputusan pulang ke tanah air juga dibuat selepas mengambil kira pertambahan ahli keluarga, selain faktor usia dan sejak itu beliau juga mengambil keputusan berkhidmat di kawasan konflik untuk tempoh yang singkat, selain banyak menumpukan kerja menyelamat dan bantuan kemanusiaan pada peringkat tempatan.

Beliau menjelaskan penyertaan golongan profesional bukan setakat pasukan bantuan perubatan dan rawatan saja, sebaliknya mereka yang bertugas sebagai peguam, jurutera, arkitek dan kaunselor juga diperlukan kerana kepakaran mereka sangat berharga.

Beliau menjelaskan sukarelawan atau pekerja bantuan kemanusiaan dibahagikan kepada dua kategori iaitu yang berbayar dan tidak berbayar.

Golongan berbayar bererti mereka bertugas sepenuh masa dengan pertubuhan kemanusiaan, manakala yang tidak berbayar ialah sukarelawan separuh masa yang hanya dibayar elaun makan, tiket penerbangan dan kemudahan penginapan ketika bertugas.

Khairil Annuar merayu golongan muda dan profesional di negara ini membabitkan diri dalam bidang sukarelawan dan bantuan kemanusiaan kerana mereka mempunyai kepakaran yang sangat diperlukan di kawasan berkenaan.

"Dalam misi bantuan kemanusiaan dan menyelamat, tugasnya ialah memberi bantuan dan menyelamat, jika sukarelawan tiada ilmu pengetahuan, lemah dan kurang bijak, bagaimana mereka mahu membantu orang yang dalam kesusahan," katanya yang mendedahkan kepada anaknya mengenai kerja sukarelawan seawal usia kanak-kanak lagi.

PROFIL: Khairil Annuar Khalid
Umur: 48 tahun
Asal: Penaga, Pulau Pinang
Pendidikan: ITM, Perlis
Profesyen: Sukarelawan Sepenuh Masa, Pengarah Bantuan Kecemasan, MRA
Isteri: Norhashimah Hashim, 40.
Profesyen: Doktor
Anak: Muhammad Khairil Asyraf, 12, Noor Athirah, 8, dan Muhammad Khairil Akram, 5.

Sumber: Berita Harian Online

No comments: