v

Sunday, October 25, 2009

Ceritera 239

Aku terlepas program ini kerana 'out-station' ke Pantai Barat. Jadi untuk aku dan rakan-rakan yang tidak dapat mengikuti wacana ini, catatan ini mungkin dapat memberi gambaran apa yang berlaku pada Khamis malam lepas.

Suburkan Budaya Wacana Ilmiah

1. Alfun Mabruk saya ucapkan kepada IIUM Kuantan dan seluruh warganya kerana berjaya menganjurkan " Intellectual Discourse " bagi mencari ruang cerah dan jelas buat Islam yang suci ini .

2. Tajuk wacana ilmiah yang dibincang semalam ialah [ Sebat Kerana Arak : Adilkah ? ] .

3. Wacana yang sepatutnya membariskan panel dari UMNO [ Yb. Dato' Safri Abdul Aziz - Exco Agama Negeri Pahang ] , SIS [ Dr. Hamidah Merican ] , Peguam Syarie [ En. najid Husin ] dan PAS [ Nasrudin Hassan ] .

4. Malangnya , wakil UMNO dan SIS tidak hadhir dan wacana semalam hanya membariskan saya , peguam syarie dan seorang tokoh akademi al Fadhil Ustaz Zaharudin Mohd . Tentunya ketidakhadhiran wakil UMNO dan SIS dilihat tidak membantu untuk mencapai objektif penganjuran program wacana tersebut . [ Antara objektif mereka ialah memberi penjelasan sebenar dari sudut syariat , undang - undang dan kesan - kesan sosial atau politik dari perlaksanaan hukum sebat ke atas pesalah arak .]

5. Sebelum ini isu berkait sebat arak telah ditimbulkan oleh SIS dengan kritikan terbuka mereka kepada mahkamah syariah dan hukuman yang telah diputuskan oleh mahkamah disamping menyifatkan undang - undang sebat ke atas pesalah arak adalah kejam dan zalim .

6. Sepatutnya mereka hadhir bagi mengemukakan hujjah yang menjadi asas tindakan mereka sehingga mencetuskan keresahan dikalangan ummat Islam . Malah saya percaya sebahagian besar hadhirin semalam hadhir untuk mendengar hujjah SIS yang begitu lantang mengkritik hukuman yang telah diputuskan oleh mahkamah syariah tersebut .

7. Kegagalan mereka untuk hadhir termasuklah Exco Agama Negeri Pahang sangat dikesali kerana langkah murni pihak IIUM Kuantan untuk mencari noktah penyelesaian dan pencerahan dalam isu ini akhirnya menjadi perbincangan satu hala tanpa perbahasan dan dialog ilmiah yang kritis .

8. Sebelum ini saya sendiri telah mengemukakan tawaran terbuka kepada SIS agar tampil dalam apa jua bentuk forum bagi membahaskan isu ini atau mana - mana isu agama yang mereka cetuskan kontraversinya sebelum ini . Nyata mereka sering tidak bertanggungjawab keatas kekeliruan yang mereka cetuskan seperti sengaja mereka mahu meletakkan masyarakat dalam keliru terhadap Islam dan syariatnya .

9. Saya sekali lagi mengucapkan syabas kepada IIUM dan seluruh jawatan kuasa penganjur kerana berjaya menganjurkan wacana ilmiah yang bersejarah ini . Saya difahamkan inilah kali pertama program seumpama ini dianjurkan oleh mereka dan mendapat sambutan diluar jangkaan mereka . Semoga program seperti ini menjadi kelaziman atau aktiviti rutin bersifat bulanan atau dwi bulanan dengan mengundang tokoh - tokoh dari pelbagai latar belakang untuk berhujjah menjernihkan kekeliruan dan menegakkan kebenaran .

10. Saya juga mengharapkan institusi - institusi lain mengambil langkah yang sama untuk menyuburkan budaya intelek dikalangan masyarakat agar tidak lagi menerima dan menolak sesuatu hanya berpijak di atas palang emosi yang sering mencetus sengketa . Sebaliknya terima dan tolak sesuatu mestilah bersandarkan hujjah dan nas yang jelas .

Sumber: Blog

No comments: