v

Sunday, October 18, 2009

Ceritera 230



"Pada tahun 1998, al-Qaradawi sekali lagi datang ke Malaysia dan melancarkan buku Peranan Nilai dan Ekonomi Islam yang diterbitkan oleh ABIM di Pusat Islam, Kuala Lumpur. Hadir sama di dalam majlis itu adalah Datuk Abdul Hamid Othman, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Presiden ABIM, saudara Ahmad Azam Abdul Rahman. Pada masa lawatan ini, penulis adalah pengiring kepada al-Qaradawi bersama Ustaz Arsil Ibrahim, Ustaz Dahlan Arshad dan Haji Anuar Ismail. Mereka adalah orang yang banyak bertanggungjawab dalam membawa al-Qaradawi ke Malaysia. Di samping itu, persahabatan al-Qaradawi dengan Ustaz Dahlan Arshad begitu erat disebabkan Ustaz Dahlan menjadi penterjemah bagi ceramahnya yang disampaikan dalam Bahasa Arab. Ternyata sekali, hubungan al-Qaradawi dengan ABIM sekian lama terjalin dan ABIM sentiasa menjadikan al-Qaradawi sebagai contoh dan sentiasa menggunakan pendekatan sederhana dalam berdakwah. Sesungguhnya kesederhanaan itu adalah ciri Islam yang unggul." - Mohd Rumaizuddin Ghazali dalam 10 Tokoh Sarjana Islam Paling Berpengaruh (2009: 184)

Ustaz Dahlan Arshad menjadi guru tasmi'ku di Pusat Matrikulasi UIAM di Petaling Jaya. Bermula dengan perbualan kami tentang novel Ayat-ayat Cinta yang sedang 'ngetop' ketika itu, aku terus mengorek rahsia dan pengalaman hidupnya.

Dari Mesir hinggalah ke England, bersama Said Ramadan, menantunya Hassan Al-Banna di Geneva sehinggalah hubungan eratnya bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim, kisah-kisah lamanya itulah yang sering kuminta setiap kali usai aku memperdengarkan hafazanku.

Di sebalik sosok tuanya, dia rajin bercerita kepadaku pengalaman-pengalamannya yang mengkagumkan itu. Nah, tidak kusangka perjalanan hidup guru tasmi'ku itu sungguh menarik hati, layak untuk dibukukan seperti mana dilakukan oleh Cikgu Sidek Baba dalam Seteguh Tekad.

Bagaimana Anwar membawa dia pulang dari England ke Malaysia, bagaimana beliau menguruskan perkahwinan Anwar dan Wan Azizah, bagaimana pengalaman beliau bersama al-Qaradawi yang dieksploitasi oleh politikus opurtunis ketika datang ke Malaysia, bagaimana Almarhum Ustaz Fadhil Noor menghubungi beliau untuk berbicara dengan al-Qaradawi - inilah kisah yang menambat aku untuk istiqamah datang ke kelas tasmi' ketika itu.

Syukur kerana ALLAH menemukan figur yang kaya dengan pengalaman ini. Syukur kerana aku diberi kesempatan untuk mendengar terus daripada bibir seorang main player kebangkitan Islam di Malaysia dekad 70-an. Syukur, alhamdulillah.

Moga ALLAH terus memelihara guruku ini.

P/s: Ustaz Dahlan Arshad,bersongkok di dalam gambar di atas. Gambar ini diambil daripada blog Wasif.

No comments: